Apa ada di Belitung? 8 Sebab Untuk Kunjungi Negeri Laskar Pelangi Ini
Jauh dari hutan batu dan hal-hal yang menambah kecamukan, keindahan pulau kecil Indonesia ini pasti menenangkan.
Untuk Info 019-3605287
Cerita 10 anak-anak daripada keluarga miskin yang bersekolah di sebuah sekolah Muhammadiyah yang penuh keterbatasan melalui filem Laskar Pelangi, 11 tahun lalu, melorongkan perhatian dunia pada pulau penghasil timah tu yang digelar Belitung.
Kebiruan langitnya, keindahan lautnya dan kesederhanaan masyarakat yang majoritinya beragama Islam di pulau dalam provinsi Bangka Belitung yang terletak di bahagian timur Sumatera, berdekatan provinsi Sumatera Selatan, menjadi idaman penggemar karya berinspirasi daripada novel yang menceritakan kehidupan masa kecil penulisnya, Andrea Hirata di Belitung Timur.
Dipisahkan dengan Pulau Bangka oleh Selat Gaspar, ini sebabnya mengapa Belitung mesti dikunjungi:
PASIR PANTAI PUTIH, BAYU LAUT DAN SENJA NAN INDAH
Pantai Tanjung Tinggi
Pantai Tanjung Tinggi dengan pasir putihnya, airnya yang jernih dan pohon kelapa yang melambai cukup mendamaikan. Padanlah mengapa pantai paling popular Belitung ini juga menjadi lokasi penggambaran filem Laskar Pelangi. Terletak di Desa Ciput, Kecamatan Sijuk, di utara pulau, ia juga dipaparkan dalam filem Sang Pemimpi.
Pantai Tanjung Kelayang
Lagi satu pantai popular Belitung dengan airnya yang jernih, formasi batu granitnya memang spot hebat untuk anda terokai dan berselfie, atau sekadar duduk membaca buku sambil menikmati bayu laut yang tenang. Terletak berdekatan Pantai Tanjung Tinggi, jangan lupa merakam momen senja yang indah di pantai ini.
MEMORI LASKAR PELANGI
SD Laskar Pelangi
Kena ada dalam senarai kunjungan anda, ayuh imbas bagaimana Ikal dan teman-temannya belajar di sekolah yang merupakan replika SD Muhammadiyah Gantung sepertimana diperlihatkan dalam Laskar Pelangi yang berada di Desa Lenggang, Kecamatan Gantung di Belitung Timur.
Ia dibangunkan bertentangan Dermaga Kirana yang terletak bersebelahan Rumah Keong. Jika ke Dermaga Kirana, anda boleh naiki perahu untuk menyusuri Sungai Lenggang. Rumah Keong sesuai untuk kaki Instagram, dengan reka bentuknya yang menyerupai haiwan dan ditambah dengan keindahan alamnya.
Museum Kata Andrea Hirata
Diangkat sebagai muzium sastera pertama dunia, Museum Kata Andrea Hirata di Jalan Laskar Pelangi, Nombor 7 di Desa Gantong, Belitung Timur ini menghimpunkan gambar-gambar dan paparan bait-bait indah yang dilayangkan penulis yang juga anak jati Belitung di sebalik fenomena Laskar Pelangi ini.
Nota: Caj masuk berasingan.
PESONA RATUSAN PANTAI
Pulau Lengkuas
Dikelilingi sekitar 470 pulau kecil dengan ribuan pantai yang mempesona, wajib island hopping.
Cuma 20 minit perjalanan menaiki bot dari Tanjung Kelayang atau Tanjung Binga, Pulau Lengkuas dengan airnya yang kehijauan wajib dikunjungi, termasuk untuk snorkelling sambil ambil peluang merakam keindahan panorama daripada rumah api era Belanda yang dibina pada 1882 yang menjadi mercu ikoniknya.
Pulau Batu Garuda
Cuma 10 minit perjalanan menaiki bot dari Tanjung Kelayang, merakam momen berlatar formasi batu granit yang berbentuk seakan burung garuda adalah antara tarikan ke Pulau Batu Garuda.
Juga mempunyai formasi batu granit menarik, Pulau Batu Belayar dan apabila air surut, kunjungi Pulau Pasir yang mulai kelihatan untuk peluang melihat sambil merakam tapak sulaiman.
MAKAN SEDAP, WEYYY!!!
Mie Belitung
Tak sah ke Belitung kalau tidak merasa Mie Belitung yang merupakan makanan khusus pulau ini. Ia berupa hidangan mi kuning berkuah, seakan-akan Mi Rebus Johor, menggunakan udang sebagai bahan asas dalam kuahnya yang pekat, dihidang bersama potongan kentang rebus, udang, hirisan timun dan emping.
Es Jeruk Kunci dan Kopi Kong Djie
Pengaruh keCinaan dalam kulinari masyarakat Belitung juga dilihat dalam pilihan minuman seperti Es Jeruk Kunci. Memang tak ada kaitan jeruk dan kunci, hanya nama sejenis limau untuk minuman yang agak masam namun cukup menyegarkan, terutama dalam cuaca panas Belitung yang dikelilingi laut.
Atau, buat pecinta kopi, apa kata ke Kong Djie yang masih menyediakan kopi mereka dengan cara tradisional, di mana biji kopinya dipanggang menggunakan arang.
Untuk Info 019-3605287
ITINARI
Hari 1
Dijemput dari Lapangan Terbang H.A.S Hanandjoedin, menuju ke Tanjung Pandan. Bersarapan Mie Belitung dan menikmati Es Jeruk Kunci sebelum mula meneroka kota kecil Gantung di Belitung Timur. Mulai dengan kunjungan ke SD Laskar Pelangi sebelum ke Museum Kata Andrea Hirata.
Terlanjur di Gantung, kunjungi Kampoeng Ahok untuk meninjau tempat kelahiran mantan Gabenor Jakarta kontroversi berketurunan Cina, Basuki Tjahaja Purnama atau nama gelarannya, Ahok sebelum berehat untuk makan tengah hari dan kembali ke Tanjung Pandan. Daftar masuk ke hotel dan bersiap untuk makan malam.
Hari 2
Selepas sarapan, ke Tanjung Kelayang untuk menikmati pantai pasir putihnya. Kemudian, bersiap untuk island hopping ke Pulau Batu Garuda, diikuti Pulau Pasir dan Pulau Batu Belayar. Perjalanan diteruskan ke Pulau Lengkuas yang terkenal dengan mercu tanda Rumah Api untuk aktiviti pulau, antaranya snorkelling.
Dari Pulau Lengkuas, sambung perjalanan ke Pulau Kepayang untuk makan tengah hari sebelum kembali ke Tanjung Kelayang. Luangkan petang anda di pantai popular Belitung, Pantai Tanjung Tinggi yang menenangkan sebelum dibawa menuju ke Tanjung Pandan untuk makan malam.
Kembali ke hotel, berehat sambil menikmati kopi tradisional Kong Djie.
Hari 3
Selepas sarapan, perjalanan dimulai dengan ke Belitung Selatan yang terkenal dengan pelancongan pertanian, terutama lada selain pantai-pantai indah dengan formasi batu granit yang tidak kurang menariknya. Pantai Penyabong, Batu Baginde antara lokasi bakal dikunjungi sebelum berehat makan tengah hari.
Seterusnya ke Pantai Teluk Gembira, sebelum kembali ke Tanjung Pandan untuk makan malam. Selesai, kembali ke hotel untuk istirehat.
Atau, pada kadar tertentu, anda boleh memilih opsyen untuk ke Pulau Leebong, pulau kecil di Pegantungan, Badau yang terletak di pantai barat Belitung. Rumah pohon di tengah pulau, spot memotret yang menggetarkan jiwa, apatah lagi ini adalah pulau persendirian yang membuat anda merasa pulau ini milik anda!
Hari 4
Sarapan dan daftar keluar, sebelum dibawa City Tour mencari ole-ole Belitung. Usai membeli-belah, hari terakhir di Belitung ini akan diisi dengan kunjungan ke Pantai Tanjung Pendam sebelum ke Rumah Adat Belitung yang merupakan replika rumah tradisional masyarakatnya yang memaparkan, antaranya seni bina dan koleksi busana pengantin.
Percutian ke Belitung disempurnakan dengan kunjungan ke Danau Kaolin, bekas tapak galian mineral yang ditinggalkan di Desa Nibung, Kabupaten Bangka Selatan dan kini membentuk seperti tasik beraneka warna yang sangat Instagrammable!
Ke Lapangan Terbang H.A.S Hanandjoedin kemudiannya, bersedia untuk pulang ke tanahair.