Kenangan Terindah Dengan Samsons
Malam di Kuala Lumpur lewat konsert sempena dua dekad band Indonesia itu dalam seni.

Oleh Zurina Waji | Foto Ultimate Film

“… memberikan warna baharu dalam persembahan yang energetik, sekali gus mengangkat kegahan muzik mereka yang banyak berkolaborasi dengan orkestra yang menjadi ciri kekuatan Samsons dalam rasa yang lebih kini.”

NOSTALGIA jelas telah memungkinkan malam bersama Samsons membara dengan banyak kenangan terindah yang pernah terciptakan.

Sebab ia adalah malam buat para penggemarnya melempias rindu dengan meraikan 20 tahun keberadaan band Indonesia ini yang sekarang ini memacu dunia muzik dengan Adrian Martadinata sebagai frontman.

Ia sekali gus menjadi malam menguji kesetiaan, seraya mencipta penggemar baharu buat band yang membuat banyak hati terpaut lewat Kenangan Terindah pada 2005, pada masa itu dengan Bambang Reguna Bukit atau Bams sebagai vokalisnya.

Dimuat dalam album Naluri Lelaki yang dinobat Album Terbaik 2006 pada Anugerah Musik Indonesia, Kenangan Terindah yang meraih trofi Lagu Terbaik dan terus digemari memperlihatkan mengapa bayangan Bams seolah mengekori Samsons.

Lalu, bagaimana malam Samsons 20th Anniversary Live Concert in Malaysia 2023 tanpa Bams?

Sempat menampilkan Ariadinata selepas peninggalan Bams, konsert anjuran Ultimate Film itu memperlihatkan keserasian Adrian, biar pun baru dua tahun menjadi sebahagian daripada Samsons yang masih kekal dengan Irfan Aulia sebagai pemain gitar, Aldri Dataviadi (bass) dan Erik Partogi Siagian (gitar).

Sedang 10 tahun berlalu sejak kali terakhir Samsons berada di tanahair, itu pun untuk persembahan peribadi, sebelum kembali dalam sebuah persembahan di hadapan fans yang memenuhi Zepp Kuala Lumpur semasa kota ini masih dalam mood berLebaran.

Cuma lima album studio sepanjang 20 tahun penubuhannya, apatah lagi selepas Bams keluar pada 2011 yang menurut Irfan, sebelum ini, kerana “Bams punya citrasa berbeza dalam muzik, iaitu lebih ke arah ketuhanan atau gospel”, pengaruh band ini diduga menyusut biar pun beberapa single dilahirkan sebelum muncul album kelima, V, iaitu angka lima dalam Roman, pada akhir 2020.

Di panggung, melihat Adrian buat kali pertama setelah diperkenalkan Samsons menerusi single, Rayu, awal tahun lalu sebelum Rasa Yang Salah menyusul, nyata ada angin segar dibawa band asal Jakarta ini.

Juga seorang komposer, frontman berusia 42 tahun ini memberikan warna baharu dalam persembahannya yang energetik, sekali gus mengangkat kegahan muzik mereka yang banyak berkolaborasi dengan orkestra yang menjadi ciri kekuatan Samsons dalam rasa yang lebih kini.

“… konsert itu ditata sebagai sebuah persembahan yang direncana rapi, seolah teater, menerusi mainan visual yang melatari panggung, juga pencahayaan dan rekaan bagi membangkitkan mood menurut lirik yang diperdengarkan.”

LEBIH DARIPADA NOSTALGIA

Keasyikan yang diberikan Adrian yang mewarisi bakat seninya daripada datuknya, Allahyarham Laksamana RE Martadinata yang merupakan pahlawan nasional Indonesia, nyata meluputkan apa jua prasangka terhadap keupayaan Samsons.

Irfan, dalam beberapa sapaannya, malahan memperlihatkan rasa terharu terhadap sambutan diberikan audiens yang diperdengarkan dengan Kisah Tak Sempurna, Akhir Rasa Ini dan Kehadiranmu sebagai pembuka malam konsert.

Rayu dan Rasa Yang Salah menyusul sebelum audiens diberikan Ajari Aku, sebuah lagu ciptaan Adrian semasa beliau tampil solo sebagai Adrian Martadinata dan pernah dirakam oleh crooner popular tanahair, Anuar Zain.

Dan tidak hanya berlandaskan nostalgia semata, konsert itu ditata sebagai sebuah persembahan yang direncana rapi, seolah teater, menerusi mainan visual yang melatari panggung, juga pencahayaan dan rekaan bagi membangkitkan mood, sesuai muzik dan lirik yang diperdengarkan.

“… hits berusia hampir dua dekad itu berlagu dari setiap bibir kala diminta Adrian yang turun di tengah audiens yang menyua telefon bimbitnya bagi dirakam sebagai “kenangan terindah… “

Samar penampakan mereka di pentas, lantas hanya diterangi cahaya suram di balik tirai lutcahaya yang menyelubungi panggung kala medley lagu berentak perlahan dipersembahkan seperti Di Ujung Jalan, Tuhan Tak Pernah Salah dan Tak Bisa Memiliki ikut membuai rasa.

Electrify My Soul mungkin antara yang tidak diduga akan dihadirkan Samsons pada pertengahan malam, sebelum memberikan seleksi rancak menghampiri penghujung persembahan, antaranya lewat Hey Gadis dan Naluri Lelaki dengan lirik mencuit hati.

Saat Kenangan Terindah diperdengarkan, akhirnya?

Ibarat orang mengantuk disorongkan bantal, hits berusia hampir dua dekad itu berlagu dari setiap bibir kala diminta Adrian yang turun di tengah audiens yang menyua telefon bimbitnya bagi dirakam sebagai “kenangan terindah” sebelum kembali ke panggung untuk menyempurnakan misi malam itu.

Kemudian menutup malam dengan Nafasmu, Adrian, seolah tidak lelah dalam persembahan berterusan selama dua jam itu, jelas seorang performer dan kini, bersama Samsons menjadikannya gandingan yang diduga melonjakkan kembali band ini dalam perjuangan muzik mereka.

Samsons sudah kembali, itu pasti.