Dari Pop-Rock-Folk ke Nusantara, Amir Jahari Kembali
Seraya mengangkat tema kemanusiaan serta kerohanian, album ini jelas memperkukuhkan lagi langkahnya.
Oleh RUMI | Foto Sony Music
“… menerusi Kembali, anak Kuching, Sarawak ini memberikan 15 lagu, iaitu 12 lagu baharu dengan baki tiga merupakan rakaman semula, termasuk Hasrat yang menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-27 dengan susunan diolah khas untuk malam itu.”
“INI satu titik permulaan yang baharu untuk melangkah ke depan di dalam industri muzik,” kata Amir Jahari yang baru ini melancarkan album terbaharunya, Kembali.
Ia juga satu perjalanan yang panjang, dan tidak mudah, buat penyanyi, komposer, penulis lirik dan pemuzik ini yang debut pada 2013 dengan Penghibur Jalanan yang antara lain, menjulangnya sebagai Komposer Muda Berpotensi MACP 2015 dan Juara Hard Rock Rising Malaysia 2015.
Kini, menerusi Kembali, anak Kuching, Sarawak ini memberikan 15 lagu, iaitu 12 lagu baharu dengan baki tiga merupakan rakaman semula, termasuk Hasrat yang menjuarai Anugerah Juara Lagu ke-27 dengan susunan diolah khas untuk malam itu.
Turut dirakam ialah Sampai ke Bulan yang ditulis sepenuhnya oleh Amir atau nama sebenarnya, Mohamad Amirullah Jahari untuk album 2013 Faizul Sany, dan Tanpamu yang merupakan single sulungnya yang diberi nafas baharu bersama penyanyi, Nana Sheme.
Sony Music, menerusi kenyataan medianya, menjelaskan album berkenaan turut mendapat sentuhan beberapa produser dan pemuzik tempatan, termasuk AG Coco (Hujan).
“Kembali merupakan album yang telah dipendam lama, tentang hidup untuk memberi dan kembali kepada asal usul,” kata Amir lagi, dalam satu kenyataannya yang menyifatkan album itu berupa hasil perjalanannya selama 13 tahun dalam industri muzik tanahair.
Dihasilkan dengan sentuhan pop-rock-folk bersama sentuhan Nusantara, album yang mengangkat tema kemanusiaan dan kerohanian itu merupakan kerjasama Sekalo Music dan Sony Music Entertainment.
Album ini telah berada di semua platform penstriman sejak 16 Ogos lalu.
Comments are closed.