Ada Momen Menanti di Tahun ke-54 Sweet Charity
Di Konsert Berita Gempa, Sabtu ini, kenangan indah dan nostalgia bakal tercipta lewat persembahan band legenda ini.
Oleh Zurina Waji | Foto MEM
“… namun diakui ramai kalangan anak-anak muda, generasi pasca 80an yang kenal Sweet Charity, tahu lagu Sweet Charity memang kerana ayah atau abang yang minat, misalnya. Itu nostalgia.”
“KALAU awak tak kenal Kamelia, Jangan Tunggu Lama-lama, Teratai… mak ayah awak ada benda pelik berlaku (ketika itu),” seloroh Datuk Ramli Sarip tentang pengaruh Sweet Charity pada masa kini.
Sebagai “band orang kahwin” sebelum dilamar label WEA dan muncul dengan album sulung berjudul Sweet Charity pada 1979, sekali gus menjadi artis rock pertama Singapura merakam album, kekaguman terhadap mereka bukan aneh.
Keberadaan band ini yang pernah dijoloki “Deep Purple Singapura” pada awal kemunculan mereka, menongkah dunia muzik tanahair, untuk satu tempoh yang amat lama nyata hanya dimiliki band seperti Sweet Charity.
Kerana itu, menurut Ramli yang juga vokalis dan pendiri band ini, Konsert Berita Gempa anjuran Megatix Malaysia yang bakal berlangsung di Arena Larkin, Johor Bahru bersempena 54 tahun Sweet Charity jadi cukup bermakna.
Ia adalah konsert berskala besar pertama Sweet Charity selepas kali terakhir muncul bersama Blues Gang, 12 tahun lalu lewat Konsert 2 Raksaksa di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur manakala solo menerusi konsert sempena sambutan ulang tahun ke-40 band itu di Singapura pada 2009.
“Berita Gempa akan jadi kenangan indah dan nostalgia, serta ingatan bagi fans dulu dan akan datang,” katanya pada pertemuan di Kuala Lumpur, baru ini yang turut dihadiri pemain gitarnya, Rosli Mohalim.
“Orang muda, anak-anak sekarang, suka dan tahu (Sweet Charity) kerana (pengaruh) ayah ibu mereka. Saya pernah didekati 12 budak sekolah di sebuah kedai Mamak, makan cendol, mulanya mereka ambil gambar sembunyi-sembunyi. Tapi mereka datang, akhirnya dan bertanya, ‘Nak ambil gambar, boleh?’ Saya tanya, “Kenapa, awak minat ke?’ Tidak, kata mereka, tapi (ambil) sebab mak dan ayah semuanya merupakan peminat.
“Ia suatu yang indah, kejujuran mereka itu, namun diakui ramai kalangan anak-anak muda, generasi pasca 80an yang kenal Sweet Charity, tahu lagu Sweet Charity memang kerana ayah atau abang yang minat, misalnya. Itu nostalgia.”
“… mereka merasakan kami dipengaruhi budaya kuning (Barat), ketika itu. Variapop (majalah), Mustika pun tak beri fokus sangat, tapi kami diterima masyarakat dan akhirnya, mereka menyerah. Itu yang dinamakan the people’s power… “
Sweety Charity, sejak penubuhan pada 1969, hakikatnya tidak pernah dibubarkan walaupun Ramli memutuskan untuk bergerak solo pada 1986. Pernah dianggotai komposer dan pemuzik terkenal, Allahyarham A Ali dan Syed Hassan, antaranya band ini kini utuh bersama Rahman Sarbani (dram) dan Ahmad Jaafar (vokalis dan keyboard), selain Ramli dan Rosli.
“Zaman susah itu ada, tapi susah itu berlainan berbanding budak-budak sekarang,” kata Ramli. Senyum, sambil mengerling kepada Rosli yang sepertinya, mengenakan kemeja-T Pink Floyd, dia menyambung, “Rosli kena naik rumah atas bukit untuk pasang barang (peralatan). Itu semua kami dah lalui, berkorban.
“Arwah abangnya keluarkan duit untuk biayai barangan, tiap bulan kami bayar. Syed Hassan pun pernah keluar duit. Saya pun pernah jumpa mak, (minta) gadai barang kemas dia untuk beli PA system yang sedap. Itu satu pengorbanan yang mungkin tidak lagi dilalui sekarang.”
“Muzik Sweet Charity tidak ikut trend, tidak ikut momen semasa. Kalau anda dengar Sweet Charity, itulah dia. Biar pun anda dengar Jangan Tunggu Lama-lama, anggap poyo ke, ia tetap popular.”
PERJALANAN WARNA WARNI
Dilamar WEA disifatkan Ramli sebagai momen terbaik buat band ini kerana sehingga 1979, apabila mereka muncul dengan album sulung, mereka tidak pernah menaruh harapan untuk menjadi artis rakaman.
“Biar pun sudah ada label gergasi seperti Polygram, Phillipis dan EMI, Sweet Charity bukanlah pilihan, antaranya kerana mereka merasakan kami dipengaruhi budaya kuning (Barat), ketika itu. Variapop (majalah), Mustika pun tak beri fokus sangat, tapi kami diterima masyarakat dan akhirnya, mereka menyerah.
“Itu yang dinamakan the people’s power, itu yang menjadi kekuatan Sweet Charity. Ada juga orang mahu menguruskan kami, tapi mereka datang dan pergi kerana tidak mahir tentang kekuatan kami. Berbeza semasa era lahirnya Search, Wings dan Lefthanded, misalnya kerana rock mula diterima dan boleh hidup,” katanya.
Berbanding pemuzik popular sekarang, tegasnya ia jauh berbeza dengan zaman Sweet Charity mula bertapak.
“Naik teksi, berlima, pergi Kuantan (buat persembahan), penghawa dinginn pun tak ada. Alat muzik semuanya letak di atas (bumbung) teksi,” katanya, menggeleng kepala sambil ketawa kecil. “Gila.”
Kepayahan itu, bagaimanapun menurutnya menjadikan perjalanan ini suatu yang indah. Dia menyambung, “Ia mengajar saya tentang kehidupan. Saya tak akan cakap menyesal sebab ia adalah perjalanan yang penuh warna warni.”
Seni, menurut Ramli lagi, mengatasi segalanya buat Sweet Charity yang seawal bergelar artis rakaman, diberi kebebasan untuk membuat susunan lagu mereka, sekali gus menentukan hala tuju muzik mereka.
“Sungguh pun ada lagu kami pinjam, kami jadikannya seperti lagu kami. Muzik Sweet Charity tidak ikut trend, tidak ikut momen semasa. Kalau anda dengar Sweet Charity, itulah dia. Biar pun anda dengar Jangan Tunggu Lama-lama, anggap poyo ke, ia tetap popular.
“Sepertimana kami berikan kepada Zakiah, kami gagahkan lagu itu daripada dangdut biasa yang dipersembahkan Ahmad Albar (vokalis God Bless), tapi lagu itu ada roh, karekter rocknya yang apabila diletakkan distortion yang kuat, ia akan keluar.
“Jangan Tunggu Lama-lama memang susah untuk dimainkan, tapi apabila kami memainkannya dengan cara kami, ia nampak gagah dan besar,” katanya, mengakui mengapa lagu-lagu malar segar itu tidak dapat ditinggalkan daripada persembahan.
Sebanyak 25 lagu dijangka diperdengarkan Sweet Charity dalam persembahan berdurasi kira-kira dua jam, Sabtu ini. Tiket dengan harga serendah RM99 masih boleh didapatkan di www.beritagempa.live
Comments are closed.