4 Sebab ‘Aku Takut’ Kesal Kalau Tak Tonton Repvblik
Bersama band rock alternatif Indonesia, sertai jelajah Repvblik and Friend Malaysia Tour 2019 bermula 18 Disember ini.

KATA penyanyi transgender, Lucinta Luna kala membalas hantaran Instagram vokalis Repvblik, Ruri di @ruri_repvblik mengenai muzik video Andaikan, band ini “udah kagak laku lagi” sambil mendakwa kerana itu, sampai terpaksa membikin lagu persis Savage Garden.

Lucinta Luna cetuskan isu lagu Andaikan

Betul Repvblik sudah tidak laku?

Ini 4 Sebab kenapa anda perlu bersama Ruri, Hexa (gitar rhythm), Lavy (bass), Ei (gitar) Tyar (keyboard) dan Randy (dram) di Malaysia Tour 2019Repvblik, Disember ini:

SANDIWARA ANDAIKAN

Selain Sandiwara Cinta, single dari album keempat Repvblik yang dirilis pada 2014, Andaikan yang dihambat kontroversi baru ini, gara-gara  hantaran balas Lucinta di akaun Instagram Ruri, kononnya ia diciplak, adalah antara lagu yang tentunya dinantikan untuk didengar secara live pada konsert Repvblik kelak.

Selama ini memilih untuk berdiam diri, Ruri, pada pertemuan dengan media di Kuala Lumpur, baru ini membalas dan menafikan dakwaan Andaikan diciplak daripada lagu band Australia, Savage Garden, berjudul I Knew I Loved You.

Dia juga menafikan isu itu gimik bagi melariskan album Omong Kosong yang memuatkan lagu Andaikan yang merupakan album keenam band ini yang dirilis pada 2018.

Jelasnya, Lucinta sebenarnya pernah dicadang untuk ditampilkan sebagai model dalam muzik video lagu berkenaan namun ditolak secara baik kerana mereka “mahukan model wanita tulen.” Akui Ruri, dia tidak pasti  apakah Lucinta berkecil hati, seterusnya jadi punca isu itu ditimbulkan.

MUZIK JUJUR

Debut dengan Punya Arti pada 2007, apa rahsia yang membuatkan band asal Bogor ini terus kekal?

“Ego harus dibuang jauh,” kata Ruri, mengenai kunci yang menjadi kekuatan band ini, bukan sahaja dalam memberikan muzik dan persembahan yang jujur, malah apa yang mendorong band ini dapat bertahan selama 12 tahun ini.

Selain mempersembahkan muzik yang disifatkan lebih matang, jelas menerusi Omong Kosong, album terbaru mereka yang dinilai sebagai lebih upbeat tanpa menepikan baur “pop Melayu” yang dikaitkan dengan Repvblik, dia menyifatkan kesamaan itu juga didorong kematangan personelnya sendiri, termasuk tidak membawa masalah ke media sosial.

SIAPA FRIENDS REPVBLIK?

Bukan satu, tapi tiga pemuzik dan penyanyi terkenal Indonesia dan Malaysia yang telah dipersiapkan penganjur, A Loud Nation untuk mengiringi Repvblik sempena konsert perdana mereka dalam rangka Malaysia Tour 2019 ini.

Iaitu, Andmesh yang sedang meletup dengan Cinta Luar Biasa yang mendapat 161 juta tontonan di YouTube dan bakal diimbangi persembahan mantap band popular Malaysia, ketika ini, Floor 88.

“Konsep Repvblik & Friends dengan menggabungkan Repvblik bersama Andmesh, Floor 88 dan Jaz Hayat adalah sebuah bonus yang sengaja kami berikan kepada penggemar yang hadir kelak kerana pada harga yang sangat mampu, penggemar boleh menikmati tiga pemuzik di satu lokasi konsert berlangsung,” kata Pengarah Urusan A Loud Nation, Khairul Azim.

TEPUK AMAI-AMAI DENGAN FLOOR 88

Diharap bukan hanya tempelan tentunya, Floor 88  yang lagi hangat dengan single, Hutang selepas memberikan keasyikan pada penggemarnya menerusi lagu-lagu dengan judul nama wanita, Zalikha dan Aqilah,akan memberikan keadilan pada malam konsert nanti.

Hutang sendiri, dengan suntikan elemen tradisionalnya, terus trending #1 di YouTube dengan 2 juta tontonan apabila ia dilancarkan Julai lalu dan sehingga kini, sudah mencatat 32 juta tontonan di saluran berkenaan.

Selain Ayie Elham sebagai vokalis, anggotanya turut  dibarisi Achoi (gitar utama) yang juga merupakan pencipta semua lagu popular Floor 88; Falique (bass), Amir (gitar kedua), Eric (keyboard) dan Akram (dram), dan tentunya band yang terkenal dengan muzik-muzik rancak ini akan bikin audiens bergoyang!

https://www.instagram.com/p/B4Er5d7goA0/?utm_source=ig_web_copy_link

Info layari laman sesawang www.myticket.asia / +603-86050195