Pesona 7 Gitaris Lewat Konsert Tujuh Vibrato Gitar
Keraian, julung kalinya, buat tujuh gitaris hebat tanahair lewat konsert, awal November ini.
Oleh RUMI
“… konsert Tujuh Vibrato Gitar bakal menyaksikan kehebatan Jo Branko, Kidd Search, Man Keedal, Shah Slam, Jemboo Def Gab C, Muzza dan Anis Kalisa pada gitar… “
KENAPA tujuh?
Kerana tujuh sebagai nombor keramat yang tentunya melambangkan kunci irama Do Re Mi Fa So La Ti Do.
Dan teknik vibrato yang menghasilkan bunyi berlainan dengan tona dan ekspresi pelbagai, sekali gus membezakan antara seorang gitaris dengan yang lain yang membawa kepada tujuh pemain hebat tempatan.
Dianjurkan Big Stage Entertainment Channel dengan Anggerik Event Sdn Bhd sebagai penganjur bersama, konsert Tujuh Vibrato Gitar bakal menyaksikan kehebatan Jo Branko, Kidd Search, Man Keedal, Shah Slam, Jemboo Def Gab C, Muzza dan Anis Kalisa pada gitar, diiringi house band, Rozaimie (bass), Adi Yamin (keyboard) dan Ainol (dram).
Konsert malam itu juga akan memperdengarkan kekuatan vokal Muss, Lan Solo dan Dato Hattan menerusi lagu rock klasik dan kontemporari serta diwarnai vokal Izzat dan Baby sebagai penyanyi latar.
Check out gitaris yang bakal diraikan pada malam Tujuh Vibrato Gitar di bawah. Siapa pilihan anda?
JO BRANKO
Lebih 35 tahun dalam muzik rock arus perdana, Jo mencorakkan warna muzik Wings yang disertainya sebelum kini bergerak di bawah panji Barbarik. Sering memukau dengan The Black Beautynya, dia sudah menghasilkan lebih 20 album rock dan meraih beberapa anugerah.
KIDD SEARCH
Bersama Gersang sebelum menyertai Search pada 1989. Biar terus dilanda kemelut membabitkan band rock itu, solo gitar Kidd, antaranya untuk lagu Isabella disifatkan antara yang terbaik. Selain bermain untuk Search, dia juga menghasilkan karya untuk album artis tempatan sejak tahun 90an.
MAN KEEDAL
Instrumentalis gitar yang mencipta nama dengan sentuhan kidalnya ini sudah lebih 40 tahun menceburi dunia muzik, bermain di arus perdana bersama Search sebelum menghidupkan Lefthanded. Juga dianggap maestro gitar dalam arena muzik rock.
SHAH SLAM
Jadi sebahagian daripada Exist pada 1991 seawal usia 17 tahun sebelum menubuhkan Slam, dua tahun kemudian yang meraih, antaranya Anugerah Kembara di Anugerah Industri Muzik Malaysia 1997. Dia kekal hingga kini, selain aktif sebagai gitaris undangan untuk rakaman album, TV dan live.
JEMBOO DEF GAB C
Dia mempengaruhi muzik band Def Gab C yang menonjolkan konsep hard rock dengan sentuhan elemen punk dan gothic. Debut dengan Citarasa pada 1997, mereka meraih Album Rock Terbaik di Anugerah Industri Muzik Malaysia bagi album Remifasolatido yang diterbitkan Jo Branko pada 2001.
MUZZA
Seorang gitaris muda yang versatile. Debut My Way Back Home pada 2014 menyerlahkan keupayaan Muzza yang juga seorang komposer, penulis lirik, penyanyi dan pemuzik pelapis generasi baru. Selain gitar, dia juga bermain keyboard dan dram untuk albumnya.
ANIS KALISA
Bersama Candy sejak 2016, bekas pelajar Aswara ini merupakan wakil jenama Swee Lee Music Company yang dikenali dengan gitar Gibson Les Paul kegemarannya. Aktif seawal usia 17 tahun, bermain muzik dan mencipta lagu, dia juga menimba pengalaman bersama Orkestra DBKL sejak 2018.
Akses
- 3 November 2023
- Zepp, Kuala Lumpur
- 8.30pm
Tiket
- RM188 (Rock Zone), RM278 (Normal), RM338 (Premium) & RM5,000 (VIP Box 8 orang)
- Beli di www.tix-box.com
Comments are closed.