Khalayan Tingkat Tinggi Dengan Noah
Usai Noah Live in KL, satukonsert yang super padat denganvibrasi gila yang diberikannya.
Oleh Zurina Waji
“… lagu-lagu yang dimuatkan dan dipersembahkan kembali, malam itu seperti Ada Apa Denganmu dan Mungkin Nanti hanya memperjelaskan mengapa walaupun selepas berdiri sebagai Noah, band ini kekal fenomena.”
NOAH dengan frontmannya, Ariel benar meleburkan malam dengan menghadiahkan suatu yang terindah buat pengemarnya untuk melunaskan kerinduan yang membuak dan jelas tidak dapat ditanggung lagi.
Keupayaan band rock alternatif asal Indonesia ini yang sudah 10 tahun mencipta nama sebagai Noah berhasil membuat sekitar 2,500 audiens melepas perasaan dengan hampir 20 lagu yang diperdengarkan dalam konsert yang sold out itu.
Dan padanlah apabila Noah Live in KL awal lagi dijoloki sebagai konsert yang paling dinantikan.
Ia sebagaimana yang dijanjikan penganjurnya, YOLO Malaysia, sebelum ini. Iaitu, sebuah persembahan bertenaga dan memukau daripada Ariel yang juga penggubah dan penerbit muzik, selain dilihat sebagai tulang belakang Noah yang turut dianggotai Lukman, gitaris dan David, keyboard.
Secara peribadi, saya mungkin lebih menggemari Noah menerusi formasi yang membentuk Peterpan awal dulu, namun selagi adanya Ariel yang turut memberikan sentuhannya dalam banyak hits mereka, band ini harus diakui tidak hilang bisanya.
Ini biar pun pada malam yang mengesahkan rembesan aura Ariel, pada sebahagian besar masa, paling menguasai panggung dengan suara dan petikan gitarnya yang membuat rasa seolah-olah saya menonton persembahan seorang penyanyi solo.
Seru, memang seru! Tak hanya ledakan Co2 pentas yang nyaris buat dada copot dan konfeti, juga sistem bunyi yang mengesankan di Zepp Kuala Lumpur itu, kesempatan menonton daripada pelbagai perspektif, termasuk bersesak antara para penggemarnya dalam kepadatan malam itu membuat siapa saja pun akan ikut merasa kegilaan vibrasi yang melingkar.
Dan Ariel? Cukup dengan reaksi fans wanitanya yang tenggelam dibuai lagunya.
Seingat saya, kali pertama saya benar memberikan perhatian kepada band ini semasa mereka masih menggunakan nama Peterpan, muncul dengan album studio kedua,Bintang di Surga pada 2004 yang menurut rekod terbaru, dikatakan meraih jualan lebih tiga juta salinan.
Sebuah album hit, sebetulnya lagu-lagu yang dimuatkan dan dipersembahkan kembali, malam itu seperti Ada Apa Denganmu dan Mungkin Nanti hanya memperjelaskan mengapa walaupun selepas berdiri sebagai Noah, band ini kekal fenomena.
Dan keghairahan yang ditiupi semangat Peterpan menerusi Noah itulah, saya percaya, menyapu para penggemarnya untuk membalas kembali dengan melantunkan energi luar biasa dan memberikan momen yang mengasyikkan. Biar ada ketikanya suara Ariel mulai serak, seolah tiada apa dapat menjejaskannya.
Noah, bagi saya, adalah Ariel biar seberapa pun pemuzik dengan tampang muka mempesona dan penuh karismatik ini berusaha turut mendepankan ahli lainnya yang nyata lebih senang berbicara dengan instrumen mereka.
Fans berteriak apabila menghampiri penghujung malam diumumkan rencana YOLO x NOAH 2023 yang bermakna band yang digila ramai ini bakal kembali ke Kuala Lumpur yang memungkinkan sebuah konsert yang lebih fenomenal.
Dan saya? Cuma mahu mengimbau nostalgia sepertimana kali pertama saya mendengar Bintang di Surga dilantunkan, 18 tahun lalu, menurut saya, Ariel dan Noah sudah memberikan malam yang cukup sempurna.
Comments are closed.