#mukabaru Trophy Knives Dan Ideologi Bukan Tradisional
Perkenalkan Glass Ceiling, debut band punk asal Kuala Lumpur ini yang bawa perspektif baru dari underground scene.

Foto Trophy Knives

DENTUMAN dram berentak berat. Mainan gitar yang kacau bilau, tapi unggul dan berseni, bersama melodi synthesizer.

Dan vokal? Menghiris, katanya.

Bunyinya macam kombinasi gila, namun Glass Ceiling adalah keberanian yang diserlahkan penuh bergaya oleh empat pemuzik underground ini yang menggelar diri mereka Trophy Knives.

Komposisi itu, menurut kenyataan media mereka, adalah cetusan perspektif hasil jelajah Australia yang berlaku, Mei lalu. Penghasilan album sulung itu tentunya cabaran yang bukan sekadar satu permulaan namun buah catur yang mendebarkan pemainnya kerana ia juga bakal mempengaruhi langkah mereka di masa depan.

Enggan tunduk kepada norma industri hiburan tanahair, pemain baru ini menongkah arus dengan penghasilan debut yang menghimpunkan 10 lagu baru, antaranya Burn dan Hesitate yang juga merupakan single.

Ini diikuti “lirik yang relevan kepada isu-isu semasa dan susur kehidupan warga metropolitan sejagat” lewat lontaran bertenaga frontmannya, Vinesh yang dilengkapi permainan bertenaga Sani (gitar utama), Syamir (bass) dan Ryan Lee (dram).

Glass Ceiling, menurut Vinesh yang merupakan komposer utama, dihasilkan sebagimana mereka membayangkannya tiga tahun lalu, iaitu sebuah karya yang berupaya menggegarkan industri muzik Malaysia.

“Proses rakaman album ini bercanggah dengan segala ideologi tradisional industri ini kerana sesi komposisi, rakaman dan penggambaran video muzik berlangsung serentak,” katanya yang mengimbau bagaimana mereka bekerja keras untuk debut ini yang berinspirasi daripada band seperti AFI, Fugazi, Billy Talent dan Alkaline Trio dalam susunan muziknya.

Satu penghormatan tentunya buat Trophy Knives pada pelancaran Glass Ceiling di Drum Asia dengan kerjasama Urbandscapes 2019, Disember lalu, yang berkongsi pentas dengan band metal, Massacre Conspiracy; TIM dengan genre punk mereka selain T.hirst, deejay duo emo/punk terkenal dari Singapura.

Glass Ceiling boleh didapatkan di semua platform muzik streaming, atau pesan di IG @trophyknivesband atau FB Trophy Knives untuk album dan barangan cenderahati, juga album dalam format piring hitam yang bakal dicetak kelak.