Konsert Soul Sisters 2019: Inspirasi Black, Jiwa Asia
Menghitung hari untuk impian yang lama tertangguh

Oleh  Zurina Waji  |  Foto  ERE

TIDUR Edd Razhe sejak akhir ini makin langka. Perasaannya bercampur baur mengenangkan Konsert Soul Sisters 2019 yang menggabungkan Noryn Aziz, Misha Omar dan Siti Sarah Raisuddin itu yang berbaki dua minggu, lebih sedikit.

Sehari, akuinya, barangkali dia hanya dapat melelapkan mata dua jam.

“Sudah lama saya tidak merasai perasaan sebegini, berdebar memikirkan persiapan dan pelbagai persoalan, apakah saya mampu melakukan ini selepas 20 tahun meninggalkan showbiz yang memberi rasa teruja juga,” katanya.

Lewat Edd Razhe Entertainment (ERE) miliknya, sebagai Produser Eksekutif, beliau bukan hanya menumpahkan idea untuk penggabungan Noryn, Misha dan Siti Sarah itu, malah bagi konsep keseluruhan dan imej.

“Inspirasi black, 100 peratus.” – Edd Razhe

Bo Linggam (kiri) mewakili AirAsia Berhad sebagai penaja utama

Konsert itu yang dijadual berlangsung selama dua malam di Istana Budaya, bermula 5 April ini, turut mendapat penajaan AirAsia Berhad.

Sehingga 35 judul lagu telah disenarai pendek bagi konsert yang memakan masa selama dua jam itu, di bawah pengendalian Dato Nasser Abu Kassim sebagai Pengarah Muzik, selain dibantu Jennifer Thompson (Pengarah Konsert), Datuk Syafinaz Selamat (Pengarah Vokal) dan tim publisiti, antaranya Roslen Fadzil, mantan editor dan penulis lirik terkenal (Pengarah Kreatif).

“Ini adalah sebuah konsert yang unik. Soul Sisters lain daripada yang lain, bukan ala diva tapi kombinasi tiga suara yang bakal melangkaui jangkaan, tim produksi dan pemuzik cukup berpengalaman untuk malam yang 100 peratus, elegan.

Jiwa dan raga (kiri) Siti Sarah, Misha dan Noryn buat Soul Sisters

“Konsert (penyanyi) kulit hitam, 100 peratus.”

“Pembukaan persembahan, koreografinya adalah suatu yang berbeza. Pernah lihat mereka bertiga ini menari? Ya, mereka bertiga akan menari tapi lebih mengujakan ialah kolaborasi vokal, keharmonian suara dengan sentuhan Soul dan R&B yang bakal meletak tiga penyanyi wanita ini pada tahap berbeza,“ jelasnya.

Ditanya mengenai konsep, Edd berkata: “Konsert (penyanyi) kulit hitam, 100 peratus.”

Ia sekaligus menjelaskan mengenai penampilan lapan penyanyi latar yang diperkenalkan pada satu sidang media, sebelum itu. Semua penyanyi latar berkenaan diambil selepas lulus ujibakat yang diadakan oleh Syafinaz.

Konsert ini juga membariskan pemuzik hebat seperti Steve Thornton, Zahid, Condrado Coni, John Thomas dan Azmi, manakala Alam (Wakaka) dilantik bagi koreografi. Ia juga menggabungkan kepakaran teknikal, penataan cahaya, visual dan bunyi yang bertaraf antarabangsa.

“Konsert oleh penyanyi popular British, George Michael terutama sebuah konsert unplugged beliau, selain penyanyi jazz dan soul, Sade, juga Amy Winehouse adalah antara inspirasi yang mencetuskan konsep bagi Konsert Soul Sisters 2019,” katanya pada petang pertemuan itu.

“Kehadiran penyanyi latar, energetik dan ada attitude, antara eleman penting untuk menghidupkan konsep ini.”

Konsert Soul Sisters 2019, impian yang lama tertangguh

Lady Marmalade, sebuah klasik 70an dan Bang Bang adalah antara lagu yang bakal dipersembahkan pada malam konsert berkenaan yang semuanya telah digubah semula oleh Nasser dan Sze Wan. Sebuah segmen tribute juga diadakan, menampilkan antaranya Khayalan, dendangan asal Black Dog Bone dan Mulanya Di Sini (Freedom) selain hits R&B 80an oleh penyanyi wanita seperti Fairuz Hussein dan Famiza, juga Anita Sarawak.

“Ini kali pertama tribute terhadap Feminin dibuat”

Ada nada sebak apabila Edd mengakui bahawa Konsert Soul Sisters 2019 adalah suatu yang diimpikannya semasa bersama Feminin dulu. Dia merupakan tulang belakang Feminin, membentuk imej sampai menguruskan mereka sehingga menjadi sebuah kumpulan gadis paling popular pada era 90an.

Dan kedudukan Feminin itu masih belum tergugat, sampai kini.

“Ini kali pertama tribute terhadap Feminin dibuat,“ katanya yang juga pernah menguruskan karier aktres terkenal, Maya Karin dan Yassin Sulaiman sebelum menyertai AirAsia Berhad, menjadi Pembantu Peribadi kepada Pengerusi Eksekutifnya.

“Sebetulnya, saya sendiri tidak menyangka apabila saya mengemukakan idea tribute buat Feminin, ketiga-tiga Noryn, Misha dan Siti Sarah melompat, seronok sebab rupa-rupanya, mereka sendiri merupakan peminat Feminin.

“Saya mahu semua orang ingat Soul Sisters. Saya mahu melakar sejarah”

“Sarah misalnya, mengakui mengenali Feminin seawal usia lima tahun. Misha pula, gaya Feminin menjadi ikutannya. Orang bertanya kenapa saya pilih mereka, mengapa konsep begini atau kenapa R&B, soul dan sebagaimana saya melakukannya dengan Feminin dulu, saya akan melakukan perkara sama buat Soul Sisters.

“Saya mahu semua orang ingat Soul Sisters. Saya mahu melakar sejarah, Soul Sisters sebagai satu nama, jenama yang akan diingati sampai bila-bila. Kekuatan Noryn, Misha dan Siti Sarah sebagai penyanyi solo memang tidak dipertikaikan, tapi trio? Saya melihat mereka berlatih, kekuatan harmoni mereka sangat mengagumkan.”

Soul Sisters, menurut Edd, sebagai sebuah jenama juga adalah sebagai penghargaan buat golongan wanita.

“Kerana itu, konsep dibuat sebegini rupa kerana Soul Sisters juga adalah berkenaan soal pemerkasaan wanita, iaitu dengan pemilihan penyanyi wanitanya dan sebagainya,” katanya. “Sebab itu, saya bersungguh untuk merealisasikan impian ini.

“Ini adalah apa yang saya mahukan, letih pun tidak mengapalah dan bukan masalah pun demi menjadikan Soul Sisters satu legasi,” katanya lagi.

**Konsert Soul Sisters 2019 dijadual berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 5 dan 6 April ini. Tiket berharga RM755 (Meet & Greet), RM555 (Diamond), RM355 (Platinum), RM255 (Gold) dan RM155 (Silver) boleh ditempah menerusi www.airasiaredtix.com atau untuk pertanyaan, sila emel ke support@airasiaredtix.com