Yuna Buka 2019 Dengan Class, Nostalgia dan Patriotisme
Perihal single, Forevermore yang membawa penyanyi ini kembali menyusuri budayanya.

Oleh  Zurina Waji  |  Foto  Fauzi Hamid

“LIMA tahun di sana… best years of my life,” kata Yuna, senyum meleret, mengimbau kenangannya membesar di Perlis.

“Penuh nostalgia, tempat di mana kita membesar. Saya ingat lagi dulu-dulu, adalah satu kemestian kalau sudah mahu habis sekolah budak-budak akan ambil lesen motor. Sudah tentu masa itu, kita berangan dengan RXZ.”

Dan nostalgia jugalah yang membawa pelantun Terukir di Bintang ini kembali ke bumi Indera Kayangan.

Yuna yang sudah tujuh tahun melonjakkan cabang seninya dari Los Angeles ternyata masih menyimpan kemas kenangan terhadap kehidupan berlatar suasana kampung yang diabadikan di dalam video muzik single, Forevermore yang bakal dilancarkan Februari depan.

“Saya bayangkan sawah padinya,” katanya, seraya membetulkan subang besar rona emas yang mengiringi penampilannya pada malam itu, berjaket ungu gelap dan seluar senteng emas yang mengeluarkan bunyi lewat setiap geseran.

Ya, sedikit menjengkelkan tapi ironinya, dia yang bertopi hitam pada malam itu yang sentiasa mengingatkan saya pada gaya Boy George, penyanyi popular British di era 80an, bersahaja dan tampak selesa begitu. Sempat, dia menyua kaki, bangga menayangkan mules polos koleksi terhad Yuna x Christy Ng, kolaborasi dengan pereka sepatu tempatan, Christy Ng, yang dipadankan dengan sarung kaki hitam.

“Sesuatu yang boleh dipakai selamanya,” katanya, sebelum itu, merujuk kecenderungan fesyennya yang ditafsirkan sebagai “Ada class, tak lapuk dek zaman.”

Dia kemudian menghuraikan lanjut, “Orang tak tahu, saya sebenarnya bukan seorang yang mengikuti trend sangat. Lagi penting bagi saya ianya ada class dan elegan kerana itu yang akan kekal, dan itu yang diajar ibu kepada saya.”

“Itu yang saya bayangkan, bukan nak buat lagu patriotik tapi saya berharap untuk membawa kita kembali mengingatkan kemanisan, rasa kasih pada negara.”

Dan berbalik kepada singlenya, menurut Yuna, Forevermore ditulis pada pertengahan tahun lalu, semasa Malaysia dilihat mengharungi situasi menggusarkan yang menyaksikan peralihan kuasa daripada kerajaan lalu kepada sekarang.

“Semasa menulisnya, dalam hati saya mahu buat penggambaran (muzik video) di Malaysia,” katanya yang ditemui di Majlis Pelancaran Yuna x Christy Ng di Bukit Bintang City Centre, baru ini. Ia menampilkan koleksi chic mules dan tas saddle, masing-masing didatangkan dalam lima dan tujuh rona pilihan yang boleh didapatkan menerusi www.christyng.com

“Saat itu, di tanahair berlaku hal yang menguji penyatuan kita. Itu yang saya bayangkan, bukan nak buat lagu patriotik tapi saya berharap untuk membawa kita kembali mengingatkan kemanisan, rasa kasih pada negara.”

Pop dengan eleman tradisional, diiringi muzik video yang memaparkan kehidupan yang melatari Malaysia dan kekayaan budayanya, menurutnya menjadi senjatanya bagi menyuntik kelainan dalam kemunculannya kelak, sekaligus menonjolkan keindahan tanahairnya.

“Saya bukan Ariana Grande, tapi sebab saya ada budaya dan itu buat kita berbeza.”

“Orang Barat tidak ada apa yang kita ada,” kata Yuna, merujuk kekayaan budaya dan warisan yang dimiliki orang Asia. “Saya tidaklah kata mudah untuk kita menembusi pasaran mereka, tapi apabila saya pergi saya ada identiti saya dengan latar budaya kita yang unik.”

Jurang dua tahun daripada projek terdahulu, jelasnya, digunakan untuk menyusun strategi bagi mengeluarkan album keempatnya yang dijangka menyusul selepas Lebaran. Ia bakal memuatkan antara 10 sehingga 12 lagu dan dia juga sedang menimbang kemungkinan memperkenalkan lagu Melayunya.

“Saya kira, Barat lebih bersikap terbuka sekarang ini untuk lagu-lagu bukan dalam bahasa Inggeris,” katanya, merujuk muzik K-Pop yang kini menguasai dunia. “Saya inginkan sebuah album yang dapat menunjukkan asal usul saya, suka atau tidak, terserah. Saya bukan Ariana Grande, tapi sebab saya ada budaya dan itu buat kita berbeza.”

Soal Melayu, Los Angeles dan Jadi Ibu

Single Yuna nyata lebih bermakna kerana pembabitan suami, Adam Yousof Mohamed Sinclair, 35, yang mengarah muzik videonya. Ia merupakan kolaborasi pertama sejak pasangan ini bernikah pada 26 Januari, tahun lalu selepas mula berkenalan tiga tahun sebelumnya.

Yuna jelas dilamun cinta kerana sebaik nama suami disebut, matanya ikut bercahaya. Dia mengesahkannya apabila memberitahu, “Saya teruja dapat berkolaborasi dengan Adam. Gaduh tu, ya gaduh juga tapi ia pengalaman yang menyeronokkan. Dia adalah pilihan terbaik untuk kolaborasi ini dan dia pun seronok kerja dengan saya. Itu mesti!”

Tujuh tahun berkelana di Amerika Syarikat (AS), dia bersyukur kerana namanya mula dikenali. Ruang untuk penyanyi bukan dari Barat, apatah lagi dengan kemunculan muzik diimport dari Korea dan kemunculan filem seperti Crazy Rich Asian yang menampilkan, antaranya Michelle Yeoh dan Henry Golding yang kedua-duanya dari Malaysia, menurutnya telah melorongkan jalan buat bakat dari Asia.

Apakah Los Angeles mengubahnya?

Yuna manis. Ciri keMelayuannya, barangkali menambah keunikannya di tengah jutaan manusia yang mencuba nasib dalam industri muzik di AS. Dan dia tidak perlu berpura-pura untuk menjadi bukan dirinya, malah tidak pula dia kembali dengan lidah terkehel kala berbicara dalam bahasa ibundanya.

Ditanya apakah yang dicari industri muzik Barat, dia menjawab, “Bakat. Jadi Asia sekarang seolah satu bonus. Tapi ia lebih pada soal siapa boleh beri muzik yang bagus. Saya boleh buat (bertapak) sebab saya berbeza daripada mereka, berhijab jadi identiti selain budaya yang kita bawa. Bintang ternama dunia pun bukan semuanya dari Amerika.

“Dunia sudah sedia untuk kepelbagaian, malah saya sendiri ingin untuk mencuba pasaran China atau Jepun misalnya, macam apa dilakukan Shila Hamzah. Saya ingin menembusi pasaran Asia, mungkin mula berkolaborasi dengan penyanyi Indonesia seperti kakak ipar saya (Bunga Citra Lestari) yang sememangnya sedia hebat. Atau, mungkin Sheila on 7, siapa tahu?“

Dia tersipu malu saat berkongsi bagaimana dia sempat mengikuti ujibakat bagi dua filem Hollywood, iaitu Fantastic Beast dan Star Wars, malah ketawa kecil apabila mengakui dia bagaimanapun gagal  meraih sebarang watak. Begitupun, akuinya ia merupakan pengalaman yang menyeronokkan.

“Saya terkejut juga apabila disuruh membaca skrip bagi antara watak utama dan ia pengalaman yang menyeronokkan. Saya tidak menolak kemungkinan untuk mencuba bidang lakonan asalkan boleh mengekalkan hijab, saya okay,“ katanya.

“Saya mahu jadi ibu yang terbaik. Saya mahu menikmati saat kehamilan itu, mungkin cuti setahun daripada kerjaya seni. Seandainya ada rezeki daripada Tuhan, itu yang akan saya lakukan.”

Impian Yuna nyata menuntut pengorbanan yang bukan kecil, termasuk perkahwinan yang masih berdasarkan perhubungan jarak jauh. Yuna di Los Angeles bakal sibuk dengan jelajah Eropahnya kelak sebelum pelancaran album, sedangkan suami di Kuala Lumpur dengan kerjayanya sendiri.

Ditanya tidakkah ingin menimang cahayamata, Yuna tidak teragak-agak apabila memberitahu, “Saya dan Adam adalah orang yang cukup simple, kalau ada rezeki, mengapa tidak. Kita menjalin hubungan jarak jauh, dia di Kuala Lumpur sedangkan saya di Los Angeles.

“Tak merancang tapi kalau boleh biarlah apabila semua ini selesai. Punya anak adalah suatu tanggungjawab yang besar. Saya mahu jadi ibu yang terbaik. Saya mahu menikmati saat kehamilan itu, mungkin cuti setahun daripada kerjaya seni. Seandainya ada rezeki daripada Tuhan, itu yang akan saya lakukan.”