Pantai, Coconut Shake & Awek Rock Bernama Ella
Pasal impian, sambil dihambat rasa teruja dan gementar untuk Kembara KitaRamli Sarip dan Ella yang pertama.

Oleh Zurina Waji

“KAMELIA,” kata Ella, cepat tanpa ragu-ragu, merujuk hit 1980 Sweet Charity itu. “Lagu itu memperkenalkan Ella kepada Ramli Sarip. Kali pertama mendengarnya, Ella rasa… wow! 

“Dan semua lagu-lagunya… ada statement.”

Kala dikhabarkan Ramli, kini Datuk, bakal menerbitkan album solo pertamanya selepas dia meninggalkan Ella & The Boys, dia yang ketika itu, baru berusia 23 tahun dibaluti rasa gemuruh. Mendapatkan sentuhan seorang seperti Ramli, baginya adalah satu penghormatan. Sedang Ramli sendiri, pada masa itu, belum lama meninggalkan Sweet Charity, di mana dia merupakan vokalis band rock asal Singapura itu sejak penubuhannya pada 1967.

“Ella gementar sangat,” katanya, senyum mengimbau pengalaman pertamanya bersama Ramli. “Ella baru nak belajar buat muzik, tapi Abang Ramli adalah satu nama yang besar. Ella terus rasa tidak tahu apa-apa. Di studio, Ella punyalah gementar sampaikan kepala macam… jammed.”

Pertemuan kami diatur di sebuah studio di Petaling Jaya, menuju beberapa hari menjelangnya konsert Kembara Kita – Ramli Sarip dan Ella anjuran Rasa Karya Sdn Bhd yang bakal berlangsung di Istana Budaya selama dua malam, bermula Jumaat ini.

Sedang berbual, Ramli yang hadir lebih awal dengan berbaju T merah, melewati dan sempat mengusik, “Kenapa dengan Ella, interviunya lama? Dengan saya sekejap saja.”

Ella senyum dan apabila ditanya bagaimana Ramli di matanya, dia yang ditemani kakaknya, Jojie, hadir berbaju hijau zaitun terhenti seketika daripada membetulkan tudungnya yang bewarna sedondon itu. Hanya Ella dapat memberikan jawapan sebegini, apabila dengan wajah naifnya, yakin memberitahu: “Ramli Sarip? Rock n Roll. Best!

Tapi dia kemudian menjelaskan, “Bila kerja, tegas. Ya.” Dan dia mengangguk-anggukkan kepalanya.

Pada 1989, Pengemis Cinta yang turut memuatkan enam lagu ciptaan Ramli, termasuk Kau Yang Pertama dan Misteri Seorang Kekasih melancarkan karier solo Ella yang selepas lebih 30 tahun masih memegang gelar Ratu Rock.

“Hajat tu banyak. Konsert dengan Datuk Ramli Sarip adalah salah satu daripadanya, selain Datuk M Nasir.”

Ramli, pada pengumuman Kembara Kita, akhir tahun lalu menyifatkan Ella sebagai “very raw, sangat santai.” Ketawa mengingati Ella, ketika itu dengan jeans yang “koyak sana, koyak sini”, imej dan gaya street penyanyi itulah, akuinya disuntik di dalam album Pengemis Cinta yang disusuli dengan kejayaan Puteri Kota (1990) dan Identiti (1991).

BACA: Soul Kembara Kita Ramli Sarip Dengan Ella, Sang Superstar

 Kembara Kita, menurut Ella, bukan sahaja menggandingkan dia dan Ramli di pentas melalui sebuah konsert berskala besar, buat julung kali, malah dianggap tercapainya salah satu impian yang ditanamnya sejak lebih 30 tahun.

“Hajat tu banyak,” katanya, tersipu-sipu apabila diajak berbicara mengenai impiannya. “Konsert dengan Datuk Ramli Sarip adalah salah satu daripadanya, selain Datuk M Nasir. Oh, kalau artis antarabangsa sudah tentu dengan Coldplay!”

RATU ROCK DAN BUT PHUA CHU KANG

Bersama Ella, sebahagian masanya memang mudah untuk terlupa mengenai usianya yang sudah melewati 50an itu. Juga kejutan yang hadir, seperti melihatnya yang teruja bercerita mengenai kebun cilinya di Jeram yang hampir mencecah empat ekar itu yang sudah dua kali dituai.

Ratu Rock dan berkebun? Tapi itulah Ella, penuh kejutan yang kadang lucu tapi manis.

“Ella suka bunga, sebenarnya,“ katanya, mengakui meminati tanaman seperti arwah ayahnya, seorang pesara tentera. “Ini bukan hobi baru, cuma dulu diketepikan sebab fokus pada nyanyian. Ella suka bercucuk tanam, suka tengok hasilnya dan kebetulan, suami pun suka.”

Sedikit berfalsafah, dia menuturkan, “Berbakti pada tanah dan tanah akan berbakti kepada kita. Cool kan.”

Cool yang jika menurut tafsiran Ella dan didedahkan Jojie yang kini kembali mengurusi kariernya, termasuk alasan untuk mengenakan but kuning seperti yang pernah dipopularkan karektor utama sitkom terkenal Singapura, Phua Chu Kang, dulu.

“Ella sukalah but Phua Chu Kang tu,“ katanya selamba, membuat studio berderai dengan ketawa. “Ella cari tapi tak jumpa, jadi satu hari tu ke kebun pakai but juga tapi but Prada sebab Ella takut pacat.”

“Ingatkan apabila sudah berkahwin, Ella akan rileks, jadi surirumah, pergi mengembara dan kalau menyanyi pun, untuk seronok-seronok saja.”

Kecuali kini berhijab dan bergelar isteri kepada Kapten Azhar, seorang juruterbang bersama sebuah syarikat penerbangan, dia masih dengan perspektif lurus dalam banyak hal yang kadang disalah duga sebagai keanak-anakan. Sering, ia boleh saja kedengaran lucu tapi tetap menyenangkan.

Seperti, apabila diminta membayangkan apabila dia sudah tidak bergelar penyanyi lagi, dia jadi teruja memberitahu, “Nak berbaring di pasir pantai yang putih, minum coconut shake dan rileks saja.”

Namun, ditanya bilakah dia merancang untuk bersara, dia terdiam. “Tak pernah fikir nak berhenti menyanyi,“ katanya, serius. “Sejujurnya, Ella juga tidak pernah terfikir dapat bertahan dalam industri seni sampai sekarang.

“Ingatkan apabila sudah berkahwin, Ella akan rileks, jadi surirumah, pergi mengembara dan kalau menyanyi pun, untuk seronok-seronok saja. Tapi apabila sudah di sini, dengan Kembara Kita, Ella hanya fikir nak buat (menyanyi). Kapten (suami) pula beri galakan, mungkin sebab dia pun meminati seni dan sekiranya kami tidak satu kepala, mungkin Ella tidak akan berada lagi di sini, hari ini.“

Ella sempat ragu-ragu apakah dia masih relevan saat merencana Konsert Ella Unplugged in Kuala Lumpur 2019, tahun lalu yang ternyata sukses. Konsert bersama Ramli ini, akuinya menyebabkan rasa gementar itu memburu lagi.

“Suara tergelincir masa menyanyi? Itu normal dan kalau ada sesiapa cakap suaranya tak pernah tergelincir semasa menyanyi, bohonglah tu.

BACA: Ella Unplugged in Kuala Lumpur: Malam Melayar Impian dan Momen Yang Tidak Terduga

“Entah berapa banyak persembahan sudah Ella buat tapi masih juga gementar setiap kali mahu muncul di pentas,“ katanya yang tegas dalam rutin senamannya bagi mengekalkan stamina, selain banyak minum air suam dan mengurangi pengambilan bergula, mengelak tekak kering yang dikhuatiri menjejaskan suara.

“Suara tergelincir masa menyanyi? Itu normal dan kalau ada sesiapa cakap suaranya tak pernah tergelincir semasa menyanyi, bohonglah tu. Ia bagaimanapun boleh jadi satu kesilapan yang indah kalau kita tahu kawal. Tapi disebabkan Ella bakal muncul dengan seorang seperti Ramli Sarip, Ella kena usaha lebih.”

Kembara Kita, juga judul duet mereka yang dimuatkan di dalam album Puteri Kota adalah refleksi kepada perjalanan muzik mereka secara peribadi yang menurut Ella, terisi momen magis dan kembara yang hampir dilupakan, malahan belum pernah diperkatakan.

Persembahan hampir tiga jam itu, jelasnya menjurus pada lagu-lagu Rock n Roll dan Blues, secara solo dan duet.

“Banyak lagu yang sedap, ada momennya, ada moodnya,“ kata Ella, memberi bayangan mengenai repertoire konsert. “Paling penting, ada elemen yang tidak pernah dibuat dalam mana-mana persembahan.

“Ada kejutan yang akan buat orang ingat sampai bila-bila.”