Konsert <em>Sold Out </em>Dalam 24 Jam<em>, </em>Ella Memang Lejen!
Di stadium Axiata Arena, di depan 9,000 fans, Jilid Akhir: Ella Puteri Kota bakal cipta sejarah, Jun ini.

Oleh RUMI

“Tiket ke konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota sold out dalam masa 24 jam saja, memecahkan rekod penjualan tiket bagi artis Malaysia yang pernah dianjurkan di Axiata Arena.” – Rohit, penganjur

“ELLA adalah Ratu Rock negara yang tiada tolok bandingan,” kata pengasas Hitman Solutions, Rohit Rampal yang menganjurkan Jilid Akhir: Ella Puteri Kota sempena 35 tahun pembabitan penyanyi itu dalam muzik.

Jelas teruja, perkembangan itu disifatkannya sebagai satu rekod baharu buat artis tanahair.

“Tiket ke konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota sold out dalam masa 24 jam saja, memecahkan rekod penjualan tiket bagi artis Malaysia yang pernah dianjurkan di Axiata Arena,” ujarnya yang kagum dengan sokongan diberikan fans Ella biar pun pembelian sempat tergendala seketika apabila lebih 25,000 pelayar beratur di laman web sebaik penjualan dibuka jam 12 tengahari, 13 Mac lalu.

“Jujur, saya sendiri tidak sabar untuk melihat Ella beraksi di pentas dan rock out bersama fans.”

Stadium di Bukit Jalil, Kuala Lumpur itu yang menjadi gelanggang konsert solo berskala besar buat rocker ini yang mula mencipta nama menerusi lagu Dua Insan Bercinta semasa menjadi sebahagian daripada Ella & The Boys dapat memuatkan 9,000 audiens.

Ia yang dianjurkan bersama pengurusan Ella, RockQueen, menyediakan tiket dengan harga serendah RM99 sehingga RM499 untuk kerusi VIP bagi persembahan satu malam yang dijadual pada 10 Jun ini.

Ella, dalam kenyataannya mengakui “sangat teruja, berbangga dan bersyukur” dengan sambutan yang dianggap “luar biasa” itu.

Dikenali dengan puluhan hits malar segar seperti Sembilu, Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Standing in The Eyes of the World, dia menitipkan pesan buat para penggemarnya untuk mendoakan kesihatannya dan semua yang terlibat.

“Ella juga berdoa agar semuanya berjalan lancar dan seterusnya dapat menghiburkan jangkaan 9,000 penonton yang akan hadir untuk rock & roll istimewa bersama Ella,” katanya, sebelum ini.

Jilid Akhir: Ella Puteri Kota ini sebenarnya didedikasikan buat semua fans yang setia menyokong perjalanan seni Ella, selama ini. Tiada kata penghargaan dapat menandingi sokongan anda semua  buat Ella.”Rohit yang juga

Ketua Pegawai Eksekutif Hitman Solutions turut mengimbau pertemuan yang membawa kepada peluang bekerjasama dengan nama sebesar Ella yang dilihat sebagai satu penghargaan buat pihaknya.

“Ella adalah ratu yang bertakhta, bukan saja di hati peminat muzik rock tempatan, malah di rantau Asia Tenggara, dan menariknya saya juga. Lagu yang telah membuka mata saya, iaitu Standing in the Eyes of the World membuat saya terpaku hingga sekarang.”

Ella yang terharu dengan semangat ingin bersama dalam keraian konsert ini yang ditunjukkan fans, melihat acara itu harus menjadi “memori yang wajar dikenang.” Dan seperti katanya, “Ini hanyalah permulaan baru bagi pengembaraan Ella yang seterusnya.”