Bila Budak Sekolah Masuk Dapur
Pencarian Little Chef kemuncak Malaysian Traditional Dessert Fair For Kids bagi mendedahkan kanak-kanak pasal warisan, lewat… pencuci mulut tradisional!
Foto Mac Training Centre Sdn Bhd
HIRUK pikuk! Namun ia jelas pengalaman menyeronokkan apabila sekumpulan pelajar berusia antara tujuh hingga 12 tahun berhempas pulas di pertandingan Little Chef dalam pencarian juara pembikin pencuci mulut tradisional.
Malaysian Tradisional Dessert Fair For Kids sebagai platform untuk kanak-kanak belajar mengenai pencuci mulut tempatan dilihat sebagai pendekatan berbeza dan unik dalam memperkenal, sekaligus mencambahkan minat golongan ini terhadap warisan.
Pencarian Little Chef adalah antara program dalam penganjuran acara yang merupakan sebuah projek pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Fakulti Pengurusan Seni, Budaya dan Warisan, Akademi Seni, Budaya dan Warisan (Aswara).
Pada acara yang berlangsung di Hotel Premiera di Kuala Lumpur, baru ini, gelaran Little Chef dirangkul Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Bandaraya dengan kuih jongkong yang dinilai, antaranya juri tetap Master Chef Malaysia, Chef Papa Jo dengan “rasa dan persembahan” yang melayakkan mereka beroleh markah tinggi.
SK Datuk Keramat 2 dan 1, masing-masing meraih tempat kedua dan ketiga dengan kuih cek mek molek dan keria. Sebanyak lapan pasukan bertanding, membabitkan sekolah-sekolah rendah di sekitar daerah Lembah Klang yang turut dinilai Chef Yahaya daripada Hotel Premiera dan Chef Puteri Anis Sa’adah, selain Chef Papa Jo sendiri.
Projek yang bertumpu pada usaha mendedahkan kanak-kanak kepada eleman kesenian di dalam 108 hidangan pencuci mulut tradisional yang diwartakan Jabatan Warisan Negara ini turut dimeriahkan dengan demonstrasi pembikinan cek mek molek dan angku kuih oleh Chef Anis dan persembahan muzik Gemersik Alunan, selain muzik tradisional Sarawak oleh Joe Sape.
Comments are closed.