“Saraf mata tiba-tiba berdarah, aku dah buta?” Diuji, ini cerita kebangkitan jutawan, Tarmizie Ismail
Ketidaksempurnaan, mungkin pada pandangan masyarakat namun untuk menyerah kalah tidak sama sekali.
Oleh Zurina Waji | Foto Arkib IKTBM
“… mula melihat bahawa Tuhan hanya menguji apa yang mampu dipikul hambaNya. Saya harus bersangka baik padaNya dan menyakini di sebalik musibah ada hikmah yang menanti.”
“SATU pagi, tidak semena-mena saraf mata saya berdarah. Saya hanya nampak darah mengalir,” kata Tarmizie Ismail, mengimbau kejadian yang belum setahun berlaku. “Saya dah tak nampak apa-apa kecuali darah. Dunia saya jadi gelap.”
Dilahirkan sempurna, kejadian itu menyentap jiwanya. Dia mula terfikir tentang keindahan biru langit yang mungkin tidak lagi dapat ditatap sambil menadah tangan mengingati keagungan Tuhan. Atau desir ombak di pantai ketika senja yang mungkin hanya mampu didengar.
Serangan kecil strok memburukkan lagi kondisi kesihatannya sehingga menjejaskan penglihatannya. Sempat pengasas dan Pengerusi Eksekutif, IKTBM Group Sdn Bhd ini memikirkan 20 tahun dia membina empayar bisnesnya yang menjadikannya seorang jutawan, namun untuk apa akhirnya.
“Longlai saya kala diberitakan akan buta. Kos rawatan bukan soal, saya terdesak agar keadaan kembali sempurna. Saya menjalani pembedahan mata, tapi hanya belah kiri dapat dilakukan dulu.
“Penglihatan saya, bagaimanapun gagal dipulihkan sepenuhnya, hanya boleh lihat 60 peratus,” katanya, perlahan bagai mengingati masa sukar itu.
Ia berlaku ketika dia seharusnya meraikan perluasan empayarnya, daripada sebuah syarikat kecil yang menyediakan perkhidmatan pengosongan tangki septik dan kini berkembang, antaranya lewat bisnes perkapalan, selain pelancongan dan Umrah.
Kata Tarmizie, dia juga sudah bersedia untuk melangkah ke tahun 2023 ini dengan penjualan kereta import menerusi pembukaan dua galerinya, masing-masing di tanah kelahirannya, Melaka dan Selangor.
Pada usia 44 tahun, lulusan Biologi Pemulihan dan Ekologi daripada Universiti Kebangsaan Malaysia itu, berkata dia sebaliknya didiagnos pula cacat kekal dan kini, memegang status OKU. Sekali lagi, katanya laporan perubatan itu membuat dunianya seakan runtuh.
“Diburu rasa tidak mungkin hidup normal lagi, seluruh diri, semangat saya, terbang. Nafas pun terasa pendek tanpa menyedari awalnya ia mainan psikologi, bibit-bibit vibrasi negatif yang mula menguasai diri.
“Berkat doa ibu, saya percaya, saya belajar untuk menerima dan melihat bahawa Tuhan hanya menguji apa yang mampu dipikul hambaNya. Saya harus bersangka baik padaNya dan menyakini di sebalik musibah ada hikmah yang menanti,” tambahnya.
“Sudahlah ditipu kawan sendiri, apabila orang tahu bisnes apa yang kita buat, iaitu membabitkan najis, ada pula yang anggap ia jijik dan memperlekehkan.”
IBU SUMBER KEKUATAN, KEBAHAGIAAN
Berat ujiannya, namun keyakinanNya kepada Yang Maha Esa tidak goyah. Kewibawaannya sebagai seorang pemimpin tidak usah dipertikai, terutama dalam mengendalikan bisnesnya. Akui bapa tiga anak ini, sumber kekuatannya adalah ibu, Khaliyah Md Noh, 69, selepas mereka tiga beradik kehilangan ayah, Ismail Senin, 63, yang meninggal dunia 15 tahun lalu.
“Saya dan ibu rapat. Saya cukup menjaga hubungan dengan ibu kerana saya percaya ibu salah satu sumber rezeki anaknya. Ibu jugalah sumber pahala, sumber kunci pintu-pintu syurga selagi masih ada. Itu tiga perkara yang saya pegang dalam hidup.
“Sifat orang berniaga, antaranya tidak boleh mudah berputus asa atau nanti satu benda pun kita tidak boleh buat. Jika sudah berputus asa, nak berfikir pun tidak boleh,” katanya.
Kalimat “Maka nikmat Tuhan mu yang manakah yang kamu dustakan”, diulang-ulang dalam surah Ar-Rahman, membuka pandangannya. Jelas Tarmizie, dia harus positif apatah lagi memikirkan amanah sebagai seorang suami, bapa dan anak. Status OKU, katanya bukan pengakhiran kerana dia masih punya banyak sebab untuk terus mensyukuri.
IKTBM yang menurutnya diasaskannya mengikut akronim pangkal nama orang tua dan dia, tiga beradik, perlu dipastikan menjadi sebuah legasi keluarga, di samping dimanfaatkan untuk memberi balik kepada masyarakat.
“Impian saya sebenarnya mahu jadi pemain bola sepak. Dulu tu, ibarat kata makan bola, tidur bolalah,” katanya, ketawa kecil mengingati bagaimana dia begitu mengagumi pemain Pahang, ketika itu seperti Fandi Ahmad, Dollah Salleh dan Zainal Abidin Hassan yang sering dilihat berlatih di padang sekolahnya, di Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah di Pekan yang dikenali sebagai SHAH Pekan.
“Minat terlalu mendalam terhadap bola sepak sampaikan saya ditegur guru kerana apabila pelajar diminta menghiasi meja masing-masing di asrama dengan tokoh yang memberi inspirasi, saya meletak gambar-gambar pemain bola sepak.”
Pembabitannya dalam dunia bisnes adalah suatu yang tidak diduga, apatah lagi mengambil kira latar keluarga dengan Allahyarham bapanya merupakan bekas attendan pergigian, manakala ibu, bekas guru.
“Satu kemalangan kecil mempertemukan saya dengan seorang doktor yang mempersoalkan sekiranya bapa saya seorang ahli politik atau bekerja kerajaan, adakah jawatan itu boleh diturunkan kepada anaknya? Tapi boleh jadi satu legasi kalau bapa orang bisnes,” katanya.
“Hapuskan pandangan Melayu ini malas, tak tahu berfikir. Saya mahu bimbing, daripada A sampai Z. Itu cara saya menyumbang kepada masyarakat. Apakah kondisi saya tidak cukup untuk menginspirasi? Jika saya, seorang OKU pun mampu bangkit, kenapa tidak anda yang sempurna?”
NAK BERJAYA, KENA JATUH DULU
Tarmizie yang mengambil masa setahun untuk mengumpul keberanian menceburi dunia bisnes, berdepan dugaan awal apabila rakan niaga mengkhianiati kepercayaannya, juga persahabatan mereka.
“Orang tua saya bukan orang senang dan mereka sendiri antara percaya dan tidak mendengar saya mahu berbisnes. Mustahil untuk mereka menyokong daripada segi modal, jadi saya sangka apabila ada teman yang berpengalaman tentu bisnes akan lancar,” katanya yang menerima kontrak khidmat pengosongan tangki septic ekoran pengalamannya dalam pengurusan dan perawatan bahan buangan.
“Sebaik kontrak diletak di bawah syarikatnya, janji tinggal janji. Dua bulan gaji saya tidak dibayar sedangkan saya baru berkahwin, macam mana nak hidup?”
Ada nada sebak apabila dia menambah, “Saya cukup terhutang budi dengan seorang ibu angkat saya yang sanggup menggadaikan tanahnya untuk saya buat modal apabila saya berjaya mendapatkan kontrak lain kemudiannya.
“Sudahlah ditipu kawan sendiri, apabila orang tahu bisnes apa yang kita buat, iaitu membabitkan najis, ada pula yang anggap ia jijik dan memperlekehkan. Tapi dengan modal tambahan kemudiannya daripada orang tua dan isteri, Wan Anisah Juhaida Wan Manan, saya jadikan hinaan itu sebagai cabaran untuk membuktikan keupayaan diri.”
Dia bangga kerana dua adiknya, Bukhari, 41 dan Muadz, 39, turut menyertainya mengembangkan legasi IKTBM.
“Berlari di padang, main bola sepak buat saya gembira kerana itu impian sejak kecil. Tapi dulu bermain bola sepak bukannya semua boleh hidup senang, tidak macam sekarang ada kelab seperti JDT. Dulu, jadi pemain bola sepak perlu berdepan kepayahan hidup.
“Sudah mula berbisnes, saya menyedari hakikat tentang masa depan kerana mencari apa yang boleh diwariskan untuk anak-anak, keluarga. Tapi untuk berjaya, terutama dalam bisnes, mesti ada jatuh dulu selain berdepan perbuatan dengki, khianat.”
Enggan membiarkan kondisi dirinya kini menghalanginya untuk terbang lebih tinggi, Tarmizie mengimpikan anak bangsanya menguasai dunia perniagaan, terutama sebagai jalan memperbaiki ekonomi masyarakat Melayu, khususnya.
“Orang yang baru bisnes kena ada mentor-mentee. Selepas ada jatuh bangun baru datang kejayaan, lebih lagi berbisnes tak cukup dengan hanya baca buku tapi kena melalui pengalaman dan guru. Saya ingin beri ilmu, memotivasi agar anak Melayu boleh mempertingkatkan diri,” katanya.
“Hapuskan pandangan Melayu ini malas, tak tahu berfikir. Saya mahu bimbing, daripada A sampai Z. Itu cara saya menyumbang kepada masyarakat. Apakah kondisi saya tidak cukup untuk menginspirasi? Jika saya, seorang OKU pun mampu bangkit, kenapa tidak anda yang sempurna?”
Comments are closed.