“Pahlawan, Ulama, Pendekar.” – Yayan Ruhian Bicara Tentang Mat Kilau
Bergandingan dengan Datuk Adi Putra yang berperan sebagai Mat Kilau, bintang seni bela diri Indonesia ini meletak tokoh yang difilemkan sutradara, Syamsul Yusof itu pada darjat tertinggi.
Oleh Zurina Waji | Foto Studio Kembara
“Mat Kilau seorang pendekar, seorang pesilat. Dia sangat memahami kebudayaan Melayu, di mana dalam melakukan pergerakan, melihat lawan tak hanya dengan mata tapi harus dengan rasa.”
“Ini orang hebat,” kata Yayan mengenai Mat Kilau yang ketokohannya menginspirasi penghasilan filem Mat Kilau – Kebangkitan Pahlawan yang menyaksikannya berperan sebagai pembunuh upahan yang diupah British bagi berdepan pertentangan orang Melayu di Pahang pada 1892.
“Sebagai filem, Mat Kilau bukan sebuah cerita bikinan. Sebagai negarawan, Mat Kilau adalah seorang pahlawan. Dilihat dari sisi religi, beliau seorang ulama. Dari sisi bela diri, beliau seorang pendekar. Saat diberitakan ia akan diarah Syamsul, saya senang hati. Saya yakin dengan filem ini.”
Tak hanya mengenal ketokohan Mat Kilau di dalam lingkup penggambaran, pesilat ini yang meledak dengan kemunculan pertamanya lewat The Raid – Redemption arahan Gareth Evans pada 2011, ikut menziarahi makamnya yang meninggal dunia pada 16 Ogos 1970, dipercayai pada usia 104 tahun dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kedong, Pulau Tawar di Pahang.
“Saya juga ke masjid yang dikatakan tempat pertama kemunculan Mat Kilau selepas dipercayai hilang bertahun. Saya ke sana sebelum penggambaran. Saat penggambaran, segalanya lancar,” katanya, merujuk Masjid Kampung Pulau Tawar yang menyaksikan kemunculan semula Mat Kilau pada 26 Disember 1969.
Sebagai Toga dalam Mat Kilau, pelakon berdarah Sunda kelahiran Tasikmalaya, Jawa Barat ini yang terpaksa meninggalkan sementara set pada 2018 untuk ke sisi bintang Hollywood, Keanu Reeves bagi filem John Wick 3 di Amerika Syarikat, mengakui bangga dapat berdamping dengan Adi Putra.
“Kerana untuk membuat sebuah choreofighting tidak bisa membuat aksi yang hebat. Harus fikir tentang karekter fighting itu sendiri. Mat Kilau seorang pendekar, seorang pesilat. Dia sangat memahami kebudayaan Melayu, di mana dalam melakukan pergerakan, melihat lawan tak hanya dengan mata tapi harus dengan rasa.
“Jadi, memukul lawan tidak harus dengan kepala tangan tapi bagaimana dengan menjauhkan lawan daripada dirinya sendiri sehingga itu sangatlah tepat, menunjukkan watak Mat Kilau yang diperankan Adi Putra. Dan Adi Putra itu sendiri, luar biasa orangnya. Saya sangat menghormatinya,” ujarnya.
“Syamsul pengarah yang masih muda, tentunya punya fikiran dan pandangan yang lebih bijak, lebih kreatif daripada… maaf kalau saya katakan, mungkin ada pengarah senior.”
Dan benar sebagaimana andaian Yayan, Mat Kilau yang diterbitkan Studio Kembara dengan bajet RM8 juta memecah rekod perfileman tanahair apabila filem epik itu meraih kutipan RM1 juta pada hari pembukaannya, 23 Jun lalu. Filem itu berkalih ke tangan Sutradara Terbaik, Festival Filem Asia Pasifik ke-57 itu selepas beberapa tahun tertangguh.
Ditanya pengalamannya berlakon di bawah arahan Syamsul, cepat saja Yayan membalas, “Luar biasa.”
Tambahnya, “Syamsul pengarah yang masih muda, tentunya punya fikiran dan pandangan yang lebih bijak, lebih kreatif daripada… maaf kalau saya katakan, mungkin ada pengarah senior. Kerana biasanya anak muda ada wawasannya, kreativitasnya akan berbeda, apa lagi Syamsul diketahui prestasinya sebagai Best Asian Director.”
Mat Kilau, menurut kenyataan media Studio Kembara, ditulis Syamsul bersama Shahruddin Dali yang juga penerbit filem ini bersama Abdul Rahman Dali, bertujuan menonjolkan ketokohannya dalam mempertahankan tanahair, seraya memperbetulkan tanggapan sebagai pemberontak seperti yang dilabelkan kolonial British.
Selain Adi Putra, filem ini turut menampilkan lakonan Beto Kusyairi sebagai Wahid, Fattah Amin (Awang), Johan As’ari (Yassin), Ali Karimi (Brahim), Wan Hanifi Su (Tok Gajah) dan Khir Rahman (Usop). Yayan turut meminjamkan kepakarannya bagi koreografi khas selain koreografi oleh Ahmad Effende.
Yayan, dalam pertemuan di Bangsar itu, melihat kelebihan Mat Kilau dalam menampilkan ketinggian karekter silat Melayu.
“Siapa pun yang menonton, melihat bagaimana erti sebuah perjuangan, erti sebuah semangat, erti sebuah kemenangan, dan bagaimana makna sebuah keyakinan, akidah, kecintaan tentang tanahair.”
Jauh berbeza dengan banyak peran antagonis yang dihidupkannya di layar lebar, perlahan diamengatur kata: “Sebagai tokoh bela diri, tokoh nasional, apa yang dikuasai Mat Kilau adalah bela diri yang memiliki ikatan tanahair, bela diri unsur Melayu sangat kental, silat Melayu. Lihat bagaimana Adi Putra melakukan itu sangat luarbiasa.
“Dalam silat, melihat lawan tak harus dengan mata untuk seorang yang sudah punya silat itu sendiri. Bergerak dengan irama, gerak dan rasa. Mungkin yang diperaga Adi Putra, tidak saja dalam bicara tapi gerak dengan rasa. Menghadapi lawan pun tidak melihat dengan mata tapi dengan rasa. Pukulan tidak dengan tangan terkepal tapi kelihatan seperti mendorong yang memberikan lawan dampak yang luar biasa.
“Kerana semua prilakunya sudah dengan rasa, akidah, keyakinan, sudah dengan ketulusan. Dia berjuang untuk tidak menampilkan dia sebagai seorang yang bisa bela diri, dia tidak berjuang untuk dirinya sendiri tapi dia berjuang untuk negerinya, dia berjuang untuk masyarakatnya, dia berjuang untuk agamanya.”
Dia tampak yakin kala melahirkan pandangan bahawa Mat Kilau akan dilihat lain daripada filem sedia ada.
“Kerana filem Mat Kilau tak saja jadi suguhan untuk hiburan tapi juga tontonan anak muda. Siapa pun yang menonton, melihat bagaimana erti sebuah perjuangan, erti sebuah semangat, erti sebuah kemenangan, dan bagaimana makna sebuah keyakinan, akidah, kecintaan tentang tanahair.
“Sampai saat dia meraih kemenangan pun, itulah yang ditampilkan… luarbiasanya seorang tokoh.”
Comments are closed.