Anugerah Seni Cameronian BOH ke-19: Anak Muda dan Keraian Ekspresi Artistik
Di malam pengiktirafan bakat luar biasa dan dedikasi artis yang menjulang seni persembahan tanahair.
Oleh RUMI | Foto 19BCAA
“Melalui lensa seni, kita melihat sekilas jiwa masyarakat, kegembiraan, kesedihan dan aspirasinya. Ia adalah cermin yang mencerminkan kemanusiaan… ” – Ngai Yuen
“SENI bukan semata-mata kemewahan tetapi asas penting tamadun, memperkayakan kehidupan, memupuk empati dan menyalakan api imaginasi dalam hati sama ada muda mahupun tua,” kata Presiden Persatuan Kakiseni, Low Ngai Yuen usai malam Anugerah Seni Cameronian BOH ke-19 (19BCAA), baru ini.
Dia, dalam menghuraikan tema tahun ini, Pentas Kehidupan: Meneroka Tanpa Batasan, antara lain turut menyifatkan malam itu bukan saja meraikan pencapaian artistik, tapi juga menekankan inovasi dan imaginasi komuniti seni persembahan.
“Di dunia di mana cerita sering tidak disedari di mana kita menghabiskan berjam-jam untuk scroll tanpa tujuan, kami bersedia untuk menjadikan Pentas Kehidupan bukan sahaja dilihat atau didengar, tetapi sangat dirasai – membuktikan bahawa intipati sebenar seni langsung tidak boleh diberhentikan.
“Melalui lensa seni, kita melihat sekilas jiwa masyarakat, kegembiraan, kesedihan dan aspirasinya. Ia adalah cermin yang mencerminkan kemanusiaan secara kolektif, mengingatkan kita tentang kesalinghubungan kita dan keindahan yang terdapat dalam kepelbagaian,” katanya, memetik kenyataan medianya.
Dibawakan oleh BOH Plantations dan Kakiseni, sebanyak 39 anugerah dan hadiah wang tunai RM62,000 telah diagihkan pada malam itu sebagai mengiktiraf bakat luar biasa dan dedikasi artis yang terus melampaui batas dan mentakrifkan semula ekspresi artistik.
Pengiktirafan merentasi tarian, muzik, teater dan teater muzikal, termasuk mengangkat generasi baharu pemain, baik di pentas mahupun di belakang pentas pada keraian yang bertepatan dengan dengan ulang tahun ke-95 BOH itu.
Selain trofi Anugerah Seni Cameronian BOH, pemenang subkategori dalam tarian, muzik, teater muzikal dan teater turut menerima hadiah wang tunai RM1,000, manakala kategori “Terbaik Pada 2023” meraih RM5,000.
19BCAA juga menyaksikan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat Cameronian BOH disampaikan kepada Mathew Ngau Jau, 72, seorang tokoh yang menjulang tinggi dalam seni dan budaya Malaysia, dan bukti nyata kepada legasi berkekalan masyarakat Kenyah Ngorek di Borneo dan melodi alat muzik sape yang mempesonakan.
Dihoskan oleh Kai Chalmers, acara dimeriahkan dengan kehadiran Tetamu Kehormat ialah Timbalan Ketua Pengarah (Kebudayaan dan Kesenian) JKKN, Rosnan Nordin; Penolong Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum, dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Daneal Syawal Abdullah.
Juga hadir, koreografer dan penari klasik India, Datuk Ramli Ibrahim yang merupakan penerima Pencapaian Sepanjang Hayat Anugerah Seni BOH Cameronian Kedua; Datuk Zahim Albakri (penerima Anugerah Seni BOH Cameronian), Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby, Dr. Yatela Zainal Abidin dan Ketua Sekolah Seni dan Sains Liberal, Universiti Taylor, Profesor Dr Anindita Dasgupta.
Untuk senarai penuh pemenang, sila layari kakiseni.org/awards/19BCAA
Comments are closed.