12 Grup, Semuda 9 Tahun, Siap Rebut Juara Pentas Marhaban
Program terbaharu TV realiti bakal disiarkan secara langsung di TV Al-Hijrah. bermula 11 November ini.
Oleh Zurina Waji | Foto TV Al-Hijrah
“… keupayaan peserta yang telah disaring menerusi uji bakat, selain pencarian bakat, mengalunkan puisi tentang kisah Rasulullah SAW serta puji-pujian ke hadrat Ilahi untuk dinilai berdasarkan Mawal, Marhaban dan Qasidah.”
“INI kali pertama dipertandingkan di peringkat media TV, membabitkan sekitar 160 peserta yang mewakili 12 kumpulan daripada kanak-kanak, semuda sembilan tahun hinggalah pelajar tahfiz ke grup abah-abah,” kata Ketua Pegawai Eksekutif TV Al-Hijrah, Namanzee Harris.
Digelar Pentas Marhaban, program terbaharu TV realiti itu bertujuan mengangkat kebudayaan seni suara dalam Islam, iaitu seni berzanji, marhaban dan qasidah sebagai hiburan keluarga di platform penyiaran.
Program yang menawarkan hadiah wang tunai RM50,000 bagi juara, manakala RM25,000 untuk naib juara itu dicetuskan amalan tradisi masyarakat Melayu dalam majlis perkahwinan, berkhatan dan cukur jambul.
Ia akan menyaksikan keupayaan peserta yang telah disaring menerusi uji bakat, selain pencarian bakat, mengalunkan puisi tentang kisah Rasulullah SAW serta puji-pujian ke hadrat Ilahi untuk dinilai berdasarkan Mawal, Marhaban dan Qasidah.
Peserta akan diadili oleh dua juri profesional, iaitu Ustazah Asni Mansor dan Ustaz Hafiz Gambus, selain juri jemputan, manakala Ustaz Husaini Mahmur, qari yang turut dikenali menerusi program Quran@114 di TV Al-Hijrah bertindak sebagai penasihat Pentas Marhaban
Sesuai dengan kedudukan TV Al-Hijrah sebagai agen penyebar dakwah, jelas Namanzee, program seperti Pentas Marhaban adalah antara usaha mengangkat martabat program yang bersifat kerohanian dan Islamik ke mata dunia.
“Laporan data AC Nielson, baru ini menunjukkan kejayaan TV Al-Hijrah melonjakkan jumlah tontonan peratusan perkongsian saluran sehingga menduduki tangga lima teratas stesen TV terbaik di Malaysia, sekali gus mengatasi saluran hiburan di negara ini.
“Ia menjadi penanda aras buat TV Al-Hijrah untuk terus berjuang mengangkat martabat program yang bersifat kerohanian dan Islamik ke mata dunia. Peningkatan ini juga adalah petanda baik bahawa Pentas Marhaban bakal menjadi fenomena di dalam dunia penyiaran,” katanya usai pelancaran Pentas Marhaban di ibukota, baru ini.
“. seorang juri jemputan daripada kalangan mereka yang tahu mengenai seni marhaban seperti Mawi dan Dato Nash yang juga vokalis band rock, Lefthanded, akan dijemput.”
Pada majlis itu, Syamsul Ghau Ghau turut diperkenalkan sebagai hos bersama juara Akademi Qurra’ musim pertama, Tilmiz Fahmi. Mengangkat tema Hiburan Tradisi Nurani, ia akan disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari Studio Penyiaran Digital TV Al-Hijrah pada setiap Sabtu, bermula 11 November ini.
Musim pertama ini akan disertai kumpulan Al-Muhtadin, Selawat Buskers, Soutun Nadwah, Al Maqari, Mawaddah, Qalbun Hadi, An Ni’matul Uzma, Shooutul Huffaz, Nurul Akhyar, Sinar Marhaban, Raudhatul Ashwaq dan Intracksee.
Sebanyak dua kumpulan akan bersaing pada peringkat mingguan dan pemenang layak ke pentas separuh akhir dengan hanya dua terbaik dipilih bagi merebut kejuaraan pada peringkat akhir kelak. Selain tema dan konsep, pemarkahan juga akan dibuat berdasarkan karekter kumpulan.
Namazee berkata, bagi menambah nilai komersial kepada program itu, seorang juri jemputan daripada kalangan mereka yang tahu mengenai seni marhaban seperti Mawi dan Dato Nash yang juga vokalis band rock, Lefthanded, akan dijemput.
Tidak menafikan penganjuran ini susulan tularnya tema marhaban di media sosial, baru ini, yang turut menarik minat anak-anak muda, Pentas Marhaban. juga diharap dapat menerima tempias daripada fenomena itu.
“Sasaran kami agar Pentas Marhaban dapat menyaingi rating Akademi Qurra’ yang mencecah 4.4 juta, atau boleh pergi sehingga 5 juta, sekali gus menjadi platform baharu dalam menampilkan kepelbagaian dakwah yang cuba dibawa TV Al-Hijrah,” tambahnya.
Comments are closed.