Datuk Siti Nurhaliza Sepentas Artis Antarabangsa dalam Konsert David Foster & Friends, Ogos ini
Dianjurkan, antaranya bagi mengumpul dana pendidikan pelajar asnaf dan B40 di menara gading.

Oleh RUMI

“…bukan hanya bersifat komersial semata, tetapi turut menekankan konsep ‘berhibur sambil beramal’ yang bakal memberi manfaat buat anak-anak Malaysia Madani di menara gading yang kurang berkemampuan dari golongan asnaf untuk mengurangkan beban kos sara hidup di kampus.”

HAMPIR sedekad berlalu sejak kali terakhir Siti Nurhaliza bergandingan dengan pemuzik terkenal, David Foster dan lama menantikan, momen itu bakal dihidupkan kembali dalam satu konsert hebat, 7 Ogos ini.

Sebagai menghargai fans, penyanyi yang terus unggul itu sejak mula menjejakkan kaki ke persada seni lebih 30 tahun lalu, dijadual tampil dalam Konsert David Foster & Friends anjuran Yayasan Prihatin Nasional atau PRIHATIN.

Diadakan dengan kerjasama B De Paris Beauty Project Ent, PRIHATIN adalah sebuah organisasi kebajikan yang menyediakan pelbagai bantuan kepada golongan miskin dan tidak berkemampuan ke arah kehidupan yang lebih baik, selain membantu kerajaan melaksanakan program kemasyarakatan dalam menyalurkan bantuan.

Selain Siti, turut mengiringi David Foster ialah pelantun When a Man Loves a Woman, Michael Bolton; Peabo Bryson yang dikenali, termasuk dengan hits klasik Disney seperti Beauty and the Beast dan A Whole New World; Katharine McPhee dan Loren Allred.

Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Datuk Mohd Aizuddin Ghazali, turut berkongsi keterujaan mengenai penganjuran konsert antarabangsa berskala besar itu yang menekankan konsep ‘berhibur sambil beramal.’

Ini kerana, menurutnya, sambil menikmati persembahan berkelas dunia, sebahagian penjualan tiket juga akan disalurkan ke Tabung Kasih PRIHATIN bagi kegunaan dan manfaat pendidikan pelajar tidak berkemampuan di menara gading.

“Saya teruja kerana diberi peluang untuk menganjurkan konsert ini yang bukan hanya bersifat komersial semata, tetapi turut menekankan konsep ‘berhibur sambil beramal’ yang bakal memberi manfaat buat anak-anak Malaysia Madani di menara gading yang kurang berkemampuan dari golongan asnaf untuk mengurangkan beban kos sara hidup di kampus,” katanya, memetik kenyataan medianya.

“Saya bersyukur dengan penglibatan semua artis yang bersetuju untuk sama-sama mencari dana melalui jualan tiket, seterusnya menyalurkan sebahagian daripada hasil jualan untuk tujuan kebajikan.”

Akses

  • 7 Ogos 2023
  • Mega Star Arena, Kuala Lumpur
  • 8.30pm

Tiket