Dari Siti and The Zoners ke Gadis AI Bernama Jazmine
Kacukan pelbagai pesona seni tanahair, dapatkah pempengaruh maya ini merubah lanskap media sosial?
Foto Warnakala Studios
“Siti, watak utamanya, adalah seorang adiwara bersama bandnya. The Zoners cuba menyelamatkan Zone City daripada watak yang jahat, tapi dalam proses pembikinan, nama Siti ditukar kepada Jazmine.”
NAMANYA Jazmine. Seorang pempengaruh. Cuma dia bukan biasa-biasa.
Dia sebaliknya merupakan kelahiran Warnakala Studios yang diperkenalkan serentak dengan pelancaran Influenstar Asia Dot Com, baru ini, oleh Pengerusi Inisiatif Kajian Sosial dan Ekonomi (SERI), Nurul Izzah Anwar yang menyambut baik kewujudan platform digital GIG untuk pempengaruh tempatan baru itu yang diuruskan Jemz Group International Sdn Bhd.
Jazmine juga memang berbeza kerana dia adalah pempengaruh maya pertama di Malaysia.
Tapi keanehan itu tidak terhenti setakat itu. Selain diuruskan Influenstar Asia Dot Com yang turut menaungi pempengaruh seperti Nazrief Nazri, CEO Batu, Ella Fara dan Baggio Damasutra, dia juga muncul dengan single In The Zone, ciptaan JD Wong daripada band Pop Shuvit.
Dicipta dengan pengaruh, antaranya karekter seorang selebriti sebenar yang dirahsiakan, Jazmine disebut bakal mentakrifkan semula cara jenama dan khalayak berinteraksi seperti membuat ulasan produk, perhkhidmatan dan acara dalam sfera digital. Dia juga akan memimpin kempen inovatif dengan mencipta kandungan yang relevan untuk generasi digital.
Soalnya, apakah komuniti media sosial, terutamanya dapat menerima kandungan seperti Jazmine? Ikuti temubual Zurina Waji bersama Ketua Pengarah Komersil, Warnakala Studios, Chedd Eddie Yusoff di Rumi Explorer.
Apa yang mendorong pihak anda mencipta watak Jazmine menerusi platform Influenstarasia?
Chedd: Jazmine dicipta, asalnya menerusi geran pembangunan MDEC. Kami perlu mencipta satu Harta Intelek (IP) bersama satu video Animation Test di akhir jangka masa geran. Sebaliknya, Jazmine dilahirkan bersama sebuah video muzik bagi menyokong kedudukannya sebagai artis maya dengan pelancaran single, In The Zone.
“Trend terkini pula menunjukkan peningkatan minat terhadap watak maya dan artis digital dalam industri hiburan. Jazmine, sebagai seorang artis maya, dapat berinteraksi dengan penggemar… “
Diadiuruskan Influenstarasia, bersesuaian dengan fokus penciptaan IP maya, untuk dimanfaatkan sebagai pempengaruh maya. Diharap dengan watak yang boleh dikaitkan dan cerita yang menarik dapat mendorong penonton untuk mengejar impian mereka sendiri.
Siapa yang mencetuskan idea ini? Siapa yang memainkan peranan dalam penghasilannya?
Chedd: Saya bagi idea asal yang kemudannya menginspirasikan watak-watak sepasukan penyelamat misteri bertajuk Siti and the Zoners. Siti, watak utamanya, adalah seorang adiwara bersama bandnya.
The Zoners cuba menyelamatkan Zone City daripada watak yang jahat, tapi dalam proses pembikinan, nama Siti ditukar kepada Jazmine. Diambil daripada bunga melur, ia juga menjadi motif utama untuk Jazmine di bawah arahan Roshfaizal dan Akmal Kucha Aziz.
Tapi kenapa Jazmine?
Chedd: Jazmine adalah gabungan elemen menarik dan moden, selain ada haruman misteri yang kena dengan konsep penceritaannya melawan entiti misteri jagaan penjahat, LOrd X. Jazmine juga mencerminkan sifat kreatif dan dinamik seorang artis maya. Nama ini juga mudah diingati dan ada daya tarikan yang kuat, sesuai dengan watak yang ingn dibangunkan.
Kenapa ia dicipta berdasarkan karekter seorang artis sebenar? Kenapa tidak guna saja artis itu sendiri?
Chedd: Menerusi karekter maya Jazmine, kami dapat meneroka pelbagai tema dan naratif tanpa batasan yang biasanya dihadapi seorang artis sebenar. Ini memberi kebebasan untuk mengembangkan cerita dan pengalaman yang lebih luas.
Sebab kedua, Jazmine dapat mewakili pelbagai budaya yang mungkin tidak selalu dapat dicapai dengan menggunakan seorang artis sebenar. Ini memberikan peluang untuk menjangkau audiens yang lebih luas dan merangkumi kepelbagaian.
Trend terkini pula menunjukkan peningkatan minat terhadap watak maya dan artis digital dalam industri hiburan. Jazmine, sebagai seorang artis maya, dapat berinteraksi dengan penggemar melalui platorm digital, memberikan pengalaman yang lebih interaktif dan mendalam. Ini sejalan dengan perubahan cara orang berinteraksi dengan seni dan hiburan di era digital.
Bagaimana anda melihat peranan atau pengaruh dimainkan pempengaruh seperti Jazmine terhadap perkembangan dunia media sosial?
Chedd: Peranan pempengaruh seperti Jazmine sangat signifikan dalam perkembangan dunia media sosial, terutama di Malaysia. Jazmine boleh menjadi ikon yang mencerminkan suara generasi muda, membawa mesej positif, dan menyebarkan kesedaran tentang isu-isu sosial yang penting.
Apa harapan anda terhadap Jazmine?
Chedd: Agar Jazmine dapat menggalakkan kreativiti, menjadi sumber inspirasi supaya berani mengkespresikan diri dan mengejar impian dalam bidang seni dan hiburan. Juga kesedaran sosial, menggunakan platform untuk menyebarkan maklumat dan berbincang tentang isu yang relevan seperti kesihatan mental, kepelbagaian dan keadilan sosial.
Harapan terhadap Jazmine juga agar dia dapat mengadaptasi trend terkini, menggunakan teknologi terkini dan inovasi dalam cara berinteraksi dengan pengikut, sekali gus memenarik lebiih ramai orang untuk terlibat.
Jadi, Jazmine bukan saja dapat mempengaruhi pengikutnya, malah membantu mengubah cara kita melihat pempengaruh di Malaysia, menjadikannya lebih berdaya saing dan berkesan dalam menyampaikan mesej positif.
Comments are closed.