Konsert Dato Sri Siti Nurhaliza on Tour 2019: Ada Apa Dengan Siti?
Harapan dalam jelajah konsert tiga kota yang berakhir di Kuala Lumpur
Oleh Zurina Waji | Foto Fauzi Hamid, Shiraz Projects
SITI Nurhaliza baru berusia 17 tahun apabila lagu Mawar Ku, duetnya bersama kumpulan 2 by 2 diperdengarkan.
Lagu itu, dipercayai berasal dari Indonesia, dikatakan kali pertama dinyanyikan oleh Ribut Rawit dan M.Yusuf pada awal tahun 50an sebelum ia bersiulan di Tanah Melayu pada 1955 apabila dipopularkan oleh Aziz Jaafar dan Panca Sitara.
Iaitu, sebelum Siti Nurhaliza dan 2 by 2 mengembalikan nostalgia Mawar Ku, membuai rasa 40 tahun kemudian.
Itu yang saya dambakan apabila penyanyi itu kembali ke Axiata, Arena yang dulunya dikenali sebagai Stadium Putra, pada malam Konsert Dato Sri Siti Nurhaliza on Tour 2019 selepas kali pertama dia mengadakan konsertnya di situ, 20 tahun lalu.
Saya digugah rasa itu apabila di tengah perjalanan konsertnya, dia bercerita pembabitan awalnya sebagai anak seni, menaiki “bas loncat”, berganti bas dari Kuala Lipis, Pahang ke Kuala Lumpur. Cerita yang pernah dikongsi, kali pertama semasa kami di belakang pentas sementara menantikan gilirannya bersama 2 by 2.
Di persembahan itu, entah di mana, saya masih terbayang-bayang dia mengenakan sepasang dres krim mengikut potongan badan, meleret di lantai apabila melangkah. Rambut panjangnya yang lurus, dibiarkan lepas.
Separuh berbisik, dia ketawa menunjukkan fringe yang berjuntaian di dahinya, memberitahu: “Siti potong sendiri.”
Usai persembahan petang itu, jelasnya dia harus segera pulang ke Kuala Lipis. Ini kerana, menurutnya dia menaiki “bas loncat-loncat” dan jadual bas tidak mengizinkannya untuk berada lama di Kuala Lumpur. Kerana, katanya lagi, dia perlu ke sekolah, keesokannya.
“Saya ingin dipukau, bukan saja dengan pesonanya tapi selepas sekian lama, berharap untuk dikejutkan dengan range suaranya dalam penampilan classy, cukup dia sendirian menguasai pentas yang menjawab kewajaran untuknya terus berada di No.1.”
Liga Siti Nurhaliza on Tour 2019 membawanya ke Jakarta, Singapura dan Kuala Lumpur, sebelum direncana berakhir di Royal Albert Hall, London yang bagaimanapun, belum diputuskan lagi. Masih, tour ini cukup bermakna kerana hanya Januari lalu penyanyi yang kini bergelar ibu itu meraikan ulang tahunnya yang ke40, di mana 24 tahun itu dia membesar di mata peminat sebagai anak seni.
Siti Nurhaliza sekarang bukan lagi budak sekolah yang harus buru-buru mengejar bas loncat, tapi sudah bergelar Penyanyi No.1. Sudah 250 lagu dirakam, menyanyi di depan Perdana Menteri ke Ratu Elizabeth sampailah ke marhaen menyebabkan saya menjangkakan suatu yang ekstragavanza daripadanya.
Ini kalilah, bisik saya dalam hati, ingin melihat dia berdiri dengan kekuatan vokalnya. Saya ingin dipukau, bukan saja dengan pesonanya tapi selepas sekian lama, berharap untuk dikejutkan dengan range suaranya dalam penampilan classy, cukup dia sendirian menguasai pentas yang menjawab kewajaran untuknya terus berada di No.1.
Siti Nurhaliza, lewat satu temubual pada pra-konsert, mendedahkan dia masih gementar setiap kali menjelang malam sebegini. Dia ketawa kecil, apabila diberitahu apabila anda punya suara sehebat Siti Nurhaliza, menyanyi lagu Cok Cok Kendung pun berupaya buat orang terpaku.
Malam itu di Kuala Lumpur
Tidak. Seawal pembukaan, saya nyaris tersilap menyangka ia sedutan persembahan Irama Tradisional di Anugerah Juara Lagu. Kejorokan pakaian penari dan grafik LED hanya mengusutkan suasana, sedang Siti Nurhaliza bisa saja tampil sempurna berbusana puteri Perak jika tidak kerana keanehan fesyen juntaian di dadanya.
Siti Nurhaliza muncul gah di pentas, berteman dua skrin gergasi. Dia memberi kepuasan buat audiens, menatap wajah mulus dan geraknya. Biar awalnya, semasa wayang kulit menari di tirai sebelum disingkap, disusuli kemunculan bintang pujaan ramai itu, sempat buat saya keliru apakah signifikannya apabila dalam persembahan berikutnya replika gergasi beberapa karektor diusung di celah barisan audiens.
Lagu seperti Cindai dan Hati Kama oleh Allahyarham Pak Ngah sudah cukup sempurna dengan bait indah, terasa sememangnya dibikin custommade buat Siti Nurhaliza. Ia sebuah kolaborasi terbaik seni yang menuntut tribute yang berupaya menjunjung kehalusan jiwa Melayu yang diberikan penggubah dan pemuzik legenda itu.
Seorang teman melontar pandangan, mengajak saya menyoroti klip persembahan Via Vallen pada Indonesian Choice Award 5.0 Net, tahun lalu yang menggoncang Indonesia lewat hits Sayang yang dilagukan dalam bahasa Jawa.
Iaitu, bagaimana gadis asal Jawa Tengah itu tampil dengan tuksedo bersama puluhan penari bertuksedo hitam putih, jelas berinspirasi K-Pop tapi masih berupaya mengekalkan autentisiti dangdutnya. “Ia persembahan yang tidak diduga, bukan,” kata teman itu, menambah video Sayang sudah mencecah 178 juta tayangan.
Usai segmen irama Melayu, jika elemen kejutan yang dinantikan daripada Siti Nurhaliza, belum juga tiba. Sungguh sedikit terganggu, sekali lagi dengan pilihan fesyennya, dres kembang merah yang segera mengingatkan saya pada pengantin Beetlejuice, lakonan Winona Ryder lewat filem komedi tahun 80an itu, saya harus akui bicara teman di sebelah, “Cantiknya Siti,” malam itu.
Jeritan, ketaksuban audiens menyebabkan saya dan teman, beberapa kali bertukar pandangan. Siti Nurhaliza bikin banyak hati jadi cair hanya dengan senyumannya.
Saat kelembutan wajahnya itu dinikmati, bersendirian di pentas memberikan tribute kepada Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan pula yang memperkenalkannya lewat Jerat Percintaan, saya berharap dia memelihara momen itu, membiarkan audiens tenggelam dalam kelunakan suaranya, semata.
Kerana itu juga, saya lebih menyukai Siti Nurhaliza hanya ditemani gitaris Indonesia, Andre Dunant di pentas sebelum seorang penari arial membuat kemunculan tidak perlu . Juga segmen akustik yang mengizinkan dia menyerlahkan keupayaannya, diiringi pemuzik hebat seperti Jamie Wilson selain Andre, di bawah seliaan Aubrey Suwito.
Cuma, saya tidak pasti selama mana Siti Nurhaliza mahu dilingkungi peminat setia yang sedia menutupi cela.
“Silap saya, barangkali kerana membayangkan keeleganan malam seperti yang diberikan Adele atau Celine Dion, misalnya. Iaitu suara, suara dan suara.”
Sejujurnya, saya juga tidak begitu terkesan dengan kemunculan Tulus, crooner muda asal Indonesia, apatah lagi Yura Yunita. Tapi, sempat teman mencuit: “Grafik LED untuk Tulus lebih elok , simple tapi class.”
Siti Nurhaliza, kala mengimbau konsert lalunya, mengakui semua gimik sudah dilakukannya. Iaitu, daripada bermain alat muzik sehingga menjadi ahli silap mata. Konsert Salam Terakhir Siti Nurhaliza Untukmu Sudir pada 2002, antara yang masih membekas dan di tahun ke24 sebagai anak seni, dia sepatutnya berada dalam liga berbeza.
Silap saya, barangkali kerana membayangkan keeleganan malam seperti yang diberikan Adele atau Celine Dion, misalnya. Iaitu suara, suara dan suara. Bagi saya, pada tahap ini, Siti Nurhaliza tidak memerlukan gimik lagi.
Saya tidak rasa Siti Nurhaliza mahu jadi seperti Madonna, misalnya di mana drama di pentas diperlukan bagi mengimbangi kekurangannya daripada segi vokal. Siti Nurhaliza, mungkin berasa dia hanya menjadi dirinya namun dua dekad melepasi duri seni, saya tidak dapat mengelak untuk mengharapkan dia keluar daripada zon selamatnya.
Sekaligus, untuk dia memberi justifikasi kepada gelar No.1 yang sudah sekian lama diberikan kepadanya. Dan Mawar Ku sayup di telinga, seolah enggan henti berlagu.