Kejora, Puisi Berani Ashikin M
Penulis muda ini menandai kehadiran buku ke-11 beliau dengan himpunan 30 puisi, buat pertama kali.
Oleh Rumi
“Kejora menampilkan 30 buah puisi dengan tema perjalanan mimpi, falsafah, pelayaran dan cetusan konflik antara memori dan peredaran masa.”
Tujuh tahun. Itu lamanya masa diambil Ashikin M untuk menghasilkan buku puisi sulungnya yang diberi judul Kejora.
Dan tidak terbatas dalam bentuk cetakan, buku kesebelasnya itu yang menghimpunkan sebanyak 30 puisi turut diiringi penghasilan beberapa lagu puisi, hasil kolaborasi dengan seorang komposer muda, Ayop Azril.
“Kejora menampilkan 30 buah puisi dengan tema perjalanan mimpi, falsafah, pelayaran dan cetusan konflik antara memori dan peredaran masa,” katanya yang pernah menghasilkan buku, antaranya Pabila Pesawat Bertemu Bulan, Mimpi-mimpi Nomad dan Mencari Warna Malaikat.
“Saya mengambil masa selama tujuh tahun untuk menghasilkan buku Kejora, daripada proses pengilhaman, penulisan, penerbitan sehingga ke peringkat penghasilan beberapa lagu puisi Kejora bertemankan komposisi Ayop Azril.”
Ditulis sepenuhnya dalam Bahasa Malaysia, Ashikin M atau nama sebenarnya Nurul Ashikin, menjelaskan Kejora yang merupakan himpunan puisi cerita forklor masih berhubung kait dalam membentuk sebuah cerita.
Pemilihan Ayop, menurut kenyataan medianya, menyempurnakan lagi Kejora kerana komposer berbakat itu amat memahami perjalanan cerita yang diketengahkan di dalam buku itu yang baru ini dilancarkan oleh pengarah filem terkenal, U-Wei Haji Saari dalam satu majlis yang menampilkan gabungan elemen sastera, penceritaan, muzikal dan budaya pop.
Pernah berkolaborasi dengan dua penulis Indonesia menerusi buku The Colour of Regret, tahun lalu, jelas anak kelahiran Ipoh, Perak ini, sepertimana karyanya yang terdahulu, niat utamanya masih sama, hanya untuk bercerita.
“Bercerita adalah sesuatu yang tak akan dapat saya hentikan sehingga saat ini.”
“Puisi adalah seperti cinta dalam waktu yang tak mengerti,” kata Ashikin mengenai masa lama yang diambil untuk melahirkan himpunan puisinya. “Saya perlu melalui perjalanan jauh untuk memahami kekuatan suara dalam penulisan, di mana saya bermula dengan menulis cerita pendek.
“Kemudian beralih ke novel dan seterusnya mencuba bentuk puisi yang pelbagai. Saya masih mengekalkan suara berbunyi prosa di dalam perjalanan puisi-puisi kali ini kerana pada akhirnya, niat utama saya hanya untuk bercerita.
“Bercerita adalah sesuatu yang tak akan dapat saya hentikan sehingga saat ini.”
Majlis pelancaran menyaksikan U-Wei turut mendeklamasi sebuah puisi daripada buku berkenaan yang disifatkannya sebagai “berani dan amat tepat pada masanya.” Ikut memeriahkan acara, ialah persembahan oleh Amy Search yang menyanyikan hits Isabella, Rozana dan Kejora, merujuk karakter utama dan tema sanjungan keindahan dan kekaguman terhadap wanita yang dibawa oleh Kejora.
INFO
- Kejora, bidadari pengasuh yang berumah di lautan, bertemu ramai manusia sepanjang dia mengasuh arah buat pengembara lautan. Ia memperkenalkan tiga watak utama, iaitu Bintang Raja, Merah dan Aurora dalam memahami percubaannya memahami kemelut mereka.
- Buku puisi Kejora boleh didapatkan di laman IG @terbitanlangit @puisikejora dan @ashmydn
- Harga RM25 senaskah, tidak termasuk pos
Comments are closed.