Festival Seni Hidup 2019: Jiwa Bertaup Lewat Budaya
Keraian yang tidak hanya mendukung usaha menyemarak budaya komuniti, malah memungkinkan Malaysia sebagai titik baru pertemuan seni dunia.
Oleh Zurina Waji | Foto @mysenibudaya
LARRY Gurruwiwi ialah pewaris yidaki, atau lebih dikenali sebagai didgeridoo iaitu sejenis instrumen yang ada pertalian dengan masyarakat pribumi Australia. Tinggi, berkulit gelap, bercawat dan wajah bersolek, dia jelas unik.
Bapa, Djalu Gurruwiwi digelar Raja Yidaki dan sebagai pelindung kaum kerabat Galpu dan tradisinya, gilirannya kini untuk memperdengarkan tiupan didgeridoonya biarpun untuk ke Kuala Lumpur baru ini, dia harus melalui enam persinggahan dari Arnhemland di daerah pedalaman Wilayah Utara, Australia.
Diiringi dua saudaranya, Jason dan Vernon, trio Malawurr ini mengembara ke pelusuk dunia, mengangkat kesucian seni tanah keramat Yolngu itu.
Tiupan didgeridoo Larry lewat Bilma Ga Yidaki bagaimanapun, bukan satu-satunya yang dipertontonkan sepanjang berlangsungnya Festival Seni Hidup (LACF) 2019, November lalu. Juga dikenali sebagai Living Arts Cultural Festival (LACF), Kuala Lumpur menjadi pertemuan kesenian dari lapan negara, termasuk lima yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dalam senarai Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (ICH).
Dianjurkan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bagi menyemarak dan mengekalkan keunikan ICH dalam menyokong usaha konservasi dan pemuliharaan yang dijalankan, edisi kedua LACF ini yang padat dengan pelbagai bengkel, demonstrasi, pameran selain persembahan seni dan mendapat kerjasama Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) memungkinkan Kuala Lumpur dibangunkan sebagai titik baru pertemuan seni dunia.
Ikut berkongsi lokasi selama berlangsungnya festival ialah Pasar Seni; The Square, Publika dan Galeri Petronas, selain Matic.
“Main Teghi, sebagaimana ia disebut dalam dialek Kelantannya, adalah antara tiga yang digazet sebagai Warisan Negara yang dipertontonkan… ”
Selain Australia, festival tiga hari itu turut memberikan keunikan kesenian masyarakat pribumi dari Kanada melalui persembahan oleh Odawa Wiingushk yang menggabungkan tiga jenis tarian dari Turtle Island, Amerika Utara, termasuk Fancy Shawl yang meniru keindahan rama-rama saat keluar dari kepompongnya selain Pensol, mainan Seruling Hidung etnik Semai oleh Bah Raman Bah Tuin.
Kemuncak festival, JKKN membawakan seni tradisional yang diangkat UNESCO, iaitu Dondang Sayang yang dipersembahkan Kenangan Mawar Biru dari Malaysia, Khon – Absolutely Thai Kansadaeng Watthanatham Co. Ltd (Thailand), Darangen – Sarimanok Theatre Company (Fillipina) dan Tarian Sufi Darwis oleh Sercan Celik yang mengiringi pembikin seni Turki, Marbling Ebru, Garip Ay menyiapkan karyanya.
Bulu roma ikut merinding menyaksikan Main Puteri yang berlandaskan kaedah perubatan tradisi menerusi persembahan Kelab Kesenian dan Kebudayaan Kampung Pulau Tebu, Kelantan. Main Teghi, sebagaimana ia disebut dalam dialek Kelantannya, adalah antara tiga yang digazet sebagai Warisan Negara yang dipertontonkan, selain Dabus oleh Kumpulan Tradisional Dabus Kampung Tanjung Bidara, Pulau Tiga, Perak dan Gendang Melayu Sarawak oleh Kumpulan Mukun Kamek.
“… potensi Kuala Lumpur dalam mendukung kekayaan warisan seni dan budaya dunia, sambil diangkat sebagai produk baru pelancongan, apatah lagi dengan menjelangnya Tahun Melawat Malaysia 2020… ”
Kemunculan Che Wan Noorsaidi Che Wan AB Rahman, generasi ke-9 yang mewarisi persembahan kesenian asal Terengganu, Saba, dengan mainan Anak Ambang, ikut menambah keunikan festival yang disertai 135 pendukung seni ini.
Menyerlahkan lagi kekayaan warisan Malaysia, persembahan Opera Boneka Teochew (Teochew Puppet Opera House) dan Tarian Terinai yang diwarisi daripada kesenian istana di daerah utara, Perlis ke utara Kedah dan Kelantan yang dipersembahkan penuntut Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara).
Tidak ketinggalan, Indonesia yang mempamer keindahan gerak tari masyarakat Bali menerusi persembahan Puspanjali oleh Kelab Prasasti Budaya dan Tarian Ruai (Komunitas Seni Indonesia Eksotika Nusantara) selain medley tari tradisional Sri Lanka, antaranya Pahatha Rata Natum dan Sabaragamuwa oleh Ranranga Dance Academy.
Tanpa menafikan kekaguman pada pengisian LACF 2019 yang memperlihatkan potensi Kuala Lumpur dalam mendukung kekayaan warisan seni dan budaya dunia, sambil diangkat sebagai produk baru pelancongan apatah lagi dengan menjelangnya Tahun Melawat Malaysia 2020, kurangnya pendedahan mengenai penganjuran festival membibitkan rasa terkilan.
Ia, barangkali harus dipertimbang dan dititik beratkan JKKN, terutamanya bagi penganjuran di masa depan, sebagaimana dinyatakan Ketua Pengarahnya, Tan Sri Norliza Rofli, antaranya supaya festival berkenaan “mencambahkan lebih penghargaan terhadap seni dalam kalangan masyarakat, terutama generasi muda dan dunia, selari dengan tema festival untuk menyemarakkan budaya komuniti dan kehidupan masyarakat, amnya.”
Comments are closed.