Sayap Jiwa Melayu Wings
Menjunjung seni lewat Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi, Wings x Bunkface, 4 Mei ini.
Oleh Zurina Waji | Foto Awie Entertainment
“APA lagi yang kita ada, yang tinggal?” kata Datuk Ahmad Azhar Othman, atau lebih dikenali sebagai Awie.
Ada nada gusar dalam bicara frontman Wings ini yang petang itu tampil berbusana tradisi, siap bertanjak, lagak seorang laksamana Melayu. Dia melurut perlahan samping hijau tuanya sambil membetulkan bengkung merah yang meliliti pinggang.
Perlahan, dia menyambung bicara, “Kenapa tidak kembalikan semangat tanah Melayu itu? Ini yang ingin saya lakukan, membawa semula budaya Melayu itu supaya berbunga kembali rasa cinta pada kesenian, pada adat resam dan perjuangan Melayunya… pada budaya yang menampilkan kita sebagai anak Melayu.
“Dan ia harus bermula dengan busana tradisi Melayu.”
“Kerana ini hak kita. Bagaimana mahu memperjuangkan hak, mengenali hak kalau warisan bangsa ini pun tidak diangkat?”
Jiwa Melayunya memang kuat, semenjak dulu sebenarnya, disisip halus dalam lagu-lagu serta persembahan bersama bandnya. Cuma akhir ini dia lebih terbuka berbicara, bagaimana selama ini dia menggunakan muzik rocknya sebagai platform untuk membina nama sambil menyemai benih kecintaan pada semangat Melayu itu.
Dia senyum, menggeleng kepala mengingati kenangannya bersama Allahyarham bapanya, seorang guru silat yang pernah saya temui pada awal 90an dulu. Set rekaan pentas, berinspirasi gelanggang silat pada Konsert Laksamana Metal kelak menjelaskannya, bersama alunan muzik keMelayuan yang disuntik ke dalam beberapa lagunya.
Lama tidak bersua muka, perbualan menyimpang pada pengalaman dan cerita-cerita lama yang kemudiannya mengembalikan kami pada butir pokok, bagaimana pendedahan terhadap seni persilatan membentuk peribadinya.
Dan kerana kecintaannya, Awie ingin supaya semangat Melayu itu terus membara terutama dalam jiwa anak bangsanya.
“Sebab itu, perlu bermula dengan pakaian. Ia, di mana tersimpannya identiti satu-satu bangsa itu,” katanya, seraya menambah, “Kerana ini hak kita. Bagaimana mahu memperjuangkan hak, mengenali hak kalau warisan bangsa ini pun tidak diangkat?”
“… tidak akan ada cerita pasal skrin LED yang state-of-the-art kerana kebergantungan pada eleman itu berlaku untuk membantu sebuah persembahan yang lemah.”
Sedar, ada yang skeptikal malah melihat kombinasi dua eleman itu – rock dan busana laksamana Melayu – sebagai canggung, dia mengingatkan pada kisah Laksamana Melaka, Hang Tuah menerusi bait nukilan Bob Lokman bagi lagu Inspirasi Taming Sari ciptaan Usop seawal debut Wings dengan album Belenggu Irama pada 1987.
“Kekalkan semangat laksamana Melayu, Melayu tak akan hilang di dunia,” katanya, mempertahankan pendekatan yang diambilnya, menggunakan penampilan ala laksamana yang baginya merupakan antara “wow factor” yang membina keghairahan dalam perjalanan menuju konsertnya, Sabtu nanti.
“Dan dengan kudrat yang ada, selagi dikurniakan Tuhan, semangat Wings sejak 80an itu akan terus hidup.”
Tiga puluh empat tahun, menurut Awie bukan suatu perjalanan mudah buat Wings yang sempat berganti ahli. Bukan sedikit skandal, kontroversi mengekori sepanjang mereka memperkukuh nama sambil cuba memastikan semangat terus menyala dan dengan kudrat yang dikurnia Tuhan, legasi Wings diharap hidup untuk satu tempoh lagi.
“Jujur saja, konsert Wings tidak akan ada cerita pasal skrin LED yang state-of-the-art kerana kebergantungan pada eleman itu berlaku untuk membantu sebuah persembahan yang lemah. Sebab kami betul-betul performer, macam pesilat yang harus tertib dalam langkahnya, bergantung pada keupayaan sebenar diri untuk konsert 2019 ini,” katanya.
“Dan dengan kudrat yang ada, selagi dikurniakan Tuhan, semangat Wings sejak 80an itu akan terus hidup.”
Ditanya mengenai line-up persembahannya, dia mendedahkan antaranya adalah lagu yang sudah 30 tahun tidak dimainkan. Konsert Laksamana Metal ini yang bakal berlangsung lebih dua jam itu juga adalah pemanas kepada siri jelajah sempena keraian 35 tahun Wings dalam industri muzik, menjelang 2020.
“Wings 35 tahun? Terlalu lama perjalanan itu, memang cukup terkesan dalam sanubari,” katanya, seraya mengumumkan kejutan menanti audiens yang sporting mengenakan busana tradisi Melayu, setidak-tidaknya bertanjak, pada konsert berkenaan.
Bukan rahsia, konsert terbitan Awie Entertainment Sdn Bhd ini sebetulnya perlu diluncurkan tanpa penaja.
Sebagai Pengarah Konsert, Awie tidak menyembunyikan rasa jengkelnya terhadap ketidakseimbangan layanan oleh pihak berkenaan kepada anak seni tempatan menyebabkan dia tersentuh dengan sokongan diberikan teman-teman lama.
Ibarat lantunan Opera Hidup, baginya seperit mana pun cabaran itu harus dirempuh juga.
Kini, di tengah persiapan untuk konsert, Awie mengakui senang melihat kesungguhan Bunkface yang bakal meraikan ulang tahun ke-12 mereka, tahun depan.
“Saya lihat Bunkface macam Wings dulu, dengan tiga, empat orang pemain. Saya mengikuti perkembangan anak-anak muda ini dan dengan kesungguhan, kemahuan mereka boleh pergi jauh dengan muzik, eleman punk yang dibawa ini.
“Wings-Bunkface satu kolaborasi yang merupakan antara keunikan konsert. Bunkface ada karektor yang lain daripada yang lain dan selagi mereka ikhlas dengan muzik, bersahaja dan tidak berpura-pura, saya percaya mereka boleh jadi lebih hebat,” tambahnya.
*Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi, Wings x Bunkface dijadual berlangsung pada 4 Mei, Sabtu ini, bermula jam 8.30 malam di PWTC, Kuala Lumpur. Tiket berharga RM150 (berdiri, bebas) dan RM450 (untuk sesi soundcheck, minum petang dan cenderahati, juga tempat duduk bernombor pada hari konsert) boleh ditempah melalui hotline 019-7082871 atau 017-5375634. Atau, ikuti akaun IG @sayap2wings @truebunkers_official untuk info.