ROXtheNATION, Impian Tertunda Man Keedal
Sebuah konsert pada 25 Januari depan yang bakal menyatukan figura muzik rock Malaysia-Indonesia.

Oleh Zurina Waji | Foto MEM

“Pada usia melewati 60an, bermain muzik selama lebih empat dekad, saya ingin memberikan penghormatan itu kepada bapa saya dengan menunaikan apa yang sudah lama diimpikannya.” – Ellie G

“SAYA ingin menunaikan impian bapa saya,” kata Ellie G, Pengerusi Projek ROXtheNATION mengenai penganjuran konsert rock berkenaan yang turut menjadi pertemuan tiga gitaris terkemuka, buat julung kalinya.

Man Keedal, Jo Branko dan Eet Sjahranie akan membuat persembahan bersama dalam satu segmen khas pada konsert yang menampilkan kehebatan band masing-masing, iaitu Waris, Barbarik dan EdanE.

Justeru, tidak hairanlah mengapa konsert itu agak sentimental bagi dua beranak ini.

“Bapa saya sudah lama menyimpan hasrat untuk tampil dengan persembahan seumpama ini, apatah lagi Eet merupakan sahabat lamanya,” ujarnya. “Juga kerana ia membawa semangat Battle of The Band yang menjadi pentas pertemuan figura rock pada era 80an.

“Pada usia melewati 60an, bermain muzik selama lebih empat dekad, saya ingin memberikan penghormatan itu kepada bapa saya dengan menunaikan apa yang sudah lama diimpikannya. Saya biasa buat konsert orang, paling tidak, sekali ini saya ingin memberikan sesuatu sebagai hadiah buat insan yang paling saya kagumi.”

Dianjurkan oleh Menara Kuala Lumpur, konsert pada 25 Januari itu juga merupakan projek usahasama antara Menara Kuala Lumpur, FAR Worldwide sebagai Penganjur Acara, dan Persatuan Sukan, Rekreasi & Kesihatan Kuala Lumpur (SU.RE Sihat KL) sebagai Rakan Rasmi Program CSR.

Selain menyaksikan kehadiran fizikal sehingga 3,000 audiens, konsertini yang turut menyediakan sebuah motosikal Harley Davidson sebagai hadiah untuk audiens bertuah juga boleh dinikmati secara dalam talian.

Pengumuman dibuat pada satu sidang media, baru ini, yang turut dihadiri Man Keedal, Jo dan Eet.

Ellie G yakin, konsert dengan kekuatan vokal Fuad Rahman daripada Waris, Mus (Barbarik) dan Ervin Nanzabakri (EdanE) akan memberikan energi luar biasa, sekali gus menjadi pembuka paling menggegarkan bagi kalendar 2025 Menara Kuala Lumpur.

Ditanya, Man Keedal mengakui dia punya impian lebih besar, sebenarnya.

“Saya kenal EdanE sejak tahun 90an selepas bertemu di Jakarta. EdanE ada sejarah hebat dalam persada muzik rock, terutamanya dan ditubuhkan Eet yang pernah bersama band legenda, God Bless. Saya pernah beritahu anak saya tentang impian untuk membawa EdanE.

“Tapi kenapa Barbarik juga? Kerana pendiri band Barbarik, Jo Branko selain Mus juga dari era ketika rock meniti kegemilangannya dan masih bertahan. Barbarik, menurut saya, mempamer kemajuan mengagumkan dalam muzik. Saya juga harap konsert ini akan mencetuskan kepada lagi penggabungan, Malaysia dan Indonesia, di masa depan,” katanya.

Kerana itu juga, menurutnya, beliau memilih untuk tampil bersama band Waris yang sedang digilap sebagai penerus legasi, atau kesinambungan kepada band Lefthanded yang diasaskannya di Johor Bahru  dulu.

Bagi memantapkan penganjuran, Man Keedal juga menggalas tanggungjawab sebagai Pengarah Konsert & Muzik, selain Samsul Kamal (Penolong Pengarah Projek), Jerry Hend (Pengarah Kreatif), Mewah Event Management (Promosi) dan Ilasso Tickets (Pengurusan Tiket).

Ellie G berkata, ROXtheNATION direncana sebagai sebuah jenama yang menggabungkan band dan pemuzik rock hebat daripada rantau ini.

“Konsert ROXtheNATION adalah terjemahan kepada muzik rock dalam erti kata sebenar, iaitu sebagai sebuah konsert yang akan menggegarkan Malaysia, dan juga sampai terdengar di Indonesia dengan persembahan yang spektakular,” katanya.

ROXtheNATION turut menjadi platfrom mempromosi kesihatan menerusi pembabitan SU.RE KL pimpinan Presiden, Shameem Akhtar Mohd Ashraf yang ditubuhkan bagi menggalakkan penduduk ibu kota, khasnya mengamalkan kehidupan yang lebih aktif dan kreatif.

Menerusi penjaan oleh FARMASI, iaitu sebuah jenama kecantikan daripada Turki, lima peratus daripada hasil jualan akan disumbangkan kepada persatuan, sama ada menerusi pembelian produk Farmasi Shield Man atau tiket konsert.

Akses

  • 25 Januari 2025
  • Menara Kuala Lumpur

Tiket

  • RM188 (Silver), RM288 (Gold) dan RM388 (VIP), manakala RM30 bagi tontonan secara Live Streaming
  • Layari www.ilassotickets.com untuk pembelian tiket.