Munajat Cinta Ahmad Dhani di Kuala Lumpur Garden Of Eid Festival 2022
Pendukung band Dewa itu menyertai selebriti tanahair, memeriahkan festival yang melestarikan kerohanian, minggu depan.

Oleh Rumi

“… disemarakkan dengan persembahan selebriti terkenal tanahair yang sentiasa membesarkan mesej positif dalam karya mereka, iaitu Datuk Jamal Abdillah, Faizal Tahir dan Naim Daniel.”

Kedatangan Syawal, serentak dengan peralihan Negara kepada fasa endemik yang membawa pengertian cukup mendalam bakal dizahirkan menerusi festival yang melestarikan kerohanian dan agama pada acara yang digelar Kuala Lumpur Garden Of Eid Festival 2022 di Taman Botani Perdana, bermula 27 Mei ini.

Selama tiga hari berturut-turut, festival yang diilhamkan bersempena terjemahan aksara Garden yang membawa maksud taman yang digambarkan di dalam Al-Quran sebagai jannah atau syurga, juga menjadi acara keraian dua perayaan terbesar umat Islam, iaitu Aidilfitri dan Aidladha.

Kenyataan medianya menyebut, acara malamnya yang bakal dihoskan oleh penyanyi dan komposer, Altimet, menepati konsep festival yang melestarikan kerohanian dan agama, namun disampaikan dalam perayaan yang lebih santai dan mesra.

Pada 28 Mei ini, Panggung Anniversari akan bergema dengan lantunan kumpulan nasyid terkemuka, Raihan pada festival yang bakal menampilkan pendekatan, termasuk hiburan yang sesuai syariah, sekaligus mengusung pendidikan bermanfaat buat semua lapisan masyarakat.

Malam itu juga akan disemarakkan dengan persembahan selebriti terkenal tanahair yang sentiasa membesarkan mesej positif dalam karya mereka, iaitu Datuk Jamal Abdillah, Faizal Tahir dan Naim Daniel.

Kelainan dan keistimewaan tersendiri bakal dirasai pada malam penutup 29 Mei menerusi persembahan Malam Munajat Cinta bersama Ahmad Dhani, sosok seni Indonesia yang turut dikenali dengan lirik kerohaniannya.

Bertema The Great Reunion, festival bermula seawal jam 10 pagi itu juga akan diisi, antaranya dengan pertandingan papan seluncur selain kemunculan karekter animasi Islamik yang sudah mendunia, iaitu Omar & Hana, Didi & Friends serta Ejen Ali.

Bagi melengkapi festival, pelbagai juadah berkonsep Flavors of Malaysia boleh didapatkan di food truck, selain menampilkan budaya sambutan perayaan daripada beberapa negara Nusantara, termasuk Brunei, Indonesia dan Thailand.

Akses

  • 27 Mei – 29 Mei 2022
  • Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur
  • 10am – 10pm

Tiket

  • Masuk percuma

Untuk informasi, layari laman sosial Garden of Eid