Hip Hop Bersulam Gamelan, Bersama Kamu Perkenalkan JEPX
Single diluncur UiTM sebagai inisiatif pembangunan dan pengembangan bakat mahasiswa dalam industri kreatif
Oleh Rumi
“… jejaka berdarah kacukan Cina-Iban ini tampil dengan single Bersama Kamu, baru ini sebagai usaha UiTM memberi pendedahan komersial kepada mahasiswanya.”
Masih menuntut di semester empat dalam pengajian Diploma Seni Muzik, Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM, peluang untuk merakam dan meluncurkan single mungkin seperkara yang tidak pernah diduga Xavier Austin Hong.
Diperkenalkan dengan nama pentasnya, JEPX, melalui Pusat Kebudayaan, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, jejaka berdarah kacukan Cina-Iban ini tampil dengan single Bersama Kamu, baru ini sebagai usaha UiTM memberi pendedahan komersial kepada mahasiswanya.
Berlandaskan konsep motivasi mengenai perjuangan seorang anak muda untuk mengubah nasib hidup, single yang menyuntik eleman muzik tradisional, iaitu gamelan di dalam genre hip hop itu turut menampilkan rapper KungFu Heidi.
Heidi, rapper muda yang mula meraih perhatian, baru ini menerusi Kita Rockstar, iaitu lagu tema kejohanan akhir Mobile Legends: Bang Bang Professional League Malaysia lewat kolaborasi bersama penyanyi, Yazmin Aziz.
Penghasilan Bersama Kamu, menurut kenyataan medianya, direalisasikan Pusat Kebudayaan menerusi kerjasama dengan komposer terkenal, Helen Yap selain Hafiz Askiak yang merupakan Koordinator Pusat Kebudayaan UiTM, manakala lirik oleh Azalea.
“Projek ini juga bagi membantu universiti menjana pendapatan melalui kutipan royalti, caj persembahan, pendokumentasian harta intelek dan mengangkat jenama UiTM di industri kreatif.” – Muhammad Khairul Azman
JEPX yang dicungkil bakatnya menerusi pertandingan U-STAR UiTM 2021, juga merupakan juara Pertandingan Lagu Iban ASC Online 2021. Penerima Anugerah Penyanyi Terbaik bagi program Warkah dan Lagu Peringkat Negeri Selangor 2019 ini juga menimba pengalaman pentas, antaranya pada Konsert Diraja 2019, diiringi Orkestra Kementerian Pengajian Tinggi.
Pengarah Projek, Muhammad Khairul Azman Abdul Aziz yang juga Timbalan Ketua Pegawai Muzik, mengakui single Bersama Kamu itu merupakan antara langkah UiTM dalam mengangkat bakat mahasiswanya dalam industri kreatif tanahair.
“Projek ini juga bagi membantu universiti menjana pendapatan melalui kutipan royalti, caj persembahan, pendokumentasian harta intelek dan mengangkat jenama UiTM di industri kreatif,” katanya.
Pelaksanaan projek itu, menurutnya yang dihasilkan dengan kerjasama syarikat rakaman muzik, studio rakaman, penerbit terkemuka dan pemain industri muzik profesional negara juga diharap membawa impak kepada dunia muzik antarabangsa kelak.
Comments are closed.