Pertama dan Mungkin, Terakhir Buat Blues Gang
Kenapa malam seumpama Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato, Jumaat ini, tidak mungkin berulang lagi?
Oleh Zurina Waji | Foto MEM
“… ada yang membangkitkan kenapa sekarang, iaitu hanya selepas lima dekad kami sebagai pemuzik. Kami tidak pernah berkecil hati, malah tidak timbul istilah terlewat… “
BERAT untuk band sehebat Blues Gang mengakuinya, namun jauh di sudut hati mereka menyedari masa yang semakin mencemburui.
Jumaat, band yang melangkah ke dunia muzik seawal 1973 ini akan memperdengarkan muzik mereka di pentas berskala besar lewat Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato, iaitu yang pertama buat mereka.
Jelas frontman, Ito Mohd, 73, konsert anjuran AV Group yang akan diadakan di Zepp Kuala Lumpur itu membuat mereka teruja.
Dia berkata, biarpun ada yang menganggap konsert ini terlewat hadir, iaitu apabila Blues Gang kini hanya tinggal bertiga setelah pemergian dua anggotanya, persembahan di tahun ke-51 penubuhan band itu terlalu besar ertinya.
“Ikutkan sejarah penglibatan Blues Gang dalam muzik, ini konsert pertama berskala besar yang menampilkan Blues Gang secara eksklusif, malah boleh dianggap rare. Satu penghormatan walaupun ada yang membangkitkan kenapa sekarang, iaitu hanya selepas lima dekad kami sebagai pemuzik.
“Kami tidak pernah berkecil hati, malah tidak timbul istilah terlewat kerana sudah puluhan konsert kami adakan, termasuk bersama artis antarabangsa seperti Uriah Heep. Kami malahan tidak pernah berhenti bermain muzik, baik di festival, gig mahu pun kelab.
“Cuma untuk konsert berskala besar, kami akur jika ini yang pertama dan mungkin terakhir. Main konsert berskala besar banyak yang perlu dipertimbangkan, terutama daripada segi kesihatan. Juga mental, apatah lagi setelah kehilangan Jim dan Shaik yang banyak mengubah keadaan,” katanya.
Blues Gang kini tinggal Julian Mokhtar sebagai pemain gitar utama dan Ghani Dato Abu Talib (gitar kedua/ keyboard), selain Ito sendiri setelah pemergian Jim Madasamy (bass dan vokal) pada 2018, disusuli Shaik Karim (dram/ vokal), Julai tahun lalu.
Seperti Ito, Ghani kini juga sudah mencecah usia 73 tahun, manakala Julian, 64.
Debut pada 1979 menerusi album Inggeris, Any Time, Any Day, band ini meledak dengan lagu dialek Negeri Sembilan, Apo Nak Dikato yang dirakam bagi album Ada Lagi pada 1982. Sesudah 14 album, baru ini mereka tampil dengan single Panglima Awang Hitam.
“… mempersiapkan 17 lagu untuk dibawa pada konsert nanti, termasuk Panglima Awam Hitam. Ia juga akan menjadi malam tribute kepada Apo Nak Dikato yang sudah berusia 42 tahun, malah merupakan lagu Blues Gang paling power…”
BACA: 50 Tahun Blues Gang dan Power Apo Nak Dikato
Begitu pun, Ito atau nama sebenarnya, Mohd Arif Kendut, berkata Blues Gang Apo Nak Dikato harus menjadi konsert yang selayaknya dikenang dalam lipatan sejarah perjalanan band yang pernah diiktiraf Malaysia Book of Records sebagai band blues tertua tanahair.
Band ini akan diiringi Kit Afero sebagai pemain gitar, Munir Shamsudin (dram) dan Shaharudin Sharif (bass).
“Blues Gang telah mempersiapkan 17 lagu untuk dibawa pada konsert nanti, termasuk Panglima Awam Hitam. Ia juga akan menjadi malam tribute kepada Apo Nak Dikato yang sudah berusia 42 tahun, malah merupakan lagu Blues Gang paling power, setakat ini.
“Satu segmen khas Melayu akan dipersembahkan, membabitkan paduan alunan blues dan rock dengan Dikir Barat yang menampilkan Issey Gegar FM & Mat Ropi & Friends, selain peniup serunai Melayu, Axiang dan Julie Ratu Gendang,” tambahnya.
Konsert Blues Gang Apo Nak Dikato juga menyaksikan Belbis mengendalikan Produksi, manakala Mewah Event Management (MEM) dan Ito Cottage Muzik sebagai rakan strategik, selain Ilassotickets bagi pengurusan tiket.
Tiket berharga RM198 (Silver), RM268 (Gold), RM398 (Platinum) dan RM338 (Diamond), selain RM5,099 bagi Royal Box masih boleh didapatkan dengan melayari http://ilassotickets.com atau hubungi hotline +60 11-1329 7822.
Comments are closed.