Hati Bertaut di Pondok Keladi
Ziarah ke kotej milik mantan jurnalis, Rosidi Daud di Langkawi ini persis cinta pandang pertama.

Oleh Zurina Waji    |    Foto Fauzi Hamid

LAMA, terlalu lama sebetulnya, kami tidak bersua muka. Dia masih sebagaimana saya mengingatinya – mesra, menyeronokkan dengan penampilan yang menyerlahkan citarasanya dan sentiasa diingati dalam ketertibannya menyantuni tamunya.

Dia mungkin lama berkelana di United Kingdom, seawal 1997, jelas dalam dekorasi kotej peribadi dua kamar miliknya, namun loghat utaranya masih bersisa. Tidak hairanlah kerana dia memang anak jati Kedah, dilahirkan di Sungai Petani.

Ditanya tidakkah dia merindui dunia kewartawanan, Rosidi yang merupakan jurnalis hiburan terkenal era 90an, lama berkhidmat dengan akhbar The Malay Mail, memberi indikasi dengan melihat sekeliling kotejnya yang dibaluti kehijauan itu.

Dia membiarkan suara kawanan burung yang sering menyinggah, termasuk enggang, berlalu sebelum menjawab: “Tidak.”

SYURGA damai…Rosidi berlatar hutan asli, sebahagian daripada Pondok Keladi

Keindahan alam semulajadi di tengah kehijauan hutan asli di daerah Pantai Tengah yang melatari tanah yang digelar Pondok Keladi ini, diperelok pula dengan taman botanikal yang menawarkan kedamaian yang sukar untuk diterjemah dengan kata-kata, cukup sebagai jawapannya.

Tanpa dipagari, melewati pepohon kelapa terlebih dulu sebelum disambut papan jalan bertulis tangan sebesar lengan sebagai tanda anda tidak silap tujuan, kehadiran tamu disambut dengan deretan pohon kemboja yang merupakan sebahagian daripada lanskap.

Sepi, hanya gemersik dedaun disapu angin dan suara burung yang sering bertingkah, ia seolah membisikkan kepada tamunya: “Selamat pulang!” Syurga damai yang dibaluti alam ini memberi rasa seolah-olah berada di rumah sendiri.

Dan pantaslah mengapa banyak hati terpaut sebaik menjejakkan kaki ke Pondok Keladi.

Biru mediterranean chalet bangkitkan mood

Asalnya, mahu buat rumah percutian untuk keluarga atau teman-teman berehat,” kata Rosidi

“Tanah ini saya beli pada 2003 semasa pulang bercuti Raya dari England,” kata Rosidi yang jatuh cinta pada Langkawi sejak kali pertama ke pulau ini pada 1979, berkhemah di Tanjung Rhu, bersama teman sekolah ketika belajar di Sekolah Menengah Bedong, Kedah.

“Asalnya, mahu buat rumah percutian untuk keluarga, atau teman-teman berehat. Satu hari, seorang teman dari luar negara yang mahu menginap di tempat agak sunyi minta untuk menyewa. Okay, mengapa tidak? Dari cuma beberapa hari, dia menginap sehingga sebulan.”

Pondok Keladi dimulai dengan membangunkan enam chalet bersama satu ruang komunal terbuka yang digelar Balai, mempamer gabungan seni bina tradisional Melayu dengan kemudahan moden, buat tamu beristirehat.

Ia, menurut Rosidi, dibina sedemikian rupa bagi mewujudkan suasana harmonis dan ruang menjalin tali persahabatan antara tamu, kebanyakannya golongan profesional termasuk doktor dan peguam dengan rekod paling lama menginap lima bulan!

Sebuah dapur terbuka juga disediakan di Balai untuk tamu mengaksesnya pada bila-bila masa, menggunakan apa saja bahan seperti telur dan roti yang disediakan tuan rumah. “Buatlah macam rumah sendiri,” kata Rosidi yang selesa mengurus sendiri penginapannya, termasuk menggalas tugas mengemas sampailah menukar cadar.

Santai di Balai

Keramahan dan ketulusannya sering diungkapkan tamu, sebahagian besarnya dari Eropah, dalam maklum balas mereka. Ketenangan Pondok Keladi dan keindahan alamnya, juga kawanan burung dan tupai yang gemar singgah disebut-sebut sebagai tarikan, hatta monyet yang menjengkelkan.

“Rasa Inggeris dalam dekorasi sesuai dengan citarasa saya, tapi penginapan ini cenderung pada mix & match. Saya ingin ujudkan rasa rumah untuk semua orang dan ramai tamu saya pulang sebagai kawan, malah kembali menginap setiap kali bercuti di Langkawi,” katanya.

“Kita ini orang Melayu, adab meraikan tamu bukanlah suatu yang asing bagi saya. Daripada enam chalet, saya tambah lagi dua kotej termasuk satu yang dilengkapi dapur demi mak yang berusia 76 tahun apabila datang menziarah. Kadang mak bawa tamu wanita berbelanja di pasar, siap masakkan hidangan Melayu. Tamu tambah seronok dan asalkan ia menggembirakan mak, saya ikut senang.”

Selesa dengan konsep mix & match di Balai

Seperkara tidak diduga, akui Rosidi, ialah untuk akhirnya kembali ke pulau Mahsuri ini.

“Ada yang bertanya, bagaimana saya boleh tahan menguruskan banyak hal di Pondok Keladi, sendiri. Saya kira, penting kita melihatnya sebagai hobi iaitu suatu yang kita suka buat dan gembira untuk melakukannya.

“Sejujurnya, saya tidak akan menukar semua ini untuk apa-apa sekali pun.”