5 Suara Paling Padu di Konsert ORTM Pita Merdeka

Dijadualkan untuk tayangan di TV1 pada 31 Ogos sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Oleh RUMI | Foto Jun Looi
“… 32 pemuzik Orkestra Radio Telvisyen Malaysia (ORTM) di bawah pimpinan Raja Mohd Sham Raja Saari. Mereka mengiringi persembahan lima penyanyi terbaik tanah air, iaitu Liza Hanim, Aina Abdul, selain Lah Ahmad dan Amir Masdi, dan pendatang baru, Nadeera yang membawa lagu-lagu patriotisme… “
“INI adalah sebuah keraian semangat merdeka dengan muzik yang menyatukan perpaduan, kebersamaan, dan harapan masa depan generasi,” memetik kenyataan Jabatan Penyiaran Malaysia berhubung Konsert ORTM Pita Merdeka.
Diterbitkan oleh Hanif Ahmad, manakala skrip oleh SlenFadzil, penerbitan konsert julung kali itu menampilkan seramai 32 pemuzik Orkestra Radio Telvisyen Malaysia (ORTM) di bawah pimpinan Raja Mohd Sham Raja Saari.
Mereka mengiringi persembahan lima penyanyi terbaik tanah air, iaitu Liza Hanim, Aina Abdul, selain Lah Ahmad dan Amir Masdi, dan pendatang baru, Nadeera yang membawa lagu-lagu patriotisme inspirasi, serta kasih sayang kepada diri, keluarga dan negara ini

Dirakam di Studio M1, Angkasapuri, Kota Media, Kuala Lumpur, konsert yang dihoskan oleh Fahrin Ahmad itu dijadual menemui penonton di TV1, juga RTMKlik, pada jam 10 malam, 31 Ogos.
“Konsert dua jam ini membariskan artis terkenal tanah air, iaitu Nadeera, Amir Masdi, Liza Hanim, Aina Abdul, dan Lah Ahmad,” kata kenyataan itu. “Istimewanya kerana persembahan lagu-lagu merentasi generasi ini, diiringi 32 pemuzik Orkestra RTM.
“Antara lagu yang bakal dipersembahkan, termasuk Bahtera Merdeka, Ku Mohon, Tanah Pusaka, Warisan, Somewhere Over The Rainbow, Fatwa Pujangga, Standing In The Eyes Of The World, Berita Dari Rantau, Pahlawanku, The Impossible Dream dan Stand by Me.”


Konsert itu yang dirakam di hadapan lebih 100 penonton, turut dimeriahkan dengan kehadiran Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Suhaimi Sulaiman, serta Pengarah Muzik dan pemimpin ORTM, Datuk Mokhzani Ismail.
Diasaskan pada 1 April 1961, ORTM diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai orkestra tertua ditubuhkan di negara ini. RTM sendiri yang bermula dengan penubuhan Radio Malaya pada 1 April 1946 sebelum bergabung dengan televisyen dan membentuk RTM pada 11 Oktober 1969 terus menjadi suara menyatukan rakyat sepanjang 79 tahun ini.
Jelas kenyataan itu lagi, penerbitan konsert khas ini bersesuaian dengan semangat RTM bagi menghidupkan semangat tema “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni” dalam program yang menyatukan generasi melalui muzik dan menyemai rasa merdeka dalam diri rakyat Malaysia.
“Dibahagi kepada lima segmen secara santai dan lebih eksklusif, senarai lagu-lagunya juga memberi inspirasi dengan gubahan baharu yang menyentuh jiwa rakyat Malaysia pada sambutan Hari Kebangsaan,” ujarnya.
Comments are closed.