Kopratasa Tiup Roh Pada Lagu Raya 1936
Dan tak hanya Kopratasa, Pitahati dan Iqbal M ikut bangkitkan mood dengan erti sebenar Hari Raya.
Oleh Rumi
“Kopratasa yang dianggotai Sani Sudin, Usop dan Siso memberikan roh kepada lagu nyanyian asal Miss Aminah ini yang kembali dengan rasa segar.” – KOPRATASA
Selamat Hari Raya – Kopratasa
1936. Selamat Hari Raya dipercayai lagu Hari Raya terawal Nusantara dan dunia, amnya. Lagu ciptaan Tengku Ali Basha dan Cik Ara Bangsawan itu sekali gus membuka lembaran sejarah dalam sambutan Hari Raya pada zamannya.
Bagi Kopratasa, sangat merugikan sekiranya lagu itu dibiarkan lenyap ditelan zaman.
Lama tidak bersama, kerana itu jugalah Kopratasa kembali untuk merakam semula Selamat Hari Raya yang mempunyai nilai sejarah tersendiri sebagai usaha melestarikan satu khazanah lama untuk tatapan generasi masa kini.
Dikenali seawal 1985 dengan puisi sebagai lirik lagu-lagu mereka, Kopratasa yang dianggotai Sani Sudin, Usop dan Siso memberikan roh kepada lagu nyanyian asal Miss Aminah ini yang kembali dengan rasa segar.
Luncai Emas, menerusi kenyataan medianya, menjelaskan penambahan melodi dibuat pada lagu Raya itu yang dicadangkan sendiri oleh Kopratasa untuk dirakam semula bagi menepati konsep bergembira di Hari Raya.
“Inovasi lagu tidak mengganggu nilai asal lagu. Melodi asal tetap dijaga, senikatanya pun tetap dipakai seperti yang asal,” kata Pengarah Produksi, Keon Omar yang melihat ia menjadikan lagu itu lebih catchy.
Tiupan seruling Mohar menjadikan persembahan versi Kopratasa lebih kaya dan unik, menyerlahkan keaslian seni muzik Nusantara di samping mengekalkan rasa klasik pada lagu berkenaan.
“… cubaan Pitahati untuk mengetengahkan erti sebenar Hari Raya, di samping mendalami erti Hari Raya itu sendiri.” – ILHAM
Purnama Lebaran – Pitahati
Unsur lagu kerakyatan Melayu lama diambil Pitahati dalam menyampaikan mood dan jiwa pada lirik Purnama Lebaran yang disiapkan pada gelombang pertama pandemik Covid-19 biar pun rakaman dibuat seawal 2019.
Bagi menghidupkan kembali semangat Hari Raya, sebagaimana didambakan umat Islam, lagu ini cuba menghadirkan perasaan nostalgia kepada pendengar, iaitu satu perasaan yang sering dialami mereka yang meraikanya.
Purnama Lebaran, ciptaan Pitahati sepenuhnya dan merupakan lagu Raya pertama band rock psikedelik Nusantara itu, turut mengetengahkan strings oleh Kuartet UPSI, selain Presley Louis, Alif Ridhzuan, Aisamuddin Ali dan Tan Zi Ling.
“Ini adalah cubaan Pitahati untuk mengetengahkan erti sebenar Hari Raya, di samping mendalami erti Hari Raya itu sendiri,” kata Ilham, vokalis dan pemain gitar. Pitahati turut dianggotai Hidayat (gitar & synths), Masrin (bass & mandolin), Zahar (gitar) dan Yasin (dram & synths).
“Perkara ini adalah sesuatu yang telah kian lama hilang dalam masyarakat Islam zaman sekarang apabila kebanyakan orang hanya melihat Hari Raya sebagai sebuah perayaan, bukan sebagai sesuatu yang melambangkan kemenangan insan dalam memerangi hawa nafsu dan sifat-sifat keduniaan.”
“… kita semua sudah biasa dengan lagu-lagu Raya lama yang dah tertanam dalam diri masing-masing sehingga susah untuk kita cuba menerima gaya baru lagu-lagu Raya yang ada.” – IQBAL
Kita Mesti Jumpa – Iqbal M
Dinyanyikan spontan, asalnya sebagai menjawab pertanyaan peminat yang sedang mengikuti IG Live di akaun Instagram, Iqbal M berikan Kita Mesti Jumpa sebagai single pertama Raya mereka sejak diperkenalkan menerusi album Perasaan Sedih Janganlah Kau Bimbang (PSJKB) pada 2019.
Dicipta oleh Iqbal Othman, lagu ini dikatakan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.
“Bukan sesuatu yang mudah untuk membuat lagu Raya ini kerana mungkin kita semua sudah biasa dengan lagu-lagu Raya lama yang dah tertanam dalam diri masing-masing sehingga susah untuk kita cuba menerima gaya baru lagu-lagu Raya yang ada,” kata Iqbal.
Lahir daripada scene muzik indie, kumpulan yang dianugerahi Lagu Terbaik menerusi lagu Jangan Cakap Saja dan Artis Terbaik di Tapau Awards 2019, Iqbal M mengekalkan mood selamba dalam persembahan mereka.
“Kami tak pernah jamming bersama, hanya mendengar fail demo yang dihantar Iqbal dan semua berikan idea dan terus rakam,” kata vokalis dan pemain gitar akustik kumpulan ini yang turut dianggotai Johan dan Fei (gitar), Shah (bass) serta Aidil (dram dan perkusi).
Comments are closed.