Gersang, Bagaimana Trend “Pacak, Pasang dan Siap“ Lagu Baru Bibitkan Idea Konsert 2V Man Bai & Rahim Maarof
Apabila lagu malar segar serta konsert orang lama jadi cerminan industri seni tanahair.

Oleh  Zurina Waji  |  Foto  Fauzi Hamid

“ADA ke orang nak tengok saya yang botak ni,” kata Man Bai, separuh berseloroh, sambil berbalas pandangan dengan Rahim Maarof yang duduk bertentangan.

“Menyanyi macam berniaga, ikut bergantung sedap atau tidak masakan kita itu. Saya cuma ada keyakinan untuk konsert ini, selain kawan-kawan yang menyokong.”

Kau Ilhamku dendangan Man Bai mungkin sudah berusia 24 tahun namun ia terus diminati. Itu kenyataan yang sememangnya tidak dapat dinafikan, sepertimana Masih Aku Terasa yang hit ketika dia masih bersama band rock, Gersang yang mengimbau era kegemilangan rock 80an.

Seperti Cinta Kristal yang masih berhantu selepas kali pertama diperdengarkan Rahim pada 1988 sejak mencipta nama seawal tahun 80an, antaranya dengan Lizawati yang dimuat di dalam album ketiganya yang dirakam 37 tahun lalu.

Dan siapa tidak terharu kala karya didendang terus malar segar?

Cuma, akui Man Bai, ada rasa gusar menyelinap di hati. Katanya, “Budak baru, rata-rata nak buat duit, glamour.”

Jika bukan kerana kecewa dengan perjalanan seninya, kenyataan itu boleh saja diandaikan terbit disebabkan cemburu namun dia menafikan.

“Orang kata tak ada yang lama, tak ada yang baru tapi yang baru pun (ramai) tak nampak boleh jadi pengganti.” – Man Bai

“Saya mungkin sudah lama tidak muncul dengan album baru tapi orang masih kenal, tahu kita. Tanpa cerita baru pun, kita boleh jalan saja. Masih boleh bergantung pada lagu lama, boleh gerakkan kita dalam industri ini lagi lima, 10 tahun mungkin,” katanya.

“Ini buat saya takut. Sebab industri (seni) sekarang secara zahirnya macam happening tapi bagi orang macam kami, itu semua tiada kepentingan. Saya tidak salahkan orang baru, fans mereka pun ramai budak-budak dan ini adalah masa untuk generasi ini, dengan gaya begini. Jadi, orang macam kami kena move on.

“Orang kata tak ada yang lama, tak ada yang baru tapi yang baru pun (ramai) tak nampak boleh jadi pengganti.”

“Orang baru nyanyi lagu kita tapi lagi 10 tahun, kalau mereka dah berumur nak nyanyi lagu siapa?”

Rahim Maarof

Rahim yang mulanya hanya mendengar, kemudiannya menyuarakan pandangannya terhadap perkembangan seni yang disifatkannya terlalu bersandar pada rating.

Ini, jelasnya, termasuk ketaksuban masyarakat merebuti Likes di media sosial  tanpa peduli mutu atau bagaimana sesebuah karya dan produksi akan meninggalkan kesan, sekaligus mencorakkan industri pada masa depan.

“Orang baru nyanyi lagu kita tapi lagi 10 tahun, kalau mereka dah berumur nak nyanyi lagu siapa?,” katanya yang berpendapat anak seni generasi ini seharusnya lebih ke depan kerana berada di era yang dipacu teknologi.

“Orang masih boleh dengar rock kapak, 80an tapi lagu baru? Ada yang boleh dengar tapi kebanyakannya gagal. Kata orang, lagu tak boleh masuk, tak feel.”

Rasa gusar dan terharu bercampur baru, namun didorong apresiasi masyarakat termasuk di kalangan penyanyi muda menguatkan keyakinan Man Bai dan Rahim untuk bergabung bagi meraikan perjalanan seni mereka.

Konsert 2V Man Bai & Rahim Maarof di Kuala Lumpur pada 6 April ini jadi taruhan, seraya mengimbau kenangan terhadap lagu mereka dengan hits seawal 80an seperti Suratan Takdir oleh Man Bai selain Kau Ilhamku dan Masih Aku Terasa, manakala Rahim, seperti Jangan Kau Rayu dan Usang.

“Kena ubah trend buat lagu ala pacak, pasang dan siap ini dengan persoalkan kembali karya yang berlambak di pasaran. Jika diukur berdasarkan keadaan semasa, mana karya yang boleh bertahan lagi 20, 30 tahun?”

Man Bai

“Saya berterus terang saja, saya tiada penaja,“ kata Man Bai, merujuk konsert anjuran Lollipop Living itu yang menampilkan barisan pemuzik handalan, termasuk Acis yang pernah menganggotai Gersang, selain Along Exists dan Mohar.

“Jika dicongak,tanpa penaja saya tidak mampu menggunakan khidmat pemuzik seperti mereka tapi kerana keadaan industri dan ini cara untuk saya membantu sesetengah rakan. Juga, kerana kami sudah lama berkawan.“

Kata Man Bai lagi, sudah tiba masanya untuk dunia seni berubah.

“Kena ubah trend buat lagu ala pacak, pasang dan siap ini dengan persoalkan kembali karya yang berlambak di pasaran. Jika diukur berdasarkan keadaan semasa, mana karya yang boleh bertahan lagi 20, 30 tahun? Tak bolehlah. Dan macam mana nak jadi bertahan kalau budak-budak baru pun lebih suka menyanyi lagu lama, di karaoke sampailah ke pertandingan.

“Saya sendiri, Rindu Bayangan (hits Carefree) pun masih boleh dengar. Jadi, budak-budak baru kena tahu juga dan menghasilkan karya-karya yang mampu merentasi masa, bukan hangat pada satu masa saja. Seperti lakonan, mahu berlakon bagus, kena kenal dan belajar dengan orang lama,” tambahnya.

Lagu malar segar, menurut Man Bai, membantu dalam memastikan survival penyanyinya.

Sinis, dia berkias, “Bukan rap saja sampai habis tapi mana yang boleh mendayung, kita mendayung. Lagu baru akan ada tapi tidak akan sesedap Cinta Kristal, misalnya. Saya tidak salahkan industri sepenuhnya, apatah lagi dalam keadaan rakyat dijoloki cerita politik 24 jam, bilanya nak buat kerja?

“Jadi, sebagai anak seni kitalah yang kena ubah industri ini.”

**Konsert2V Man Bai & Rahim Maarof akan berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) Kuala Lumpur pada 6 April ini. Tiket berharga RM205 boleh didapatkan di www.ilassotickets.com atau hubungi 03-21706333.