Malam Mistikal Hikayat M Nasir
Menyusuri 40 tahun perjalanan muzik lewat Konsert M Nasir Satu Hikayat ibarat sentuhan listrik yang merenjat jiwa.

Oleh Zurina Waji | Foto Fauzi Hamid

“SAYA akan bernyanyi apabila bersendirian,” kata Datuk M Nasir, memecah kesunyian seraya mempamer senyum di hujung mulutnya dalam satu pertemuan. “Lagu-lagu 50an,” jelasnya, “lagu-lagu lama, ciptaan orang lain.”

Itulah lagu yang dekat di hatinya, katanya biarpun katalog berusia 40 tahunnya sudah cukup mewah sejak menukilkan lirik Senandung Semalam ciptaan Wan Ibrahim yang dinyanyikan mendiang Loga untuk debut Alleycats pada 1979.

Pada malam 40 Tahun Perjalanan itu, sedang menanti terlerainya teka-teki, visual seorang Tok Dalang di layar membayangkan persembahan akan dibuka dengan Langgam Pak Dogo. Karektor wayang kulit dimainkan, diaduk dengan gerak Kecak di layar, menyentuh tentang perang asal pengkisahan daripada epik Sanskrit, Mahabharata sebagai latar. Sabri Yunus, aktor prolifik yang dikagumi M Nasir, muncul menghidupkan peran Pak Dogol, ditemani Wak Long lakonan Mat Rock, mengumpan audiens dengan naratif dalam dialek Kelantan.

Karismatik, wajah yang dinanti tampil berkemeja kolar Nehru dan bercelana dhoti. Dan, aura yang sukar dinafikan.

Saya suka untuk mengandaikan ia juga penghormatan sosok asal Singapura ini buat penulis liriknya, Allahyarham Loloq, sahabat dan penulis yang menemani perjalanannya. Sekaligus menjadikan Langgam Pak Dogo yang diiringi kumpulan Dikir Barat, Arjuna Sukma sebagai pembuka panggung yang cukup sempurna.

Perang, merdeka dan kebangkitan menjadi pemula hikayat dalam satu segmen, menyambung pewayangan Kurawa kepada Anak-Anak Kita yang menyindir dalam jenaka dengan kritikan sosialnya, sebelum mesej dihantar Phoenix Bangkit Dari Abu.

“… saya rasa saya sentiasa dalam radar peminat. Seperti ada hubungan, dalaman. Saya dapat rasa bila mereka nak menonton, bila mereka seakan tidak kisah dengan saya. Seolah ada suara, ada gelombang.”

FALSAFAH BIASAN PERJALANAN

BAGAIMANA 40 tahun perjalanan muzik lelaki yang diteriak “Sifu” itu hendak diterjemah, melalui fasa sebagai komposer dan penulis lirik ratusan band dan penyanyi terkenal, juga bersama Kembara dan solo? Sudah banyak persembahan dibuat, bolehkah dia memberi suatu yang segar?

M Nasir, dalam pertemuan kami, berkata: “Saya tak nak dianggap perasan, tapi saya rasa saya sentiasa dalam radar peminat. Seperti ada hubungan, dalaman. Saya dapat rasa bila mereka nak menonton, bila mereka seakan tidak kisah dengan saya. Seolah ada suara, ada gelombang. Saya boleh rasa mereka fikir tentang saya atau tidak fikirkan saya. Saya selalu ada rasa itu.”

“Sosok sukar diduga, digeruni sebahagian kerana kelantangan yang kadang dianggap keceluparan, namun pada masa sama dikagumi lantaran karya, terutama falsafah yang ketara pengaruh ajaran sufisme… .”

Suasana di Plenary Hall, malam itu yang berkapasiti 2,800 orang mengesahkannya. Diiringi pemuzik Gong, Keroncong Untuk Anak menyejukkan rasa dengan irama keroncongnya. Saya peminat keroncong dan saya mencuba nasib, mengusulkan satu lagunya diberikan nafas keroncong sebagaimana Srikandi Cintaku.

Dia mengerling, ketawa. Katanya, “Keroncong? Kang orang menganga dengar.” Membahasakan diri sebagai “Orang”, saya mempertahankan, “Kenapa tidak? Biarlah kalau orang lain tak suka, tapi Orang suka keroncong.” Dan dia ketawa lagi.

Kerana saya hanya wartawan rookie semasa kali pertama menemubual M Nasir, seawal 90an. Sosok sukar diduga, digeruni sebahagian kerana kelantangan yang kadang dianggap keceluparan, namun pada masa sama dikagumi lantaran karya, terutama falsafah yang ketara pengaruh ajaran sufisme, seperti daripada Jalaludin Rumi.

Itu, saya kira yang menjadi intipati M Nasir. Iaitu, tentang keTuhanan yang sebetulnya membiaskan perjalanan peribadinya seperti daripada album Phoenix Bangkit (2001) yang pada malam konsert diberikan Raikan Cinta, Sahabat Gua, Bila Rumi Menari dan Hijab Kekasih, selain Langgam Pak Dogo dan Phoenix Bangkit Dari Abu.

Juga Canggung Mendonan (1993), di mana lima lagu diperdengarkan iaitu Mentera Semerah Padi yang diiringi sekumpulan pesilat berbusana merah, juga Bukalah Hatimu, Ada, Sentuhan Listrikmu dan Anak-Anak Kita.

BUKAN LUARAN TAPI DALAMAN

“ADA ke lagu M Nasir yang tak sedap?” tanya seorang teman berusia lewat 30an. Pernah, saya bertanya M Nasir dan katanya, “Apa telah saya sampaikan lebih menyentuh, bukan luaran tapi dalaman. Jadi ingatan lebih kekal. Saya tak kata lagu lain tak sedap tapi bila lagu tu melekat (di fikiran), jadi lain.”

 Jelasnya, lagunya mungkin “ada mesej yang universal, ramai orang boleh rasa” sebelum menyimpulkannya sebagai “suatu yang ghaib, susah nak diterangkan.” Ada lagu bagaimanapun, katanya “ tidak sampai ke tahap sebuah lagu.”

Kekurangan itu, katanya disebabkan “Lagu tak sampai, tak sedap. Karya tak ada jiwa. Mungkin ada orang terhibur, tapi masih ada lagu tidak perlu dibuat. Tapi yang buat itu pun bukan kehendak penulis, kehendak Tuhan begitu.”

Kala Shiraz Projects mengumumkan penganjuran Konsert M Nasir Satu Hikayat – 40 Tahun Perjalanan termasuk ke Singapura pada 4 Januari depan, selepas menonton M Nasir pada Magnum Opus, awal tahun ini, di mana dia menyanyikan semula beberapa hits Search dan Wings seperti Fantasia Bulan Madu dan Jaket Biru, saya ketagih.

BACA: 7 Lagu Yang Rupanya Dicipta M Nasir Yang Patut Ada Pada Konsert Hikayat

“Energi yang dipamer – menyanyi, menari dan berjenaka, hampir naik syeh sebetulnya terutama apabila dia menambah Suatu Masa dan Mustika yang tiada dalam senarai – luar biasa bagi seorang berusia 62 tahun… ”

Keterujaan ketara, apatah lagi apabila beberapa judul yang dilihat ada signifikasi pada kembara seninya diperdengarkan. Dia membuai rasa, melantunkan bait puitis S Amin Shahab, Sekuntum Mawar Merah Sebuah Puisi asal nyanyian Alleycats sebelum memberi kejutan lewat Milik Siapakah Gadis Ini dan Bercanda di Pasiran Pantai, kolaborasi dengan Allahyarham Sudirman yang hampir tidak disedari.

Sungguh hampir tersedak mendengar M Nasir membawakan Sentuhan Kecundang, hits Ekamatra dengan vokal Rahmat yang super cengeng, saya senang Sampai Hati, all time favourite Spring sejak 1992 yang liriknya diberikan Allahyarham Juwie, penulis yang terkenal dengan bait cinta mendayunya, diangkat.

Jadi, apakah Hikayat sepertimana dijangkakan?

Energi yang dipamer – menyanyi, menari dan berjenaka, hampir naik syeh sebetulnya terutama apabila dia menambah Suatu Masa dan Mustika yang tiada dalam senarai – luar biasa bagi seorang berusia 62 tahun walaupun sempat dia berseloroh meminta ruang untuk meredakan mengah.

Hijab Kekasih yang liriknya dinukilkan Seth Tan dalam senarai teratas saya, diberikan M Nasir penuh penghayatan. Lirik menusuk jiwa, saya andaikan berlandaskan cerita sahabat Rasulullah SAW, Hanzalah ibn Abi Amir yang menurut Nabi, “dimandikan para malaikat”  selepas meninggalkan isteri yang baru semalam dinikahinya untuk menyertai Perang Uhud dan mati syahid, dilagukan penuh jiwa keMelayuan.

Saya pulang dengan satu pemahaman baharu, dan mungkin pengaruh perjalanan peribadi yang menjadikan konsert M Nasir ini paling membekas buat saya.

Kata teman yang mengikuti perkembangan M Nasir, mungkin tiba masanya untuk dia muncul dengan lagu baru.  

Nostalgia yang dipupuk sejak 40 tahun ini memang mahal tapi sebagaimana Allahyarham Tan Sri P Ramlee selepas era kegemilangan Jalan Ampas, tanpa mereka yang menjadi tulang belakangnya dulu, sedalam mana kesan kehilangan orang di sekeliling M Nasir, Loloq misalnya, terhadap keberadaannya?