“Ingatkan Siapa, Tak Sangka Awie Yang Datang.“ – Bergenang Air Mata Hamid Gurkha Di Akhir Syawal
Kala Awie dan bandmate Wings sempurnakan Lebaran dengan ziarah artis lewat misi kemanusiaan yang sederhana tapi bermakna
Oleh Zurina Waji | Foto Azlan Yaakob
KECUALI berdepan masalah pendengaran, pada usia 88 tahun, Hamid Gurkha tampak sihat. Namun matanya berkaca semasa dilihat memeluk Datuk Awie, seolah enggan melepaskan tetamu istimewanya yang hadir memberi kejutan.
“Aku tak sangka kau dengan kawan-kawan kau datang, Awie,“ kata bintang lawak veteran berkenaan yang menanti di muka pintu, berbesar hati menyambut rocker itu sebaik tiba di kediamannya di Klang pada akhir Syawal lalu.
Pertemuan berlaku singkat namun bermakna, tentunya buat kedua-dua generasi ini yang pernah bekerjasama, antaranya menerusi filem Zombi Kampung Pisang pada 2007. Hamid bagaimanapun, sudah lebih lima tahun tidak berlakon atas faktor kesihatan.
“Pak Hamid kau sedih tu. Terharu, tak sangka yang datang ni Datuk Awie rupanya dengan kawan-kawan.”
Matanya yang sedia sepet seakan tenggelam apabila dia, dalam sebak, menadah tangan mendoakan kesejahteraan vokalis popular Wings itu serta rombongan seramai hampir 30 orang, termasuk semua ahli bandnya, dalam ziarah sempena Misi Kemanusiaan dan Bantuan Ikhas Syawal Sayap Sayap Wings dan Wings Motor Gang Society.
Hamid adalah antara penggiat seni yang diziarahi bagi menyampaikan barangan keperluan asas, termasuk beras, minyak masak dan tepung serta pemberian wang tunai, selain tajaan berupa sepasang baju Melayu, kuih Raya, madu kelulut dan bekalan air mineral. Sumbangan adalah daripada Sayap-Sayap Wings, Wings Motor Gang Society dan Rumah Produksi Merah Sdn Bhd.
Ia juga merupakan sebahagian daripada kegiatan sempena Ride Ikhlas Syawal yang diketuai Awie sendiri yang meraih perhatian pengguna jalan raya dengan menaiki motosikal kuasa besar bersama konvoi seramai 13 orang.
Selain Hamid, turut dikunjungi pelakon, Amran Tompel yang kini terlantar di rumah anaknya di Senawang, Negeri Sembilan kerana diserang sakit angin ahmar. Anak pelakon legenda, AR Tompel itu turut menerima keperluan asas tambahan berupa susu khas dan lampin pakai buang dewasa.
Juga dalam senarai ziarah, Ali XPDC yang dikatakan terbabit dalam satu insiden pada Ramadan lalu yang menyebabkan dia mengalami kecederaan akibat kebakaran, selain balu Allahyarham Yazit yang juga pemain dram Search.
“Tengok tu, Pak Hamid kau sedih tu. Terharu, tak sangka yang datang ni Datuk Awie rupanya dengan kawan-kawan,” kata Timah Abd Hamid, 78, sambil melihat suaminya yang sedang mendoakan rombongan berkenaan.
Suasana sebak, bagaimanapun segera berubah ceria kerana tetamu tidak disangka itu turut dilihat sebagai kejutan indah buat sebahagian anak-anak serta cucu Hamid yang mengakui keluarga mereka, seluruhnya merupakan peminat tegar Awie.
“Kami pun tak tahu yang nak datang ni Datuk Awie,” kata salah seorang anaknya. “Bapak cuma cakap ada orang nak datang, jadi manalah dia tak terkejut, apatah lagi kami. Saya ingat lagi ke konsert Wings dulu, memang kami semua peminat Awie. Ada seorang cucu Pak Hamid berumur dua tahun punyalah minat Awie sampai kucingnya pun dipanggilnya Husin (karektor dalam Hantu Kak Limah).”
Hasil perkahwinan Hamid dan Timah, mereka dikurniakan lapan anak, 32 cucu dan 14 cicit.
Program amal ini, bagi Awie pula, adalah cara terbaik untuk menyempurnakan keraian Syawal, tahun ini iaitu dengan menzahirkan keprihatinan serta sokongan, terutama terhadap insan seni yang tidak sihat dan memerlukan yang akan diteruskan dari semasa ke semasa.
Comments are closed.