Ella dan Revival Generasi Seluar Dungree
Pasca konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota di Kuala Lumpur yang mengesahkan dia memang the queen.

Oleh Zurina Waji | Foto Hitman Solutions

“… hampir tiga dekad berlalu, persembahan malam itu dengan gimik helikopter dalam jelajah bagi mempromosi album Ella USA jelas masih segar dalam ingatannya… “

GERIMIS, malam itu. Demam Ella USA ikut dirasakan di Telok Wan Jah, tapak tumpuan pesta di Alor Setar dengan audiensnya yang berdiri dengan bertopi keledar belum ada tanda mahu berganjak, setia walau dalam kebasahan.

“Kemudian terdengar bunyi helikopter mendekati dan sebaik mendarat di tapak pendaratan, keluar satu sosok berlari dalam gerimis menuju ke pentas dan berkumandanglah Nuri yang buat audiens tak keruan” imbau teman, Roslen Fadzil, tentang malam konsert pada pertengahan 90an itu.

“Saya masih ingat bagaimana pelekat pantul cahaya di belakang topi keledar audiens bersinar dalam gerimis, lama sebelum KPop muncul dengan trend light stick. Tapi ini, audiensnya mat-mat motor, lelaki kebanyakannya dan hanya Ella yang mampu beri kesan sebegitu.”

Diminta menjelaskan sebagus manakah Ella, ketika itu, dia yang kini merupakan Editor Suria 7, majalah digital yang sedang dibangunkannya untuk Suria FM, memberikan benchmark yang mengundang tawa apabila berkata: “Tak ada orang yang baling botol ke pentas.”

Biar hampir tiga dekad berlalu, persembahan malam itu dengan gimik helikopter dalam jelajah bagi mempromosi album Ella USA jelas masih segar dalam ingatannya yang ketika itu membuat liputan untuk Harian Metro, akhbar tempat kami sama bertugas dulu.

Ella yang bertindak sebagai produser bagi album 1994 itu bersama Kyoji Yamamoto, mencipta sejarah sebagai artis tempatan pertama membuat rakaman sepenuhnya di luar negara, iaitu di California, Amerika Syarikat. Ella USA malahan disifatkan antara album tempatan terbaik pernah dihasilkan, setakat ini.

Dan konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota yang dibawa Hitman Solutions dan pengurusannya, RockQueen di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil, baru ini telah membawa kami kembali pada banyak momen yang pernah disaksikan tentang sosok bernama Ella ini.

“Indah dalam kesederhanaan, apatah lagi pasangan ini tidak trying too hard namun cukup untuk memberi justifikasi kepada cinta dan elemen rock 90an yang menghidupkan karya, juga ciptaan Lord ini yang lama saya abaikan… “

PEACE.LOVE.RINDU

Pada malam pertama konsert sempena 35 tahunnya dalam dunia muzik itu, Ella menerima pengiktirafan Most Concert Tickets Sold Out: 10,000 Tickets in 24 Hours oleh Malaysia Books of Records.

Tapi entah sudah berapa kali dia menempa sejarah, lebih awal antaranya lewat Standing in the Eyes of the World, lagu ciptaan Datuk Wah Idris bersama David Gates, dengan lirik oleh Datuk Habsah Hassan yang dirakamnya bagi lagu tema Sukan Komanwel 1998.

Patriotik dalam baur light rocknya, ia masih berupaya mencetuskan bara di dada pada malam Jilid Akhir lalu yang disempurnakan, antaranya dengan visual latar bendera Malaysia, gah berkibar di layar.

Ia seikonik Dua Insan Bercinta, misalnya yang dirakam seawal era Battle of the Bands dan kebangkitan muzik rock pada pertengahan 80an yang memperkenalkannya sebagai sebahagian daripada Ella & The Boys.

Versinya bersama Datuk Amy Search, malam itu mungkin bukan pilihan saya, namun ia tidak menafikan keunggulan karya Lord itu, gitaris dan pengasas Ella & The Boys yang menjadikannya lagu antem buatnya.

“Kenapa tak boleh move on ni?” seorang teman menyimpulkan tentang konsert Jilid Akhir yang diakui dinikmati semaksimumnya di tingkat paling atas.

Juga saya, tiada lain kecuali vibrasi yang mengasyikkan dirasai saat tercampak ke tengah lautan manusia yang menjadi sebahagian daripada sejarah yang dicipta Ella yang memberikan, antaranya Demi, Kasih, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Sembilu dan Kitalah Bintang.

Apa yang dilakukan Ella, dengan 35 lagunya, melangkaui lebih daripada jangkaan. Solo, diiringi pemuzik pimpinan Pengarah Muzik, Datuk Acis, dia nyata mengagumkan. Saya suka dengan susunan muzik yang segar, walaupun mengharapkan bunyi bass yang lebih mantap, sistem audionya antara yang terbaik diberikan.

Sering memberikan kepelbagaian dalam konsertnya, set up konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota ini yang berinspirasi cantuman kepingan puzzle yang menggambarkan perjalanan seninya, benar mengundang asyik,

Ella, ada masanya ditemani koir muda, buat ramai terpukul dengan energinya yang luar biasa sepanjang dua jam beraksi, seawal muncul dengan persalinan putih rekaan Khoon Hooi yang mengimbas mood minimalisme rekaan mendiang Issey Miyake, antaranya.

Jelas, seorang ikon fesyen, dia memberi makna pada gaya glam rock dengan bergaun hitam dan ropol kembang yang tampak over, namun masih tampil sebagai rocker yang chic untuk untaian, antaranya Peace.Love.Rindu yang diperdengarkan bersama suami, Kapten Azhar yang harus saya akui membibitkan momen roman buat audiens, malam itu.

Indah dalam kesederhanaan, apatah lagi pasangan ini tidak trying too hard namun cukup untuk memberi justifikasi kepada cinta dan elemen rock 90an yang menghidupkan karya, juga ciptaan Lord ini yang lama saya abaikan, sehinggalah malam itu.

“… Ella memaut banyak hati. Cukup melihatnya di pentas, bagaimana untuk tidak menyukainya? Tidak jatuh cinta dengannya.”

REVIVAL

Kerana pada usia hampir mencecah 57 tahun, Ella masih berupaya memukau audiensnya dan dengan energi anak separuh baya. Jilid Akhir memberikan itu – showmanship dengan transisi lancar antara satu lagu ke satu lagu, menyerlah dengan vokal dan pesonanya.

Tapi bagaimana, seperti soal beberapa teman, Ella terus relevan?

Fans datang berbondong, sebahagianya diinspirasi daripada gaya Ella, ketara dengan penampilan awalnya dalam jeans dan jaket, dipadan dengan hijab digayakan ala Jack Sparrow dan Pirates of the Caribbean.

Ini mungkin keraian 35 tahun Ella dalam muzik, dan lagu-lagu daripada era 80an namun apa yang buat impresif adalah peneriman fans, mencakupi usia seawal 20an yang menjelaskan luasnya kekaguman yang diraihnya.

“Lagu Set B list pun orang boleh nyanyi sama, memang dahsyatlah,” ulas seorang teman, peminat tegar muzik yang menikmati vibrasi malam itusehinggakan visual muzik Rama-Rama berkalih menjadi konsert fans sementara Ella dan pemuzik mencuri nafas.

Jelas, dalam perjalanan seninya, Ella memaut banyak hati. Cukup melihatnya di pentas, bagaimana untuk tidak menyukainya? Tidak jatuh cinta dengannya. Tidak ingin ketawa dengan leluconnya yang sering tidak disengajakannya. Tidak ingin melayani manjanya.

“Mungkin, saya dan peminat saya yang baru, lama, yang muda, yang berusia, ada satu perkara,” kata Ella lagi, di belakang pentas. “Ada yang sama di dalam (hati), persamaan yang ada di dalam hati kami. Insya Allah, I think so, yes.”

Saat ini, saya suka untuk mengenang tentang kerendahan hatinya, tidak berubah sejak dulu dan keghairahannya yang tidak pernah padam itu.

“Ella saja yang boleh command crowd macam ni,” saya membalas pertanyaan teman usai Nuri di penghujung malam sambil imej Ella terus bermain di fikiran, dengan energi yang seolah tidak terkuras dalam sut metalik rekaan Masyadi Mansor itu, sesuai gaya seorang ikon yang beratu di banyak hati. Titik.