Terima Kasih, Afgan!
Untuk bukan cinta biasa yang diberikan pada malam konsert Afgan Evolution Live in Kuala Lumpur 2022.
Oleh Zurina Waji | Foto Renjana Idea
“Jika Kuala Lumpur boleh dijadikan ukuran, ya, konsert anjuran Renjana Idea itu menyerlahkan kematangan sensasi berusia 33 tahun ini yang dilihat sudah berani keluar daripada zon selesanya dan tahu apa yang dimahukannya.”
DIA menikmatinya. Rasa itu jelas, malahan ikut memaut 2,800 hati yang menghadirkan diri ke konsertnya selepas kali terakhir dia beraksi di Dewan Plenary, Kuala Lumpur Convention Centre, hanya berbeza gelar, kira-kira empat tahun lalu.
Afgan Evolution Live in Kuala Lumpur 2022 benar satu evolusi buat penyanyi Indonesia berdarah Minang itu yang kembali ke kota ini, tidak keterlaluan untuk mengatakan, sebagai seorang yang baharu.
Sepeninggalannya daripada pentas Kuala Lumpur, dia sudah pun memulai langkah besarnya ke persada muzik antarabangsa, antaranya menerusi penghasilan album Inggeris sulungnya, Walflower, tahun lalu.
Penyanyi R&B dan komposer dengan nama sebenar, Afgansyah Reza itu, antara lain turut berkolaborasi dengan Jackson Wang, malah merakam remix Touch Me yang menampilkan penyanyi, Robin Thicke.
Jika Kuala Lumpur boleh dijadikan ukuran, ya, konsert anjuran Renjana Idea itu menyerlahkan kematangan sensasi berusia 33 tahun ini yang dilihat sudah berani keluar daripada zon selesanya dan tahu apa yang dimahukannya.
Lagu M.I.A membuka tirai malam, disusuli tiga lagi lagu Inggerisnya, Say I’m Sorry, Bad dan Knock Me Out yang bagai memberi indikasi tentang cabaran baharu bersama label Empire yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Sambil audiens harus menghadam sisi baharu Afgan ini, dia tidak mengambil masa lama untuk kembali memberikan balada romantis pop Indonesia menerusi Wajahmu Mengalihkan Duniaku, Jodoh Pasti Bertemu dan Untukmu Aku Bertahan.
Dilihat matang dalam mengendalikan kemahsyuran di pentas baharunya, konsert di Kuala Lumpur itu turut merungkai perjalanan Afgan yang meraikan ulang tahun ke-15 dalam dunia muzik menerusi Terima Kasih Cinta yang menyusul kemudiannya.
“… rawatan terapi, antaranya kerana kebimbangan melampau dan insomnia ekoran kekangan berkarya susulan pandemik, saya percaya fasa itu lebih berupa hikmah buatnya, sebagai seorang pengkarya dan juga manusia.”
Jelas ia all-time favourite yang dinantikan, hit daripada debut Confession No.1 itu tidak hanya mengingatkan audiens tentang kelunakan suara yang meraih perhatian seawal 2008 itu, malah mendengarkan kehangatan yang masih diberikan menerusinya benar mengasyikkan.
Biar tampil lebih selesa berdepan audiens, sifat agak malu-malunya yang masih bersisa nyata menjadi pesona yang dilihat menawan, apatah lagi dengan lesung pipit dalam yang mengiringi senyuman di sepanjang malam.
Kerana pernah melihatnya beraksi pada 2018, saya akui lebih menikmati Afgan yang baharu ini. Diringi band dan para pemain saksafon dan trompetnya, saya suka melihat dia berupaya menebarkan kuasa cintanya menerusi muziknya yang bagai tidak terhalang oleh masalah kemurungan yang pernah dialaminya.
Sejak dua tahun lalu menjalani rawatan terapi, antaranya kerana kebimbangan melampau dan insomnia ekoran kekangan berkarya susulan pandemik, saya percaya fasa itu lebih berupa hikmah buatnya, sebagai seorang pengkarya dan juga manusia.
EP +62 yang dihasilkan, baru ini yang memberikan lagu seperti Pulih, Pendam dan Lestari Merdu yang turut diperdengarkan, malam itu disambut penggemarnya yang gembira dia mengimbangi diri baharunya dengan kembali kepada akarnya.
Keindahan malam yang dikongsi bersama keluarganya yang turut menghadiri konsert jadi ekstra manis apabila Afgan turun dari pentas, menghampiri Dato Sheila Majid yang berada di tengah audiens untuk melagukan spontan Ku Mohon yang membuat satu dewan ikut meneriakkan kesyahduannya.
Sinaran, hit awal yang memperkenalkan Sheila, dilagukan rancak di pentas oleh Afgan kemudiannya sebagai satu penghormatan buat diva itu yang merupakan antara sosok dikagumi, termasuk di Indonesia.
Panah Asmara menyempurnakan malam bersama Afgan itu sebagai lagu ke-23 dan terakhir selepas memperdengarkan Bukan Cinta Biasa yang memberikan rasa damai. Usai malam evolusi itu, Afgan tentunya tidak akan mudah dilupakan.
Comments are closed.