Anda Pecinta Sneaker? Selam Bundle Hibrid Atau Intimasi Ala CNCRD
Idea cetusan anak muda untuk pengalaman baharu penuh citarasa dalam budaya jualan semula.
Oleh RUMI
JORDAN 1 Nigel Sylvester. Itu kasut pertama yang membibitkan rasa minat dalam diri Ryan Ng untuk mendalami bisnes jualan semula selepas mendengar bagaimana arena kasut sneaker dibincangkan rakan sekuliahnya.
Dia baru berusia 18 tahun, ketika itu. Baru berpindah ke Kuala Lumpur untuk melanjutkan pelajaran, dia mengakui “sekadar mempunyai sedikit duit poket dan hanya mampu mengidamkan kasut itu dari jauh.”
Sebaliknya, anak jati Muar, Johor ini kemudiannya berjaya menjual sepasang kasut UltraBoosts.
“Sahabat baik saya selama 15 tahun menjadi pelanggan pertama saya,” katanya. “Ia sememangnya mengujakan dan melonjakkan semangat saya untuk menjual lima, 10 malah 20 pasang kasut sneaker.”
Ryan kini, 22, merupakan seorang usahawan teknologi, dan menerusi CNCRD yang ditubuhkannya, iaitu sebuah syarikat pemula berlatarbelakangkan teknologi dan e-dagang, sebuah platform digital disruptif yang memudah dan memberi pelbagai faedah kepada budaya jualan semula, terutama kasut sneaker telah dilancarkan.
“… CNCRD juga menawarkan pengalaman luar talian dan telah melancarkan ruang pameran di The Five. Dengan itu, CNCRD secara langsung menawarkan kombinasi pengalaman hebat dua penjuru, iaitu kebolehskalaan teknologi dan intimasi ruang fizikal.”
Sebagai pecinta sneaker, dia tahu apa yang dibicarakannya dengan platform yang dipilih susun khusus itu direka sebagai sebuah pusat sehenti bagi penjual dan pembeli kasut sneaker dalam pasaran terpakai.
Ia juga, katanya memberi peluang kepada para pengguna untuk menyelami selok-belok pasaran yang tepu dan boleh menimbulkan perasaan tidak keruan, serta mengurangi atau menyingkir terus risiko penipuan replika atau pembelian produk yang salah.
“Kami mengambil kira pelbagai perubahan terkini yang mengambil tempat dalam budaya jualan semula – baik dalam arena tempatan mahu pun antarabangsa,” katanya, memetik kenyataan medianya.
Tidak hanya jual beli e-dagang, jelas Ryan, pengalaman fizikal turut ditawarkan kepada para pecinta sneaker menerusi pembukaan ruang pameran terbaharu CNCRD di The Five, Damansara Heights.
“Tawaran yang baik untuk sepasang kasut, hari ini boleh jadi sesuatu yang kurang memuaskan pada esoknya,” katanya yang bersama sahabatnya, Bryan Ong, menubuhkan CNCRD pada akhir tahun lalu, antara lain bagi merapatkan jurang antara para penjual dan pembeli.
“Di sinilah terletaknya peranan CNCRD dalam menawarkan pengalaman jual beli e-dagang terbaik buat pengguna. Untuk melonjakkan perniagaan kami ke tahap seterusnya, CNCRD juga menawarkan pengalaman luar talian dan telah melancarkan ruang pameran di The Five, Damansara Heights.
“Dengan itu, CNCRD secara langsung menawarkan kombinasi pengalaman hebat dua penjuru, iaitu kebolehskalaan teknologi dan intimasi ruang fizikal. Kami percaya bahawa pengalaman membeli-belah secara hibrid ini adalah cara yang terbaik buat masa ini.”
“… keserasian dan sinergi kami adalah formula untuk bersaing dan membina budaya yang inovatif dan efisien dalam penyelesaian masalah.”
Kata Bryan pula, CNCRD yang diinspirasi oleh Eddy Lu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Bersama GOAT, dan Kevin Ma, Ketua Pegawai Eksekutif HYPEBEAST, juga berhasrat mengembangkan kategori produk, termasuk kepada pakaian dan barangan koleksi keluaran terhad.
“Namun, fokus kami buat masa ini adalah untuk memperkukuh sistem sedia ada, membimbing kelompok sasaran kami, meraih kesedaran dan juga memanfaatkan data untuk memaksimumkan jualan buat penjual dan memenuhi pengalaman beli belah yang dipilih susun buat pengguna,” tambahnya.
Jelas kenyataan media itu lagi, matlamat jangka panjang CNCRD adalah menjadi sebuah konglomerat teknologi dan berkecimpung dalam pelbagai segmen teknologi dan landskap perniagaan digital lain.
Ini, menurut Ryan, disokong dengan perlantikan Ric Wang selaku Pengasas Bersama dan Pengarah Kreatif, dan dengan tenaga kerja muda yang kreatif serta bersemangat tinggi di CNCRD bagi membangun dan mengukuhkan posisi CNCRD sebagai pemain industri dalam arena tempatan dan serantau, serta memaksimumkan pulangan para pemegang taruh.
“Saya berpegang teguh bahawa keserasian dan sinergi kami adalah formula untuk bersaing dan membina budaya yang inovatif dan efisien dalam penyelesaian masalah. Seperti kelaziman budaya sneaker sedia ada, penting untuk kami mewujudkan ‘puak CNCRD’ sebagai kumpulan sokongan,” katanya.
Ia, menurutnya termasuk secara merancakkan lagi ruang fizikal melalui aktiviti hasil kerjasama dengan “tenaga kreatif pelbagai disiplin daripada fesyen, seni, reka bentuk hingga makanan dan sukan”, di samping membangunkan aplikasi CNCRD yang dijangka siap menjelang suku kedua tahun depan.
Comments are closed.