Cakra Khan Yang Bikin Meluruh
Malam Dream Festival Collaboration Vol.4 lalu bersama penyanyi Indonesia ini yang terasa begitu singkat.
Oleh Zurina Waji | Foto Dream Festival Collaboration
“… walaupun saya sedikit mengharapkan untuk mendengar rendisi penuh No Woman No Cry yang memikat juri America’s Got Talent pada ujibakat yang disertainya beberapa bulan lalu.”
JAKARTA, 1993. Itu kali pertama semasa saya diperdengarkan suara serak basah milik seorang pendatang baharu bernama Cakra Khan. Harus Terpisah diandalkan sebagai salam perkenalan dan saya kembali ke ibukota dengan suaranya terus terngiang-ngiang.
Saya mencari, namun di Kuala Lumpur namanya belum begitu dikenali. Saya jadi penasaran tentang siapa sebenarnya crooner muda berpenampilan rocker itu dan saya tahu, ia tentunya bukan kali terakhir saya akan mendengar mengenainya.
Cakra Konta Prayaman, kemudiannya saya mengetahui mengenai nama sebenarnya, menjadi antara sosok yang sentiasa meraih minat saya. Ditemani band, Konsert Dream Festival Collaboration Vol.4: Cakra Khan Live in Kuala Lumpur di Zepp Kuala Lumpur, baru ini hanya mengesahkan mengapa tidak sukar untuk hati jadi jatuh cinta dengannya.
Adalah Aku diperdengarkan anak kelahiran Pangadaran ini bagi memulai malam bersamanya yang disambut sorakan 2,000 audiens yang lebih dulu dihiburkan dengan persembahan oleh penyanyi senegara, Riri Moeya sebelum Nadeera mengambil alih pentas, masing-masing dengan empat lagu.
Jelas, Cakra tampak terharu dengan sambutan para penggemarnya yang seolah tidak tertahan dengan emosi yang dikocak lewat lontaran menusuk jiwa menerusi judul, antara pilihan saya seperti Mencari Cinta Sejati dan Hal Hebat pada separuh awal malam.
Monster, antara cover judul Inggeris yang turut diperdengarkan selain I’m Not The Only One setelah lebih dulu memberikan blues Tennessee Whiskey dan hit Goo Goo Dolls, Iris walaupun saya sedikit mengharapkan untuk mendengar rendisi penuh No Woman No Cry yang memikat juri America’s Got Talent pada ujibakat yang disertainya beberapa bulan lalu.
Masih, dia tidak gagal menambat hati sepertimana kali pertama saya mendengarnya dulu.
Saya kira, siapa pun harus bersetuju dengan juri ketika itu, Heidi Klum yang menyifatkan Cakra memiliki suara yang bukan saja unik, malah seksi.
Simon Cowell, juri berkaliber paling digeruni yang sempat menghentikan nyanyiannya sebelum hit mendiang Bob Marley itu yang merupakan “lagu yang sering dimainkan Allahyarham ayah sebelum saya ke sekolah”, malahan mengakui jarang sekali dapat mendengar suara seumpama itu.
Biar berharap untuk dia mengurangkan lagu cover, saya harus akui Sial, judul yang asalnya dipopularkan Mahalini yang dibawa kemudiannya memperjelaskan mengapa Cakra Khan begitu terserlah sepanjang tempoh 10 tahun pembabitannya dalam seni.
“… dibuai Harus Terpisah yang seperti diduga hanya diperdengarkan menghampiri penghujung malam, masih dengan perasaan sama dirasai 10 tahun lalu bahawa Cakra Khan sememangnya tidak mudah untuk dilupakan.”
Pernah melalui depresi, ada masanya dia seolah tampil agak gementar di pentas namun semua itu hilang sebaik dia melantunkan suaranya. Tawanya, ada kalanya kedengaran besar, pun seolah irama yang menyenangkan, barangkali kerana sikap merendah dirinya, jujur menyapa audiensnya.
Rasa sebak dan titis air matanya menjelaskan kerinduan pada sang ayah yang meninggal dunia beberapa tahun lalu dan kekesalan yang dibawa, selain rasa mengharukan dengan kepercayaan Rossa, penyanyi papan atas Indonesia yang ikut hadir memberi sokongan kerana membuka jalan untuknya bertapak di Malaysia.
Berencana untuk menutup tirai persembahan dengan 16 lagu, para penggemarnya yang seolah enggan melepaskan membuat Cakra memanjangkan malam lewat beberapa lagu pilihan spontan audiens untuk momen yang indah.
Dan saya, jiwa kembali dibuai Harus Terpisah yang seperti diduga hanya diperdengarkan menghampiri penghujung malam, masih dengan perasaan sama dirasai 10 tahun lalu bahawa Cakra Khan sememangnya tidak mudah untuk dilupakan.
Comments are closed.