“Nak sebut nama Allah dan Rasul dalam lagu Bunkface, tapi…”
Kolaborasi bersama Inteam dengan lagu Mencari Sinar penuhi hasrat Sam Bunkface, akhirnya.

Oleh Rumi | Gambar Smileyriver

“Saya pernah berdoa nak menyebut nama Allah dan Rasul dalam lagu Bunkface, tapi selalu tak jadi.” – Sam Bunkface

SAM Bunkface ada banyak sebab untuk meraikan Ramadan kali ini dengan ekstra keterujaan.

“Doa saya makbul,” kata frontman dan juga pemain gitar band new age punk rock itu mengenai kolaborasinya dengan kumpulan nasyid, Inteam. “Saya teruja nak menyanyi sesuatu yang lain daripada kebiasaan.”

Mencari Sinar, lagu ciptaan Allahyarham Ahmadi Hassan, penyanyi yang dikenali dengan lagu berunsur dakwah pada era 70an hingga 80an dengan susunan muziknya oleh Sam sendiri bersama Epul Kuat menjadi buah tangan terbaharu selepas kontroversi Akhir Zaman yang dikeluarkan, tahun lalu.

“Saya pernah berdoa nak menyebut nama Allah dan Rasul dalam lagu Bunkface, tapi selalu tak jadi,” kata Sam, bagai membayangkan kecenderungannya kini sejak mencipta nama bersama bandnya itu pada 2005.

“Allah nak makbulkan doa saya, tiba-tiba label Smileyriver Online menemui saya untuk kolaborasi lagu Mencari Sinar.”

Pertama kali bagi Sam dan Inteam sendiri, Mencari Sinar bagaimanapun adalah projek kedua seumpamanya buat Smileyriver yang pernah menggandingkan kumpulan itu bersama Alif Satar dan Nocturnal Voice lewat Jangan Menghina pada 2016.

Mencari Sinar yang membawa mesej penghijrahan, sesuai dengan kehadiran Ramadan sebagai bulan penuh rahmat dan keampunan, juga merupakan karya terakhir Allahyarham Ahmadi Hassan..

Smileyriver, menerusi kenyataan medianya, menyifatkan gandingan Sam-Inteam yang mempunyai niche tersendiri dan fan base yang besar berupaya menyebarkan mesej lagu itu dengan lebih meluas dan berkesan.

Selain Inteam yang dilihat sentiasa bersedia untuk mencuba sesuatu yang baharu, pemilihan Sam pula dinilai daripada karya-karyanya yang dilihat menitikberatkan mesej menerusi liriknya, antaranya Akhir Zaman yang memberi gambaran jelas mengenai keseriusannya.

Mencari Sinar yang membawa mesej penghijrahan, sesuai dengan kehadiran Ramadan sebagai bulan penuh rahmat dan keampunan, juga merupakan karya terakhir Allahyarham Ahmadi Hassan yang belum pernah dirakam.

Sam, selain Pa’an dan Youk yang membentuk trio Bunkface pula mula diperkenalkan lewat single Inggeris, Silly Lilly sebelum muncul dengan EP pertama, Lesson of the Season pada 2007 diikuti Situasi, lagu Melayu pertama mereka pada 2008.

Selain inspirasi band punk seperti Sum 41 dan Blink 142 yang dilihat mewarnai perjalanan muzik mereka, kelincahan Sam di pentas antara yang membentuk identiti Bunkface yang melonjak dengan hits seperti Darah Muda dan Malam Ini Kita Punya.

Jauh daripada jalur muzik yang pernah dimainkan, Sam menerusi kenyataan medianya turut menyifatkan kolaborasi lewat genre world music dan nasyid ini sebagai mencabar.

“Saya dengan kerjasama Epul Kuat mengambil masa lebih kurang seminggu untuk menghasilkan susunan yang sesuai, seperti yang dibincangkan dengan pengurus dan penerbit lagu ini,” katanya.

“Kami cuma ambil masa sehari untuk proses rakaman suara bersama abang-abang Inteam.”

Sambil mengakui sangat mudah bekerjasama dengan Inteam, malah banyak belajar daripada kumpulan itu yang disifatkannya lebih berpengalaman, mood Mencari Sinar juga diperelok dengan alunan gambus petikan pemuzik, Fauziah Gambus.

Sambil membentangkan bait lirik seperti:

Jika Iman kuat kita jadi kebal

Sila guna akal tidak payah pakai tangkal

satu permintaan Sam, iaitu supaya pendengar muzik tempatan dapat menerima karyanya yang menurutnya, mungkin kali ini sedikit berlainan bentuknya daripada lagu-lagunya yang lain.

“Penting, hayati mesej-mesejnya. Semoga dapat memberi sedikit inspirasi dalam hidup anda,” katanya, mengharap.