Demi Penuhi Permintaan Fans, Konsert Slam Nurkasih Siap Imbau Memori
Konsert khas buat fans yang sentiasa ada dalam perjalanan Slam menuju 30 tahun perjuangannya.
Oleh Zurina Waji | Foto MEM
“Kerana fans, Konsert Slam Nurkasih ini diadakan. Iaitu, demi memenuhi permintaan fans yang mahukan Slam, mahu imbau memori bersama Slam. Kerana itu, kami hadiahkan Nurkasih.”
SETAHUN lagi, cukup 30 tahun perjuangan Slam dalam dunia muzik tanahair. Setahun lagi, tentunya akan ada perancangan ingin dilaksanakan bagi meraikannya namun ada penghargaan yang mahu diberikan dulu buat fans.
“Kerana fans, Konsert Slam Nurkasih ini diadakan,” kata Shah, pemain gitar. “Iaitu, demi memenuhi permintaan fans yang mahukan Slam, mahu imbau memori bersama Slam. Kerana itu, kami hadiahkan Nurkasih.”
Dijadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 6 Ogos nanti, konsert ini dianjurkan oleh AGV & WMD. Ia turut menampilkan Belbis sebagai rakan produksi dengan rakan strategik, Mewah Event Management.
Juga diambil daripada judul salah satu lagu popular mereka, Nur Kasih yang merupakan ciptaan Saari Amri dengan lirik oleh Ainol Jamal dimuatkan dalam album studio, Kesan Terbukti pada 1995 yang turut menerobosi pasaran Indonesia.
Ia tentunya cukup signifikan buat Slam apabila album studio kedua mereka itu yang meraih anugerah platinum berkembar kerana penjualan melebihi 300,000 unit, tidak termasuk 2 juta di Indonesia, menyaksikan lima single daripada album itu menguasai carta radio.
Slam mencipta fenomenanya seawal pertengahan 90an dan kekal begitu, sampai kini.
Selain akan dihiburkan dengan kerancakan mood Nur Kasih, tentunya Konsert Slam Nurkasih akan mengetengahkan untaian karya sepertimana banyak meraih permintaan daripada para penggemar mereka.
“Kita akan sentiasa buat kelainanan dalam setiap persembahan, daripada segi intro, susunan lagu,” jelas Shah yang hadir pada sidang media di Kuala Lumpur, baru ini. “Tapi kena ingat, untuk lagu balada kita tak boleh tukar banyak sangat mencacatkan susunan. Kita cubalah idea yang lain, daripada segi visual atau pencahayaan
“Orang akan suka apabila dia datang dan dapat bunyi yang sedap, pencahayaan yang cantik. Pencahayaan itu kena dengan lagu itu dan mereka dapat nampak momen yang berlaku di atas pentas. Itu yang penting.”
“Kita cuba bagi perincian yang lebih sentimental supaya orang yang datang akan dapat merasakannya… rasa wahh!”
Band asal Johor Bahru ini ditubuhkan Shah selepas dia keluar daripada Exists. Slam menyempurnakan formasinya dengan penyertaan Zamani sebagai vokalisnya, selain Eddie (keyboard) dan kekal sampai sekarang.
Slam yang turut dianggotai oleh Lili dan Man, sehingga kini mempunyai puluhan lagu malar segar, antaranya Gerimis Mengundang, Jika Kau Rasa Getarnya, Rindiani, Tak Mungkin Berpaling dan Kembali Terjalin.
Jelas Shah, mereka komited untuk memberikan kepuasan buat setiap pengikut mereka pada konsert ini kelak.
“Kita cuba bagi perincian yang lebih sentimental supaya orang yang datang akan dapat merasakannya… rasa wahh! Contohnya apabila Zamani menyanyi seorang dengan pencahayaan, bunyi yang bagus. Susunan kita akan cuba buat kelainan,” katanya, sebelum perancangan dibuat untuk sebuah konsert unplugged bagi meraikan ulang tahun ke-30 Slam, tahun depan.
Tiket bagi Konsert Slam Nurkasih pada harga serendah RM198 masih boleh didapatkan dengan melayari https://ilassotickets.com/event/konsert-slam-nurkasih/ atau hubungi 03-21706333 untuk info.
Comments are closed.