Separuh Nyawa Zamani
Konsert 3 Suara dan pertemuan semula dengan Datuk Jamal Abdillah dan Ameng Spring yang cukup bererti.

Oleh  Zurina Waji  |  Foto  Fauzi Hamid

ENTAH bila kali terakhir bertemu Zamani, tetapi mantan vokalis Slam ini masih sebagaimana saya mengingatinya dulu, dengan sikapnya yang pemalu dan bicara yang lembut.

Cuma bedanya, dia sekarang lebih tenang berbual walaupun bertentang mata– suatu yang asing dulu. Sudah banyakkah dia berubah? Kerana bicaranya lebih lancar walaupun saya harus benar-benar menyua telinga untuk mendengar, dan mahu juga dia berseloroh.

Atau, ini barangkali yang disebut bagaimana pengalaman berupaya mematangkan jiwa manusia.

Seawal melihatnya, tanpa disedari saya mengalunkan Gerimis Mengundang di dalam fikiran. Lagu bonus di dalam album kompilasi Terbaik Slam pada 1995 itu yang dijadikan saduran dalam 24 versi, antara lagunya semasa bersama Slam yang masih membekas.

Saya mengamati lelaki dengan wajah keanakan yang masih bersisa sungguhpun pipinya yang cengkung memperjelaskan usia mulai mengejarnya. Dia memang kurus, semenjak dulu, namun melihat keadaannya yang harus membongkok menerbitkan pelbagai persoalan.

“Sakit belakang saya masih belum pulih sepenuhnya,” katanya, memperjelaskan keadaannya kini.

Cerita perjalanan hidup Zamani yang sudah memasuki usia 48 tahun adalah rahsia terbuka yang pahit untuk dibualkan, namun ia adalah kenyataan yang harus ditempuhinya. Ia bukan mudah buatnya, menerbitkan rasa tidak selesa untuk diasak.

Sebab itu, ramai hati tersentuh malah tidak kurang yang ikut berang apabila tular videonya menyanyikan Gerimis Mengundang sambil tangannya dilihat bergari semasa berada dalam tahanan polis selepas satu operasi membabitkan penyalahgunaan dadah, empat tahun lalu.

Begitu pun, siapa kita untuk menghakimi dia?

“Rezeki saya murah 2019 ini,” katanya, mengakui sentiasa memanjatkan rasa syukur kerana di sebalik apa yang berlaku, Tuhan masih melimpahkan nikmat buatnya. Dia menyedarinya dan berazam untuk memperbaiki diri.

2019 ini, jelasnya memperlihatkannya kembali bergabung bersama Slam yang disifatkannya sebagai hadiah untuk penggemar band itu yang masih memberikan sokongan selain mengimbau banyak kenangan manis yang dipahat bersama.

Juga, Konsert 3 Suara di Ipoh, Perak pada 6 April depan yang mempertemukannya kembali dengan Jamal dan Ameng. Konsert bersempena pelancaran Festival Seni Perak 2019 yang bakal berlangsung di Stadium Indera Mulia itu dianjurkan Binjamal Event Sdn Bhd manakala promosi dikendalikan Mewah Event Management.

Di bawah arahan muzik Raja Mohd Sham, ia turut menampilkan Osama Yamani dan Radiowave sebagai band undangan.

“Konsert 3 Suara itu ibarat mimpi yang sangat indah kerana ia juga adalah kekuatan yang saya perlukan.”

Pertemuan bersama dua legenda yang amat dikaguminya itu, akui Zamani, adalah suatu yang cukup peribadi baginya selepas kali pertama mereka bertiga meluncurkan konsert full house di Istana Budaya, dua tahun lalu. Konsert di Ipoh bagaimanapun, mungkin dipersembahkan sedikit berbeza tapi mengekalkan persembahan solo, lapan lagu setiap seorang sebelum bergabung lewat Isabella 98, Terharu dan Gadis Melayu.

“Konsert 3 Suara itu ibarat mimpi yang sangat indah kerana ia juga adalah kekuatan yang saya perlukan. Sering, saya tertanya layakkah aku? Kerana saya berkongsi pentas dengan bintang seperti Datuk Jamal Abdillah yang saya minati sejak dulu.

“Kami bertiga ada pengalaman yang sama. Perjalanan kami…dan saya mahu belajar, mencari kekuatan.

“Dan bergandingan pula dengan penyanyi sehebat Ameng. Saya rasa kecil, namun ini adalah kesempatan untuk saya belajar. Saya masih belajar untuk menjadi sebaik mereka dan kerana itu, pertemuan di pentas ini begitu bermakna,“ katanya.

Ditanya, apakah yang dimaksudkan, dia terdiam seketika. Dia seolah serba salah, namun perlahan dia mengangkat mukanya, berkias: “Kami bertiga ada pengalaman yang sama. Perjalanan kami… dan saya mahu belajar, mencari kekuatan.”

Tanpa seorang pun antara kami menyebut mengenai latar perjalanan hidup mereka, Zamani mengakui Jamal bukan saja idolanya dalam berkarya, malah perjalanan sukar yang dilalui penyanyi bersuara emas itu untuk membebaskan diri daripada masalah yang bertahun membelenggu, menjadi inspirasinya.

“Cara pembawaan, cara dia meletak dirinya. Keupayaannya yang sentiasa tidak lelah membaiki diri, bagaimana dan apa yang dia buat dan boleh buat. Sejujurnya, ia bukan senang.”

“Lagi bab bergaya, Jamal bagi saya adalah (selebriti) paling bergaya,“ katanya, senyum lebar dengan pandangan penuh hormat, memerhati Jamal yang sedang berbual tidak jauh daripadanya, segak dalam jaket warna natural dan kaca hitam yag menjadi trademarknya.

“Cara pembawaan, cara dia meletak dirinya. Keupayaannya yang sentiasa tidak lelah membaiki diri, bagaimana dan apa yang dia buat dan boleh buat. Sejujurnya, ia bukan senang. Saya boleh cakap (untuk pulih) bukan perkara senang. Itu yang perlu saya belajar, kekuatan itu.

“Seperti halnya dengan Ameng, ketahanan dan kekuatan yang memberi inspirasi. Tak hanya soal perjalanan hidup, tapi juga dalam dunia seni. Cara menyanyi, terutama untuk berdepan rasa malu yang kadang masih menyinggah. Saya dapat (ilmu) daripada mereka berdua, sebab itu ini (Konsert 3 Suara) saya nantikan,” katanya.

Zamani menghela nafas, sebelum menambah dengan nada suara penuh pengharapan: “Saya doa saya okay (berdepan ujian).”

Dan bukan mudah juga untuk sesiapa pun melihat, di sebalik apa yang terjadi, ia masih merupakan anugerah Tuhan.

“Saya harus menghargai fans yang selama ini menyokong, tapi lebih lagi sebagai memberi peluang kepada diri sendiri. Saya andaikan, Tuhan sudah beri saya (anugerah). Ini seolah peluang kedua untuk saya, jadi saya kena berusaha, buat betul-betul,” katanya.

***Konsert 3 Suara dijadual berlangsung selama hampir tiga jam, bermula jam 8.30 malam. Bagi memeriahkan malam konsert, Karnival Konsert 3 Suara akan diadakan di perkarangan luar Stadium Indera Mulia, mulai jam 8 malam sehingga 8 malam dengan aktiviti termasuk persembahan buskers, street futsal, pameran Ferrari & Lamborghini, pertandingan Motor Vespa Klasik & Harley Davidson, juga Kempen Awareness oleh Pengasih Amanjaya Gopeng Perak dan jualan pra Aidilfitri. Tiket berharga RM183, RM103 dan RM83 boleh didapatkan di www.ilassotickets.com atau hubungi 03-21706333.