Sawadeekhap Bangkok!

4 hari, dari RM990 (minima 6 pax)

Pakej oleh  My Altitute 30 Travel and Tours

Info  019-3605387

Same same, but different.

Di antara banyak filosofi lucu yang terpampang di koleksi baju-T sebagai pilihan cenderahati pelancong, mantra ini cukup untuk menjelaskan mengapa Bangkok adalah kota paling ramai dikunjungi di dunia.

Jurang bahasa boleh jadi mengerikan, namun jelas ia bukan penghalang untuk anda menikmati keunikan ibukota Thailand ini yang mencatat kehadiran 20.5 juta pengunjung asing pada 2017, mengatasi kota fesyen London dan Paris, biar pun anda sekadar tahu mengucapkan Sawadeekhap!

Dari senibina lama kuil dan istana ke pentas tradisional di tengah kepadatan kotanya dengan tarikan beli-belah selain pengalaman menyelusuri kehidupan malam dan budaya street foodnya, inilah Bangkok.

Empat hari di Bangkok, 12 pengalaman ini menanti anda:

Rattanakosin Island

Kota Lama berdekatan Sungai Chao Phraya ini dulunya adalah pusat pentadbiran kerajaan era Rattanakosin yang kini menempatkan banyak bangunan bersejarah, antaranya Grand Palace yang pernah menjadi kediaman rasmi Raja-raja Thailand dulu.

Phra Sumen Fort, kubu abad ke-18 yang dibina pada 1782 antara yang boleh dilihat, selain menghargai keunikan senibina kuil era Ayutthaya iaitu Wat Sake yang juga dikenali sebagai Golden Mount, melewati Democracy Monument, Pom Phra Karn dan padang Sanum Luang.

Street Food

Bangkok dan budaya street foodnya memang tidak dapat dipisahkan. Ia murah, cepat dan penting, sedap! Setidak-tidaknya 6 hidangan popular Thai ini perlu dicuba:

– Som Tam Thai – kerabu betik muda dengan rasa manis pedas

– Pla Pao – ikan panggang yang digaramkan

– Khao Mok Gai – briyani ayam, biasanya nasi dihidang bewarna kuning

– Khao Pad – nasi goreng

– Pad Thai – mi goreng, biasa disediakan bersama kacang goreng, taugeh mentah dan serbuk cili yang kemudian perlu digaul bersama

– Khao Niaw Mamuang – pulut mangga, dimakan bersama santan pekat

Juga popular Teh Tarik versi Bangkok, Ais Krim Kelapa, Prata Coklat dan Pisang selain pencuci mulut tradisional seperti Tub Tim Krob (sengkuang cina bersama santan) dan Khanom Bueang (crepe). Cari tanda halal untuk makanan halal anda.

Madame Tussauds Museum Bangkok (*tour opsyen)

Jom ke karpet merah bertemankan selebriti kelas A Hollywood, daripada Angelina Jolie ke Vin Diesel, Lady Gaga atau bintang Asia yang sudah mengantarabangsa seperti Jackie Chan dan Michelle Yeoh.

Juga rakam momen bersama figura seperti Ratu England ke mendiang Puteri Diana, atau bersama pemimpin dunia termasuk mantan Presiden Indonesia, Soekarno yang diabadikan lewat himpunan patung lilin bersaiz sebenar yang mengagumkan.

Siam Naramit Show (*tour opsyen)

Produksi 90 minit yang memaparkan budaya, adat dan tradisi Thailand selama 700 tahun lalu, dipersembahkan di Ratchada Theatre, sebuah perkampungan mini di kompleks yang turut menempatkan restoran dan kedai cenderahati.

Pahat kenangan bersama karektor pilihan, nanti. Juga, rakam momen berlatar Kinnaree, haiwan mistikal bersayap di dalam banyak dongeng Thailand di sini atau rasai pengalaman memberi gajah makan sambil mendengar alunan ranad iaitu instrument muzik tradisionalnya.

Chao Phraya Cruise (*tour opsyen)

Cara unik untuk menyelami budaya dan sejarah Thai, selain melihat senibina mengagumkan pada bangunan bersejarah dan kuil saat anda dibawa menyelusuri Sungai Chao Phraya dalam pelayaran mewah ini.

Masjid Bangluang / Ton Son

Di daerah Thon Buri, terletak masjid Sunni tertua di Thailand iaitu Masjid Ton Son yang menampilkan senibina Islam. Ia dibina pada era Kerajaan Ayutthaya, di bawah pentadbiran Raja Songtham antara 1610 – 1628.

Berdekatan, terletak sebuah masjid bersejarah bewarna putih yang dikenali sebagai Masjid Bangluang. Siap dibina pada 1785/1786 iaitu semasa era Rattanakosin, senibinanya menyerlahkan pengaruh Cina dan Eropah, selain Thai.

Shopping

Jika sudah menjejak Bangkok, tangan memang merenyam mahu shopping! Opsyen dan penawaran pada harga borong boleh didapatkan di daerah Pratunam, antaranya di Platinum Mall selain MBK Shopping Mall.

Konsep terbuka Asiatique River Front yang berdepan sungai pula menawarkan pengalaman beli belah yang unik dan selesa walaupun harganya sedikit tinggi berbanding di daerah Pratunam.

Neon Night Market

Dikenali juga sebagi Talad Neon, ia terletak di daerah Pratunam, berdekatan Platinum Mall. Pasar malam hipster, menampilkan kontena kapal sebagai sebahagian daripada kedainya selain deretan gerai menjual pelbagai pilihan fesyen malah makanan.

Digelar Phahonyothin Market sebelum ditukar kepada Chatuchak pada 1987, sehingga era 90an pasar hujung minggu ini adalah tumpuan pelbagai etnik yang datang berniaga dengan pakaian suku masing-masing, menjual kain tenun, antaranya.

Chatuchak Weekend Market

Dibuka sejak 1942, pasar terbesar Thailand ini mempunyai lebih daripada 15,000 lot yang dibahagikan kepada 27 seksyen, menjual pelbagai barangan daripada kasut dan beg kulit ke antik, malah binatang peliharaan ke pakaian.

Digelar Phahonyothin Market sebelum ditukar kepada Chatuchak pada 1987, sehingga era 90an pasar hujung minggu ini adalah tumpuan pelbagai etnik yang datang berniaga dengan pakaian suku masing-masing, menjual kain tenun, antaranya.

Maeklong Railway Market

Ia asalnya hanya pasar biasa bagi warga setempat sehinggalah trek laluan keretapi dibina melaluinya, bertujuan mengangkut barang dari pelabuhan ikan Ban Laem dan Samut Songkram.

Juga dikenali sebagai Crazy Train Market atau Umbrella Pulldown Market, kekecohan luar biasa dapat disaksikan setiap kali keretapi melewati trek di tengah-tengah pasar, di mana peniaga serentak menurunkan payung atau menarik barangan jualan dari tepi trek sebelum kembali ke posisi asal sebaik keretapi beredar.

Damnoen Saduak Floating Market

Di luar Bangkok, pasar terapung di daerah Ratchaburi di terusan buatan manusia ini kini berusia 150 tahun. Ia terkenal terutama sejak dijadikan lokasi penggambaran filem James Bond, The Man With The Golden Gun pada 1974.

Rasai pengalaman menaiki perahu tradisional sambil minum air kelapa atau makan ais krim kelapa berharga 60 Baht daripada peniaga yang berniaga di perahu kecil mereka, melewati lot di atas air yang menjual cenderahati di kiri kanan terusan.

Samphran Elephant & Crocodile Show

Gajah pun boleh menari, berlumba dan melukis? Di Samphran Elephant Ground & Zoo, Nakhon Pathom, gajah malah boleh berlakon adegan perang Yutha Hathi sambil ditunggangi pelakonnya.

Dibuka pada 1985, zoo ini yang beroperasi seawal jam 8.30 pagi juga ada pertunjukkan bergusti dengan buaya. Pengunjung juga berpeluang menunggang gajah, menikmati keindahan taman tropikal dan air terjun.