FEVER 333 BAKAL BIKIN KL PANAS
Dari Los Angeles, band bertunjang aktivisme lewat gabungan muzik genre hip-hop dan punk bersedia untuk konsert pertama di Malaysia, Rabu ini.
Foto Skesh Entertainment
TRIO ini tidak digelar “Rage of the Machine” bagi generasi ini, tanpa sebab.
Bagi penggemarnya, untuk melepaskan malam bersama Fever 333, mendengar lontaran bait yang menyentuh isu semasa lewat paduan muzik keras dalam persembahan bertenaga, julung kali di Kuala Lumpur, adalah suatu yang tidak dapat dibayangkan.
Imbau seawal Made an America diluncurkan, mengamati persembahan live Jason Aalon Butler yang juga merupakan bekas penyanyi letlive. bersama pemain dram, Aric Improta dan gitaris, Stephen Harrison dengan genre hip-hop dan punk yang berlandaskan aktivisme dikatakan luar biasa.
Juga lirik dengan elemen yang diibaratkan tamparan kepada situsi politik negara Uncle Sam. Impak bukan biasa-biasa tentunya apabila ia turut memberikan Fever 333 pencalonan di Anugerah Grammy, kemudiannya.
“Kami mempunyai pemain gitar berkulit hitam, vokalis yang lahir daripada perkahwinan campur dan pemain dram berkulit putih,” ujar Butler, memetik siaran media sempena konsert yang dibawakan oleh Skesh Entertainment itu.
Jelasnya lagi, “Fever 333 bermula sebagai satu gerakan dan ini adalah lebih penting daripada muzik itu sendiri.”
Sepertimana pernah diberitakan, penubuhan Fever 333 oleh Butler terjadi susulan pertemuan tidak disengajakan dengan Travis Barker, pemain dram band terkenal blink-182. Disertai John Feldman, seorang produser muzik, tercetus inspirasi bagi menghasilkan EP pada 2018 yang dinamakan Made an America.
“Kami banyak berbual tentang black punk rock,” kata Butler, menurut kenyataan itu lagi. “Punk rock dan hip-hop adalah serupa daripada pelbagai segi. Kedua-duanya adalah seni yang lahir daripada ketidakselesaan dan perasaan yang membara.
“Travis dan John amat menyokong hasrat saya untuk mencipta sesuatu yang unik dan sedikit bahaya dalam pendekatan terhadap muzik dan etos. Kami bersetuju bahawa apa sahaja yang lahir daripada kami harus mempunyai impak dan boleh dijadikan aspirasi untuk suatu perubahan.
“Kami ingin melahirkan satu runut bunyi bagi sebuah revolusi yang kami pasti akan berlaku tidak lama lagi.”
Butler, ketika itu memutuskan untuk membubarkan letlive. yang sudah 15 tahun ditubuhkan. Biar menghargai pengalaman diperolehi sepanjang tempoh berkenaan, dia didorong keinginan untuk bergerak ke arah sesuatu yang lebih spesifik daripada segi visi muzik dan mesej yang ingin disampaikan.
“Daripada pelbagai rasa, sama ada personal, artistik, mental, emosi – saya agak radikal dan berpegang teguh terhadap apa yang saya percaya. letlive. telah pun mencapai cita-citanya. Kini adalah masa untuk era yang baru,” jelasnya.
Made an America menyaksikan kelahiran single, Trigger yang membawa isu kontroversi keganasan senjata api di Amerika Syarikat. Sebuah lagi single, Burn It diperdengarkan bersama pengumuman mengenai album penuh pertama, Strength in Numb333rs yang kemudian memasuki pasaran pada Januari, tahun lalu.
Dan Made an America telah memberikan Fever 333 pencalonan Anugerah Grammy menerusi kategori Persembahan Rock Terbaik, manakala Burn It pula dijulang sebagai Lagu Terbaik pada malam Anugerah Kerrang!
Dan Kuala Lumpur akhirnya, bakal jadi saksi kepada sebuah konsert yang amat istimewa dalam suasana unik.
Comments are closed.