Diskusi Industri Kewangan Islam Pasca Pandemik Pada Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara Ke-15
Persidangan anjuran ISRA kumpulkan 300 pengamal industri kewangan dan pakar syariah Nusantara, sesuai krisis ekonomi global.
Oleh Rumi | Foto Febrian Zakaria on Unsplash
“… penyelesaiannya juga perlu mengambil kira penyelesaian yang menyeluruh, syumul dan bernas, berlandaskan pandangan yang benar-benar inklusif, progresif dan berihsan.” – TAN SRI AZMAN MOKHTAR
A perfect storm. Tan Sri Azman Mokhtar, Ahli Lembaga Pengarah Pusat Pengajian Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) kala berucap merasmikan Muzakarah Cendekiawan Syariah Nusantara ke-15 (Muzakarah2021) mengungkapkan bencana “ribut taufan yang sempurna” berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia, termasuk rantau Nusantara.
“Kita sedang menghadapi bukan satu, tetapi tiga krisis di dalam satu,” katanya pada persidangan secara maya selama dua hari anjuran Akademi Penyelidikan Antarabangsa dalam Kewangan Islam (ISRA) itu yang disertai sekitar 300 pengamal industri kewangan Islam dan pakar Syariah tempatan dan antarabangsa, berakhir 8 Julai lalu.
Pada persidangan bertema ‘Industri Kewangan Islam Pasca Pandemik: Impak, Cabaran dan Hala Tuju’ itu, jelasnya, “Dunia, termasuk rantau Nusantara, mengalami bencana ribut taufan yang sempurna di dalam tiga jangkamasa, iaitu jangkamasa pendek, pertengahan dan jangkamasa panjang.
“Krisis dan jangkamasa cabaran adalah bertindih dan berkait, jadi penyelesaiannya juga perlu mengambil kira penyelesaian yang menyeluruh, syumul dan bernas, berlandaskan pandangan yang benar-benar inklusif, progresif dan berihsan.”
Oleh itu, katanya Muzakarah2021 selaku wadah utama bagi para cendekiawan dan pengamal industri di rantau Nusantara membahaskan isu-isu Syariah dalam kewangan Islam dan membincangkan strategi serta kaedah yang paling sesuai dalam mendepani krsis global amat dialukan.
“Ia juga dapat menghasilkan impak positif kepada ekonomi dan kemaslahatan masyarakat secara amnya dalam memenuhi maqasid Syariah,” tambah Azman menerusi satu kenyataan media.
“… institusi kewangan Islam dan ilmuan Syariah mempunyai peranan penting untuk menerapkan prinsip ihsan dan adil dalam penawaran program bantuan yang responsif terhadap keadaan semasa dan cabaran yang dihadapi pelanggan.” – ADNAN ZAYLANI MOHAMAD ZAHID
Hadir memberikan ucapan alu-aluan pada majlis perasmian itu ialah Pengarah Eksekutif ISRA, Profesor Dr Akram Laidin dan Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Adnan Zaylani Mohamad Zahid.
Adnan dalam ucapannya, menyeru kesepakatan masyarakat, selain jentera Kerajaan dan sektor-sektor asas dalam menyokong usaha pemulihan ekonomi, selain peranan yang dimainkan para ilmuan.
“Krisis ini telah memberi impak yang signifikan terhadap pertumbuhan ekonomi negara serantau. Pelbagai pakej rangsangan telah diperkenalkan pihak berautoriti bagi mengurangkan tekanan dihadapi individu dan perniagaan.
“Dalam menyokong usaha ini, institusi kewangan Islam dan ilmuan Syariah mempunyai peranan penting untuk menerapkan prinsip ihsan dan adil dalam penawaran program bantuan yang responsif terhadap keadaan semasa dan cabaran yang dihadapi pelanggan,” katanya.
Muzakarah2021 dengan tema bertepatan krisis ekonomi global semasa ekoran bahana pandemik, mengupas secara mendalam isu-isu melibatkan industri kewangan Islam dalam menghadapi pandemik dan bagaimana persoalan fiqh yang timbul dapat ditangani pelbagai pihak, terutamanya penggubal polisi.
Penekanan utama diberikan kepada impak pandemik ke atas institusi kewangan Islam, di samping cabaran-cabaran yang dihadapi serta menggariskan hala tuju industri ini di masa hadapan. Di antara topik yang dibincangkan Muzakarah2021 adalah:
- Industri Perbankan Islam: Isu-Isu dalam Implementasi Moratorium
- Pasca Moratorium: Cabaran dan Halatuju
- Industri Takaful: Pindaan Klausa Dana Tabarru’
- Crowdfunding: Sumber Kewangan Alternatif Ketika Pandemik
- Penggunaan Dana Zakat bagi Pembiayaan Asnaf yang Terkesan dengan Pandemik
Jelas Profesor Dr Akram pula, perihal produk-produk inovasi dalam kewangan Islam, kad kredit Islam serta isu-isu Syariah dalam inovasi teknologi kewangan bagi negara serantau di Nusantara yang telah dibincangkan pada tahun lalu, dikupas pada Muzakarah2021 dengan mengambil kira situasi semasa krisis ekonomi global akibat pandemik Covid-19.
Comments are closed.