Komedi <i>Stand-up</i> Solo Pertama Sharmaine Othman, 12 Oktober Ini

Satu malam saja, sebuah persembahan istimewa lewat pementasan ‘Oh No She Didn’t!’

Oleh Rumi

“… di negara kita, jarang sekali kita dapati pelawak wanita yang berani untuk menceburkan diri di dalam bidang komedi stand-up, dan ia bagaikan didominasi oleh kaum lelaki.”

DI tahun ke-10 pembabitannya dalam dunia komedi, Sharmaine Othman akhirnya mengumumkan bakal tampil di pentas untuk komedi stand-up solo pertamanya, sekali gus memecah dominasi pelawak lelaki.

Sesuai dengan kedudukannya yang dikenali sebagai pelawak wanita negara bertaraf antarabangsa, pementasan yang digelar ‘Oh No She Didn’t!’ itu hadir selepas bertahun menimba pengalaman membuat persembahan komedi stand-up secara berkumpulan di rantau Asia.

“Jujur saya katakan bahawa saya kini lebih bersedia untuk pementasan solo dansudah tiba masanya untuk saya mencipta nama saya sendiri di dalam cabang seni yang amat unik ini,” kata penulis, pelakon, pengarah dan produser ini melalui kenyataan medianya.

“Lebih-lebih lagi di negara kita, jarang sekali kita dapati pelawak wanita yang berani untuk menceburkan diri di dalam bidang komedi stand-up, dan ia bagaikan didominasi oleh kaum lelaki.”

Ia tentu saja tidak mudah walaupun bagi anak sutradara terkenal, Othman Hafsham ini yang mementaskan persembahannya itu di bawah Cinematic Sdn Bhd yang pernah dinaungi bapanya sebelum dia mengambil alih.

“Saya anggap ini sebagai salah satu cabaran yang harus saya sahut dan pementasan solo bernama ‘Oh No She Didn’t!’ ini bakal mengubah lanskap tersebut.”

Jelas Sharmaine, pandemik yang melanda dunia membuatkan dia memikirkan kembali mengenai projek ini yang telah lama direhatkan dan membuatnya mula merangka strategi persembahan.

Pengkisahannya juga, disifatkannya sebagai suatu yang amat peribadi buatnya.

“Pementasan ‘Oh No She Didn’t!’ bertemakan kisah seorang wanita bujang yang hampir mencapai umur 40an yang terlampau sibuk bekerja dan mementingkan karier sehingga lupa dengan kehidupan peribadinya.

“Ia sangat personal. Saya juga akan menyelitkan pelbagai kekalutan sebagai seorang warga Malaysia pada saat ini, subjek yang tentunya relevan kepada audiens. Proses ini agak menakutkan kerana saya tidak pernah berseorangan di atas pentas namun inilah yang diimaginasikan,” katanya.

Dikenali dalam kalangan peminat komedi, antaranya melalui Projek Disko Baldi yang memenangi pelbagai anugerah yang turut dijadikan program TV, Sharmaine juga pernah dipilih sebagai pembuka acara bagi pelawak antarabangsa seperti Gina Yashere dan Ronny Chieng.

Akses

  • 12 Oktober 2022
  •  Damansara Performance Arts Centre (DPAC), Empire Damansara
  • 8.30 pm

Tiket