Elegan Bunga Tanjung Selangor Modest Fashion

Mendefinisi kesantunan dalam fesyen lewat busana berinspirasi bunga rasmi Selangor.
Oleh Zurina Waji | Foto Fauzi Hamid
“MARY? Kenapa Mary?” Serentak, Siti Mariam Musa, 29, yang barangkali tidak menduga pertanyaan yang tiba-tiba diajukan itu, ketawa kecil. Sedikit tersipu, wanita berhijab itu menjelaskan, “Sayalah Mary.”
Dia masih senyum, manis. Nadanya lembut, menambah, “Sebenarnya, itu nama jolokan yang diberi seorang pensyarah dulu. Ah, panggil awak Mary lah, katanya. Jadi Mary lah, melekat dengan nama itu sampai sekarang.”
Tuah nama Mary, barangkali yang sebetulnya merupakan sebahagian daripada jenama fesyen Wan & Mary yang diperkenalkan lebih setahun lalu oleh Siti Mariam dan teman sekolejnya, Wan atau nama penuhnya, Mohd Hazzerwan Hazlee.


Biarpun asalnya bergerak dengan jenama sendiri, duo ini memutuskan untuk berkolaborasi bagi membangunkan WME Wan Mary Empire, di mana Mohd Hazzerwan diangkat sebagai Pengarah Artistik Kreatif manakala Siti Mariam, Pengarah Operasi Kreatif.
Jelas, graduan Kolej Kemahiran Tinggi MARA, Rembau ini tidak silap percaturan.
“Digelar By The Sea, koleksi ini menggunakan fabrik broked, organza dan lycra dengan menampilkan teknik cetakan di atas kain, diikuti layering yang berinspirasi kelopak bunga tanjung… ” – SITI MARIAM MUSA, pereka Wan & Mary
“Dari pantai dan laut,” kata Mohd Hazzerwan, mengulas inspirasi busana rekaan mereka dalam mendefinisi kesantunan fesyen yang mengungguli malam Selangor Modest Fashion Gala 2019, kelmarin untuk dinobat Pereka Beraspirasi. “Dan bermain dengan elemen air, ombak serta lautan.”
Ilmu ketika menyambung pengajiannya dalam Rekaan Fesyen dan Tekstil di Herriot Ward University, Edinburgh di United Kingdom, dimanfaatkan sepenuhnya untuk menghasilkan fabrik tersendiri yang diperindah dengan hiasan, sesuai mood membuai musim panas dalam rekaan fusion gaya hidup di pantai yang santai dengan suntikan gaya jalanan avant.


Kala diberitahu ciri fantasi yang seakan dipamer melalui busana mereka, Siti Mariam mengakuinya. Begitu pun, katanya ia masih menekankan praktikaliti dengan setiap penampilan berlandaskan konsep suai dan padan.
“Digelar By The Sea, koleksi ini menggunakan fabrik broked, organza dan lycra dengan menampilkan teknik cetakan di atas kain, diikuti layering yang berinspirasi kelopak bunga tanjung dalam menghasilkan rekaan yang santun namun masih bergaya,” tambahnya.
Wan & Mary mengatasi lapan jenama lain menerusi pertandingan dalam kalangan pereka muda berbakat selama empat bulan di bawah bimbingan dan pantauan Kurator Fesyen, Faizal Hamid; Penggaya Fesyen, Zaihani Mohd Zain dan Pengasas KL Fashion Week, Andrew Tan.
“… mungkin lebih molek sekiranya lebih ramai model berwajah tempatan diketengahkan bagi menghidupkan lagi sofistikasi dan keanggunan bunga tanjung sebagai inspirasi Melayu klasik… ”
Selangor Modest Fashion merupakan inisiatif Kerajaan Negeri Selangor menerusi Invest Selangor Berhad, antaranya bagi menjadikan negeri itu sebagai hab fesyen untuk fesyen santun dalam tempoh lima tahun ini. Peragaan dibuka dengan 36 pasang busana rekaan pereka muda berbakat, selain setiap satu daripada 12 pereka ternama seperti Melinda Looi, FiziWoo dan Syomirizwa Gupta yang bakal dipasarkan menerusi platform eksklusif.
Tengku Permaisuri Selangor, Permaisuri Norashikin turut berkenan mencemar duli ke majlis peragaan eksklusif yang berlangsung di Hotel Four Seasons, Kuala Lumpur, diiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafudin Idris Shah. Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Pengerusi Eksekutif Invest Selangor, Datuk Hasan Azhari.

Selain Wan & Mary, pereka muda yang turut meraih perhatian dengan tiga koleksi Ready to Wear dan satu koleksi Diraja bagi setiap jenama ialah Arun Chee dan Sayfull Eizarm dengan busana sofistikated biru ultramarin lewat himpunan Voyage au Glacier, juga Shafirul Riza (Midnight Show) dan Nicole Teoh (Selangor Cruise 2020).
Tanpa menafikan aura classy yang dibangkitkan pada malam itu dengan kehadiran kerabat Diraja, terutamanya mungkin lebih molek sekiranya lebih ramai model berwajah tempatan diketengahkan bagi menghidupkan lagi sofistikasi dan keanggunan bunga tanjung sebagai inspirasi Melayu klasik, menterjemah kesantunan dalam erti kata sebenar.
Comments are closed.