“Kid, Din Nyawa Search.” Along Exists Bagi Sebab Tak Boleh Move On Dengan Rooftop
Rockin’ On Rooftop, konsert pasca pandemik yang masih dibicarakan sampai kini.
Dari atas bukit di Padang RTM Johor Bahru, jauh daripada pentas, tubuh kecilnya berhimpitan antara 20,000 audiens yang membanjiri Konsert Double Trouble yang menghadirkan Search dan Wings sepanggung.
“Saya baru berusia 13 tahun, masa tu,” kata Along, pemain gitar Exists ketika kali pertama dia menyaksikan konsert Search pada awal 90an. Selain Gadis Misteri dan Fenomena yang merupakan hit Search yang wajib dimainkan semasa latihan, Teguh dan Isabella juga antara pilihan, apatah lagi keupayaan Mamat, ketika itu untuk menyanyikan apa saja range.
“Exist baru ditubuhkan, ketika itu dan kami hanya dapat menonton dari jauh, di atas bukit, nampak Search kecil je di pentas. Tapi nama Search besar, masa tu. Kid (gitaris) pun masih bermain (gitar) melompat macam Van Halen,” tambahnya, ketawa.
Search kembali pada 2022 namun berpecah dua. Satu disertai Amy, Hillary Ang, Man Kidal dan Nasir Daud menerusi Konsert Endemik. Kid dan Din, menerusi Rockin’ On Rooftop pula mempertaruhkan bakat muda Indonesia, Denden Gonzales sebagai vokalis. Juga digelar Rooftop, ia menyaksikan Yan kembali sebagai bassist, selain Minn (dram) dan Firdaus (keyboard). Ia turut menampilkan ratu rock, Ella sebagai undangan.
“Legasi Amy, Hillary, Allahyarham Yazit dah ultimate. Tahun 2022, Search berpecah dua tapi Search di Rooftop berada pada level lain, akan pergi lebih jauh.”
Di Kuala Lumpur, baru ini, Zurina Waji bersama Along yang memilih ke lokasi nostalgik, Kompleks Campbell untuk Rockin’ On Rooftop.
Pergeseran dalaman Search menyaksikan pertembungan dua konsert, Endemik dan Rooftop. Apa yang membuat anda memilih ke Rooftop?
Sebab muzik. Saya main gitar pun, puncanya dua beradik ni, Kid dan Din. Sebab merekalah, saya minat Gersang, Search. Pertembungan antara Endemik dan Rooftop dah dijangka sebab peminat kini lebih bijak, ikuti perjalanan daripada A dan tahu cerita.
Tak hanya mendengar cerita fans, saya juga bantu mempromosi merchandise Kid dan Din sejak 2021. Jadi saya melihat sendiri kepayahan mereka, terutama semasa isteri Kid sakit dan sehingga Allahyarham meninggal pun, mereka masih bergelut dengan masalah Search ini.
Kejayaan Rooftop berbaloi dengan apa yang dilalui Din dan Kid. Saya harap kejerihan mereka terubat dengan kehadiran Denden. Apa yang mereka lalui bukan benda mudah tapi Saya pun pernah melalui keadaan sebegitu, jadi saya faham apa yang mereka rasa. Mula balik daripada zero,Rooftop dapat sambutan yang … sold out show, siapa sangka?
Anda, seperti anggota Exists lain, mengidolakan Search. Apa yang syok pasal Search ni?
Guitar works pada Kid. Bagi saya, dia adalah penyelamat Search, ketika album Fenomena tidak dapat disiapkan selepas Hillary meninggalkan band. Kid masuk, memberikan sentuhannya kepada Purnama, Isabella dan Menara Kesesatan.
Kid yang bersama Gersang, bertindak keluar dan menyertai Search. Isabella menaikkan lagi nama Search, sampai kini ia masih lagu terbaik untuk gitar solo. Lagu Melayu, bagi saya, No.1. Tiada lagi lagu yang boleh menewaskan Isabella.
Masa tu, saya dengar nak masuk Search, kena audition. Saya dapat tahu ramai juga gitaris hebat-hebat yang audition, masa itu.
Antara pemuzik, termasuk Along (kanan sekali) yang hadir menyaksikan Search di Rooftop
Bersama Ella dan Kid usai latihan sebelum malam konsert Rooftop
“Mentari Merah di Ufuk Timur diberikan sepertimana original key dan itulah yang fans nak sebenarnya. Nak rasa vibe yang power. Benda power kena original key lah.”
Rooftop mengundang emosi, disifatkan sebagai konsert yang berjaya memberikan vibrasi rock 80an, 90an dan mengembalikan kenangan pada era kegemilangan rock dan Search, dulu. Bagi anda?
Rooftop dah satu level lain. Legasi Amy, Hillary, Allahyarham Yazit (pemain dram) dah ultimate. Tahun 2022, Search berpecah dua tapi Search di Rooftop berada pada level lain, akan pergi lebih jauh.
Ibarat kata, Search yang dipacu Kid dan Din ada enjin baru sebab Denden masih muda, boleh bawa original key. Lagu-lagu Search yang sebelum ini tak boleh dibawa pada konsert sudah boleh dibawa, contohnya Rock N’ Roll Pie, Teguh, Melastik ke Bintang, Bersalah atau Tidak.
Mentari Merah di Ufuk Timur diberikan sepertimana original key dan itulah yang fans nak sebenarnya. Nak rasa vibe yang power. Benda power kena original key lah. Kita tak boleh salahkan penyanyi macam Amy, faktor usia tu normal. Tapi dengan kehadiran (vokalis) baru, suntikan baru ini, ia akan bawa Search ke satu level, lebih jauh.
Rootop beri peluang buat Kid dan Din menyerlahkan keupayaan sebenar, bukan?
Rooftop beri ruang untuk Kid dan Din dilihat sebagai frontman, dan barulah orang lebih nampak apa yang mereka buat selama ini.
Din, terutamanya jenis tak banyak bercakap tapi muziknya cukup untuk menyelesaikan semuanya. Dengan sound, arrangement dia pukul habis. Saya mengikuti mereka sejak awal, memang merekalah yang buat kerja, menjadi tulang belakang sampai Abang Yazit dah tiada. Yan pun beri sokongan.
Kita cerita pasal muziklah, sebab muzik sentuhan mereka tiada orang lain boleh ambil alih atau padam. Kid pun dah lapan album dengan Search, keserasian tidak boleh dipadam walaupun dengan masalah peribadi, hatta antara dua band.
“Search yang dulu, anggaplah legasi yang sudah habis. Ini baru, buku baru. Kid, Din, hidup mereka untuk Search. Mereka jujur… “
Ia tentunya membawa anda mengimbau kenangan lalu. Apakah ada momen yang menyentuh rasa?
Memang rezeki, waktu menonton Search pertama kali dulu, ada Yan, Kid, Din. Rooftop ni sama, kecuali Abang dan frontman, Amy tiada. Yan setelah meninggalkan Lefthanded, lama menyepi. Din dan Kid bijak kerana memanggil semula Yan yang juga antara bassist terbaik Malaysia.
Bezanya, pemuzik-pemuzik ini kini lebih matang daripada segi sound. Energi baru daripada pemain dram, Minn beri satu suntikan padu. Denden pula satu cerita yang akan melebarkan sayap Search ke Indonesia semula dengan satu level, tenaga, sound yang baru. Search yang dulu, anggaplah legasi yang sudah habis. Ini baru, buku baru.
Kid, Din, hidup mereka untuk Search. Mereka jujur dengan peminat, kawan, sesiapa saja. Itulah mereka. Rooftop juga memberikan momen sebak, terkilan apabila datang rindu nak tengok arwah Yazit main. Kali terakhir saya melihatnya beraksi ialah pada konsert Double Trouble 2 di Bukit Kiara pada 2010. Kemudian Allahyarham tidak sihat. Itu buat saya rasa sedih.
“… tapi tulang belakangnya Din. Jadi, bila Kid atau Hillary tiada, sesiapa pun boleh masuk ganti. Bila Din tiada, habis. Macam hilanglah bunyi Search tu.”
Apa yang boleh dirumuskan mengenai Kid, Din dan malam Rooftop?
Inilah sebenarnya nyawa Search, orang yang create muzik. Kid atau Din tak terlalu fikir pasal benda melibatkan duit, mereka adalah orang muzik. Pemuzik sejati. Jika Abang Yazit masih hidup, saya yakin arwah akan menyebelahi ini (Rooftop) juga. Ini pendapat peribadi.
Kenapa anda katakan begitu?
Bukan memburukkan sesiapa tapi realitinya sebab muzik. Muzik Search adalah bikinan Din dan Kid. Saya pernah sembang dengan arwah Aji (gitaris) yang memang mengikuti perkembangan Search, katanya, “Along, Search ni yang sebenarnya pegang muzik tu Din. Rhythm tu. Din yang create note, arrangement, riff. Kat dia tu ada Search.”
Lead guitar sepertiHillary atau Kid macam warna yang menambah perisa supaya lebih sempurna tapi tulang belakangnya Din. Jadi, bila Kid atau Hillary tiada, sesiapa pun boleh masuk ganti. Bila Din tiada, habis. Macam hilanglah bunyi Search tu.
Contohnya, album 2006, Gothik Malam Edan tanpa Din, apa jadi? Tak boleh. Din kena ada sebab dia yang fikirkan pasal riff, pasal sound, beat macam mana walaupun dia tidak banyak cakap, muziknya cukup untuk berbicara dengan sempurna.
Comments are closed.