Kala Biola Melayu Rania Jatuh Hati Pada Gitar Rock Man Keedal
Kolaborasi bukan biasa-biasa dua generasi berbeza yang meraih perhatian.
Oleh Zurina Waji | Foto PapaDin
“…Uncle Man Keedal seorang legenda, siapa yang tidak mahu berkolaborasi dengan dia?” – RANIA IMTIAZ
“UNCLE legend,” kata Rania Imtiaz, 14, senyum malu namun nyata ada kekaguman yang disisipkan buat Man Keedal, pemain gitar rock terkenal berusia 58 tahun itu menerusi gandingan mereka yang cukup epik baginya.
Projek Sentuhan Kidal & Joget Johor Sports Club memperkenalkan Rania Imtiaz x Man Keedal yang menurutnya, memberikan “pengalaman yang best dan tidak akan dilupakan” melalui kolaborasi tidak diduga itu.
“Segalanya bermula sebagai satu gurauan, sebenarnya,” kata anak Johor ini yang menggesek biola seawal usia enam tahun. “Semasa kami betemu di Johor Bahru, dalam gurau, cakap nak buat single bersama yang kemudian membawa kepada beberapa diskusi dan akhirnya, jadi realiti.
“Ini terjadi pun kerana sokongan Papa dan Mama, lagi pun Uncle Man Keedal seorang legenda, siapa yang tidak mahu berkolaborasi dengan dia?
“Bukan hanya kerana mahu mencipta kelainan dengan mengharmonikan bunyi gitar rock dengan lagu tradisional Melayu, tapi juga untuk mendedahkan generasi sebaya saya terhadap keindahan lagu-lagu Melayu tradisional dengan rasa yang segar.”
Seraya menyifatkan kolaborasi ini berupaya membuka jalan untuknya mengembangkan bakatnya secara komersil, akuinya banyak ilmu yang dipelajarinya sepanjang kerjasamanya dengan pemuzik band rock Lefthanded itu.
Secara peribadi, penggesek biola kelahiran Singapura, Allahyarham Hamzah Dolmat yang sejak akhir Perang Dunia Kedua mencipta nama dalam lapangan seni muzik tradisional Malaysia, menghiburkan menerusi lagu seperti Pasir Roboh, Jalak Lenteng, Pantun Zapin dan Kain Songket disebut antara sosok yang dikaguminya.
“Jika silap bahan atau campurannya, habislah masakan anda. Tak dapatlah rasa yang anda mahukan itu. Biar pun gitar dan biola asasnya instrumen bertali, tapi kolaborasi ini nyata tidak mudah.” – MAN KEEDAL
Jarang sebetulnya mendengar remaja sebaya Rania meminati lagu-lagu Melayu tradisional. Ditemui usai majlis pelancaran Rania Imtiaz x Man Keedal di Kuala Lumpur, baru ini, jelasnya, “Saya memang suka lagu-lagu lama, sejak saya mendengarnya pada satu majlis perkahwinan. Saya ingat lagi, lagu Gurindam Jiwa.
“Kenapa, ya? Kerana rasa yang diberikan lagu-lagu Melayu lama sungguh mendalam. Vibrasi yang diberikan lagu-lagu tradisional Melayu sangat klasik dan membuat saya rasa lagunya bukan hanya sebuah lagu biasa.”
Sudah tujuh tahun mengikuti kelas biola, dia yang bakal menduduki peperiksaan Gred 8 Biola, November kelak hanya selangkah lagi untuk menyempurnakan pembelajarannya, iaitu yang tertinggi bagi instrumen itu.
“Apabila saya main biola, saya dapat meluahkan apa yang saya rasa. Faham tak? Jika saya geramkan sesuatu, misalnya atau saya stres dengan sesuatu dan apabila saya main biola, saya dapat melepaskan perasaan itu, seperti satu terapi,” katanya.
Man Keedal yang ditemui pada majlis sama, mengakui Rania memikatnya dengan keghairahan mendalam yang ditunjukkan menerusi gesekan biolanya, selain kecenderungannya terhadap lagu Melayu lama.
Sempat dia melontarkan analogi, “Ibarat memasak, nak campurkan bahan, nak dapatkan rasanya. Jika silap bahan atau campurannya, habislah masakan anda. Tak dapatlah rasa yang anda mahukan itu. Biar pun gitar dan biola asasnya instrumen bertali, tapi kolaborasi ini nyata tidak mudah.”
Sungguh pun gandingannya dan Rania memberikan cabaran yang bukan kecil, terutama dalam susunan selain memastikan tidak berlaku pertembungan dua instrumen berbeza yang boleh merosakkan frekuensi muziknya, ia memberikan pengalaman unik buatnya.
“Dia ada passion,” kata Man Keedal lagi, merujuk Rania. “Ada ramai anak orang senang, berkemampuan, kadang awal saja (minat) tapi selepas itu, tidak berikan tumpuan sangat. Bezanya Rania kerana main instrumen tidak macam menyanyi.
“Pemikiran dia lain, dan sudah tentu dia akan main, berlatih setiap hari. Dia ni lain, apatah lagi dengan unsur keMelayuannya, dia ada satu benda lain yang memungkinkannya melangkah lebih jauh dalam seni. Itu saya nampak pada Rania ini.”
Comments are closed.