Konklusi 28 Tahun Exists Dalam Seni
Petang bersama pemain dram, Ujang susulan pengumuman Konsert Exists Reunion, September ini yang bertegas, “Tanpa muzik, orang akan gila.”
Oleh Zurina Waji | Foto Fauzi Hamid
LAMA juga dia menemani Wang Leehom dalam jelajah dunia bintang antarabangsa berdarah Cina-Amerika kelahiran Taiwan itu, sambil menimba pengalaman dengan ramai penyanyi dan pemuzik handalan dari rantau Asia.
Dari satu negara ke satu negara, dia terbang membina namanya sehinggalah dia akhirnya terpaksa akur dengan rasa rindu yang mencengkam untuk kembali berpangkalan di tanahair.
“Lagi pun, saya letih. Dah tak larat naik turun kapal terbang. Tidur pun dah tak tentu bantal,” kata Ujang, senyum.
“Saya masih tak percaya saya dapat siri stick saya sendiri, apatah lagi kerana Promark satu dunia pakai.”
Ujang atau nama sebenarnya, Saharudin Saniman masih sebagaimana yang dikenali pada tahun-tahun awal dia bersama teman-teman Existsnya – Ajai, Along, Musa, Shah dan Mamat diperkenalkan kepada dunia seni lewat single Untukmu Ibu.
Dengan Ezad sebagai vokalis kemudiannya, band ini meneruskan perjalanan yang mencakupi 28 tahun lamanya.
Dan seperkara yang jelas mengenai anak kelahiran Johor Bahru ini, tidak pernah sekali pun Ujang mendabik dada.
“Saya tidak anggap saya hebat,” katanya, menggeleng kepala. “Saya anggap ini sebagai kerja dan saya beruntung kerana dapat bekerja dengan artis seperti Leehom. Saya merasa bekerja dengan artis antarabangsa, dapat rasa cara mereka bekerja.”
Tidak hebat walaupun baru saja melancarkan signature drum sticknya sendiri dengan siri Promark, di mana dia merupakan pemain dram Malaysia pertama meraih pengiktirafan itu? Ujang yang mendengar, sebaliknya berkata: “Saya masih tak percaya saya dapat siri stick saya sendiri, apatah lagi kerana Promark satu dunia pakai.
“Di Asia, saya mungkin orang kedua atau ketiga yang mendapat penghargaan seumpama ini. Sebagai anak Malaysia, tentu saya bangga dan berharap ia akan membuka pintu untuk pemuzik tempatan lain. Saya percaya anda boleh mencapainya dengan kerja keras, buat ikut bakat kita dan banyak peluang kita akan dapat.”
“Sebab itu, saya tidak berani untuk rasa diri sudah hebat kerana dalam dunia ini, tiada siapa pun lebih hebat kecuali Dia.”
Sebagai pemuzik, akui Ujang, bekerja dengan bintang antarabangsa mendedahkannya pada suasana bekerja dengan tahap disiplin yang tinggi, selain banyak berlatih dan menghormati jadual kerana apabila mampu bermain sebagaimana dikehendaki, mudah untuk meraih kepercayaan.
Tidak lokek berkongsi ilmu, dia juga menegaskan, sebagai pemuzik harus rajin berlatih, terutama muzik terkini.
“Seni itu sentiasa berevolusi,“ katanya, pada pertemuan kami di Hard Rock Kuala Lumpur itu. “Kita kena sentiasa update diri supaya tidak ketinggalan keran hakikatnya, sebagus mana pun kita, bukan semua kita tahu. Sentiasa belajar, jangan pernah berhenti untuk belajar.
“Sebab itu, saya tidak berani untuk rasa diri sudah hebat kerana dalam dunia ini, tiada siapa pun lebih hebat kecuali Dia. Semua orang dikurniakan dengan kelebihan masing-masing, tiada yang terlebih hebat atau kurang.”
Foto Shiraz Projects
MUZIK TIDAK AKAN MATI
Ditanya apa paling membekas selama mengiringi bintang-bintang Mandopop ini, Ujang berkata: “Saya kagum bagaimana bintang seperti Leehom atau David Tao, misalnya sentiasa mendapat sokongan padu fans. Saya tidak pernah tidak tegak bulu roma dalam setiap persembahan dek vibrasi lautan fans mereka.
“Saya mungkin tidak akan faham mentaliti peminat muzik Cina, tapi mereka benar-benar menjadi nadi pada industri dan kelangsungan penyanyi dan pemuzik yang mereka minati. Semangat fans mereka sangat luar biasa dan saya hanya dapat mengimpikan kalaulah anak seni tempatan meraih sokongan sebegitu.”
Ujang tidak menyatakannya, namun saya merasai rasa terkilan yang terbuku di dada. Cuba menyampaikan, sehemah mungkin, dia melihat daripada sudut ekonomi dengan pandangan, “Mungkin daripada beli tiket (konsert), lebih baik buat beli makanan. Misalnya.”
“Muzik tidak akan mati… kalau tidak ada muzik, orang akan gila!“
Dia bagaimanapun, tidak menolak persepsi yang dibawa daripada orang dulu-dulu terhadap anak-anak seni belum berubah sepenuhnya.
“Ingat cerita P Ramlee, seperti dalam Ibu Mertuaku? Bagaimana reaksi Nyonya Mansur apabila Sabariah, lakonan Sarimah mendedahkan hubungannya dengan Kasim Selamat, bukan doktor atau majistret, tapi ahli muzik.
“Ia mungkin kedengaran lucu, hari ini, tapi tidak pada era itu iaitu bagaimana hinanya orang seni bagi sesetengah orang dalam masyarakat Melayu. Sudah tentu, masyarakat kita sudah lebih terbuka tapi mungkin soal apresiasi terhadap seni itu sendiri, daripada muzik ke layar, malah lukisan perlu diterapkan lagi.”
Penggemar seni, akuinya masih lagi diburu dengan persoalan seni mungkin membuatkan orang berlapar, selain dianggap belum tentu menjamin masa depan. Di era dia mula mengenali muzik, katanya pegangannya masih sama iaitu harus ada minat, usaha dan fokus, atau semuanya akan jadi sia-sia.
“Muzik tidak akan mati,“ katanya, membetulkan seketika kaca mata hitamnya. Kakinya bergerak perlahan, mengikut rentak lagu di corong restoran, sebelum dia menambah, “Selagi ada industri, selagi itu ada rezeki. Saya percaya itu tapi apa pun, bermula dengan displin.
“Lagi pun, kalau tidak ada muzik, orang akan gila!”
Foto Shiraz Projects
Ujang yang meminati pemain dram seperti Black Wings, masih ingat bagaimana dia diundang untuk satu sesi jamming bersama gitaris terkenal, Steve Vai. Dia menggeleng kepala, mengakui tidak berbangga dengan dirinya, ketika itu.
Ditanya, katanya: “Masa tu, disiplin saya hancur! Saya rasa, ’Alah tak mungkin aku tak boleh main’ sebab saya bukan tidak biasa jamming lagu dia dengan kawan-kawan. Saya tiba di studio lima minit lewat, rupanya Steve Vai sudah sejam tiba untuk memanaskan badan. Saya malu gila!
“Dua jam jammming, saya bungkus. Aura dia memang hebat, saya rasa kecil sangat dan ia merupakan pengalaman paling bermakna buat saya yang mungkin menjentikkan sesuatu dalam diri, mendorong saya untuk sentiasa terus membaiki diri.”
Ujang, pada 28 September ini, akan kembali beraksi meraikan 28 tahun bandnya menerusi Konsert Exists Reunion yang dijadual diadakan di Stadium Malawati Shah Alam yang pertama kali mempertemukan semua anggotanya.
“Teruja,“ katanya mengenai perasaannya. “Saya tidak tahu apa yang bakal terjadi, tapi makin menghampiri tarikh konsert, rasa berdebar mula memburu. It’s okay, asalkan jangan terlalu yakin. Sungguh pernah bersama, cabaran paling besar ialah untuk mencetuskan semula chemistry antara kami. Itu yang kami perlu dapatkan semula dan selepas itu, kami pasti okay.”