Dulu Ella, Shima & The Boys. Kini, Mampukah Cherry On Top Isi Kekosongan?
Tapi band rock progresif ini memerlukan lebih daripada meletak wanita sebagai wajah utama.

Oleh Zurina Waji | Foto MEM

“… sudah lama kita tiada perempuan sebagai lead face. Saya berharap ia akan memberi dimensi baharu untuk muzik Malaysia, kalau tidak (berubah) buat benda yang sama, bosan… “

“KALAU tak best, I tak mahu tau.” Itu kata Datuk Syafinaz Selamat, mengimbau perbualannya dengan produser, Raja Sham apabila dicadang untuk berduet dengan sebuah band yang dikenali dengan nama Cherry On Top.

Tanpa mengetahui latar belakang band yang dianggotai enam anak muda itu, hanya bersandarkan sebuah pita ragaan, penyanyi dan juri dikagumi ini mengakui tidak menduga apa yang akan didengarinya.

“Bagus budak-budak ni,” katanya yang teruja dengan kolaborasi itu, merakam suara bagi Ketagih, single yang meluncurkan nama band berusia setahun itu ke arus perdana. “Unik, suatu yang berbeza. Saya pun putuskan, boleh (duet).”

Persetujuan itu, katanya membawa kepada pendedahan mengenai latar belakang band rock progresif itu.

“Selepas saya kata okay, barulah saya dapat tahu mereka anak siapa. Baru tahu hampir semua merupakan anak-anak ASWARA dan memandangkan saya berada dalam Lembaga ASWARA, mengapa tidak saya menyokong produk daripada ASWARA,” ujarnya.

Diketuai Kuzan, 22, yang turut bermain keyboard, selain sebagai programmer dan vokal, band asal Kuala Lumpur ini turut dianggotai Osama, 23 (gitar); Ayen Tommy, 25, (dram); Holy, 23 (vokalis utama); selain pasangan adik beradik, Didi, 22, dan Bobo, 18, masing-masing bermain gitar dan bass.

“Sebab itu, saya dengar dulu (pita ragaan). Garis pengukur saya adalah dengar, sudah dengar baru tanya siapa,” tambah Syafinaz yang bersama Cherry On Top, mempersembahkan Ketagih, buat pertama kalinya, pada majlis pelancaran album band itu di ibukota, baru ini.

Ketagih, ciptaan Kusham dan lirik oleh Syafinaz Selamat itu juga dijadikan judul EP sulung keluaran syarikat rakaman One Scream Studio itu yang memuatkan lima lagu, termasuk Mengintai Rahsia, Menunggu dan Resolusi, dan Ketagih (Extended Version).

“Semoga Cherry On Top mencetuskan suatu yang berbeza kerana sudah lama kita tiada perempuan sebagai lead face.

“Saya berharap ia akan memberi dimensi baharu untuk muzik Malaysia, kalau tidak (berubah) buat benda yang sama, bosan, tidak bercambah apabila kita disogok benda sama. Itu, itu saja,” katanya, mengimbau fenomena yang pernah diberikan Ella & The Boys, juga Shima & The Boys pada era 80an-90an.

“Ia pertama kali diberikan kepada saya 15 tahun lalu. Saya suka sangat lagu itu, cuma tidak dapat dirakam, antaranya kerana mencari rakan duet yang sesuai.”

BACA: Cherry On Top Yang Bikin Ketagih

UNIK, ADA POTENSI

Bermain secara live pada majlis berkenaan, Cherry On Top meraih perhatian dengan keunikan vokal Holy, apatah lagi semasa berpadu suara dengan Syafinaz dan kemantapan muzik yang diperdengarkan ahlinya.

Ketagih, menurut Syafiinaz, bagaimanapun bukan lagu pertama Kusham yang dibawanya. Pernah merakam lagu ciptaan komposer itu, Persis Salju sebagai singlenya, beberapa tahun lalu, Ketagih malahan lebih dulu diberikan kepadanya untuk dirakam.

“Saya suka lagu ini (Ketagih), tapi semut pun lebih laju daripada saya. Saya lambat sangat,” katanya, ketawa merujuk kepadatan jadualnya. “Ia pertama kali diberikan kepada saya 15 tahun lalu. Saya suka sangat lagu itu, cuma tidak dapat dirakam, antaranya kerana mencari rakan duet yang sesuai.

“Kesibukan, termasuk sebagai tenaga pengajar menghalang hasrat. Semasa mula diperdengarkan, muziknya memang berat, ada elemen rock. Saya menyanyi rock? Memang bukan sayalah, jadi  kenalah cari orang, rocker juga, tapi tak dapat putuskan siapa.

“Jadi, apabila dengar (Cherry On Top), mainannya kuat, vokalisnya walaupun perempuan, dia lain. Suara dia besar, tak sama dengan saya. Ini band rock, tapi bukan jenis rock menjerit, lain daripada rock sedia ada. Jadi, saya kata kenapa tidak? Ia berbeza, jadi jomlah kita cuba,” katanya.

Syafinaz percaya band ini berpotensi besar, ditambah dengan kerja keras memandangkan mereka masih muda selain genre rock progresif yang dibawa tidak terhad pada kelompok tertentu,

“Satu perkara, kumpulan biasanya ada kepala masing-masing dan itu yang susah, lagilah anak muda. Jadi kena kawal perangai, emosi, cara kerja kena pandai, terutama sebagai pelajar, kena bahagikan masa dan utamakan apa dalam hidup.

“Band ini ada potensi yang sangat besar, tapi untuk kekal bersama sangat penting sebagai sebuah kumpulan. Ini soal jadi satu keluarga, semua kena ada tahap pemikiran sama, matlamat sama. Semua kena kerja keras ke arah objektif, tapi objektif tidak boleh untuk popular,” katanya lagi.

Info

– Siapa mewarisi bakat orang tua? Osama (bapa, penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah), Ayen Tommy (bapa, pemain dram Wings, Black) dan Kuzan (bapa, Raja Sham, gitaris, komposer, penyusun dan programmer muzik, serta merupakan Pemuzik Kanan, Orkestra RTM, manakala ibu, Zaira Aziz, guru vokal, pemain flute dan penulis lirik)
– Didi dan Bobo membesar di studio (bapa pernah menguruskan band rock seperti DEF-GAB-C), sementara Holy berlatar keluarga muzik yang bergiat di Sabah