AIM23 dan Petandanya Buat Industri Muzik Tanahair
Bukan halangan untuk berkarya, pandemik atau tidak, seni nyata harus terus jalan.

Oleh Zurina Waji

“… Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-23 pada 11 September ini bakal memberikan perasaan yang bercampur baur, terutamanya buat penggiat seni muzik tanahair.”

APAKAH Yonnyboii, atau mungkin Daiyan Trisha? Atau, power house seperti Ernie Zakri dan Aina Abdul?

Selain pengkarya senior seperti Dayang Nurfaizah hinggalah Faizal Tahir, malah Datuk Siti Nurhaliza dan Joe Flizzow, juga band seperti Bunkface dan grup harmoni seperti VE yang kembali memberi saingan, Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-23pada 11 September ini bakal memberikan perasaan yang bercampur baur, terutamanya buat penggiat seni muzik tanahair.

Kecuali dengan penyingkiran kategori Lagu India Tempatan Terbaik yang menurut kenyataan media Rosmin Hashim, Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan Jawatankuasa Penganjur AIM23, “kerana kebanyakan lagu yang dicalonkan tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan”, edisi ke-23 ini harus bisa kekal sebagai acara paling berprestij buat muzik tempatan.

Finalis, menerusi pengumuman yang dibuat baru ini, merangkumi 105 calon yang disenarai pendek bagi 21 kategori yang dipertandingkan. Kategori Lagu Pop Terbaik difahamkan menerima pencalonan terbanyak, sekali gus memberikan persaingan paling sengit.

Sebanyak 650 pencalonan diterima yang menurut Rosmin, boleh dikaitkan dengan tempoh kelayakan 18 bulan, iaitu untuk keluaran lagu dan album baru dari 1 Januari 2021 hingga 30 Jun 2022.

“Ia juga merupakan petunjuk bahawa industri muzik tempatan berada dalam keadaan baik dan dalam perjalanan ke pemulihan selepas pandemik,” katanya, selain menyifatkan peningkatan jumlah pencalonan juga disumbang oleh penambahan beberapa kategori anugerah baharu.

Penggiat muzik dihormati seperti komposer, LY dan Fauzi Marzuki adalah antara juri terkemuka yang membarisi panel juri dengan maestro, Datuk Mokhzani Ismail sebagai Ketua Juri. Manakala pengiraan markah juri diaudit oleh firma pengauditan, Mazars dengan proses perjurian ditadbir pihak ketiga yang bebas, Macomm Management Services Sdn Bhd.

“Di sebalik pertikaian mengenai penyampaian Dayang Nurfaizah bagi lagu-lagu klasik Melayu yang dimuatkan di dalam album kesembilannya, Belagu, ia membolehkannya mendominasi senarai… “

Agak menarik melihat Vanessa Reynauld yang menerima pencalonan bagi anugerah Artis Baru Terbaik menerusi lagu Buat Ku Sempurna turut dicalonkan untuk Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita), berdepan pesaing sehebat Idayu dan Marsha Milan, selain Ernie dan Aina.

Ernie yang dicalon, antaranya bagi anugerah Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Wanita) menerusi Sinar Mata Hati, kolaborasi Slen Fadzil dan Helen Yap, dijangka mencuri perhatian pada malam itu dengan tiga pencalonan lagi. Dia menerima pencalonan dalam kategori Persembahan Vokal Duo/ Kolaborasi Terbaik di Dalam Lagu, iaitu single Berakhirlah Pencarinku bersama Hafiz Suip dan Goodbye Hello, duetnya dan Syamel.

Juga menerima empat pencalonan ialah Yonnyboii melalui Yonny (Deluxe Version) yang memberikannya pencalonan bagi dua kategori, iaitu Album Terbaik dan Rakaman Album Terbaik, selain single Tak Sangka dan Orang Lain dalam kategori Lagu R&B/Hip Hop Terbaik.

Di sebalik pertikaian mengenai penyampaian Dayang Nurfaizah bagi lagu-lagu klasik Melayu yang dimuatkan di dalam album kesembilannya, Belagu, ia membolehkannya mendominasi senarai dengan enam kategori, antaranya Tudung Periuk dan Malam Ku Bermimpi, kedua-duanya bagi Rakaman Lagu Terbaik dan Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu.

AIM23 yang dihoskan Sherry Alhadad, Awal Shaari dan Azad Jasmin, juga dilihat bakal memberi warna dengan penyertaan anak muda seperti pelakon dan pengarah, Janna Nick yang menerjah dunia muzik dengan Gatal bagi kategori Video Muzik Terbaik.

Juga, silang genre sepertimana kolaborasi Daiyan Trisha dengan pengkarya Hip Hop, Tuju dan Loca B menerusi lagu Penat yang dicalonkan, antaranya bagi Lagu Pop Terbaik, selain Thank You Allah yang membawa penyanyi bersuara lunak, Alyah ft Cat Farsih dan Ustaz Haris ke kategori Lagu Nasyid Terbaik.

Lima tahun menyepi, kembalinya AIM menerusi edisi ke-23 ini yang bakal bersiaran secara langsung di Astro Ria tentunya diharap berupaya meniupkan harapan bahawa ada jalan terbentang di depan buat industri muzik tanahair.

Ini sambil isu mutu, daripada segi lagu yang layak dan sebagaimana kata seorang penggiat, peratusan ‘sampah’ yang dilonggokkan, mahu pun pengkarya yang dipinggirkan masih satu persoalan yang terus memburu dan perlu digali.

Kala Negara menuju pemulihan, industri muzik sendiri juga perlu relevan serta segera mengadaptasi kepada perubahan dalam music scene dan pasaran terbuka yang memungkinkan apa saja boleh berlaku.